Sunday 16 November 2014

Adab Menuntut Ilmu Melalui Kisah Nabi Musa

TANPA menafikan pelbagai hikmah dan pengajaran melalui kisah Nabi Musa yang panjang diceritakan oleh Allah Taala di dalam al-Quran, kisah Nabi Musa juga tidak hanya berdiri melalui surah Makiyyah semata-mata tetapi merentet melalui surah Madaniyyah.
Begitulah istimewa perbincangan yang dikupas oleh Ustaz Muhamad Syaari Abdul Rahman setiap minggu pada hari Isnin pukul 5.15 petang dalam rancangan Ibrah ini.

Seperti dimaklumi, selain tidak terhimpun di dalam satu surah, malah kisah Nabi Musa ini tidak diturunkan melalui himpunan satu surah yang dinamakan ‘Surah Musa’. Hal keadaan ini berbeza dengan cerita tentang Nabi Yusuf malah satu surah yang dinamakan Surah Yusuf juga terdapat di dalam al-Quran.

Hijrahkan Hatimu

Orang yang berjaya adalah orang yang hari ini lebih baik dari semalam. Manakala orang yang terpedaya, apabila hari ini sama sahaja seperti semalam. Yang terakhir ialah orang yang celaka itu ialah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam.” Kata-kata bijak pandai ini dijadikan mukadimah Ustaz Pahrol Mohd Juoi ketika pertemuan Rabu lalu menerusi Islam Itu Indah yang bersiaran pada pukul 10.15 pagi di IKIMfm. Ujar beliau, hidup tidak boleh statik tetapi kena dinamik bergerak ke hadapan.
Telah digariskan antara formula untuk berjaya adalah sentiasa menjadikan hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini. Kata kuncinya ialah hijrah; penghijrahan hidup dan diri menjadi baik dan lebih baik dan baik itu diukur menggunakan amalannya sepertimana yang ditegaskan oleh Allah SWT, “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya…”. (Surah Al-Mulk ayat 2)
Amalan itu pula merangkumi amalan sebagai hamba Allah dan juga sebagai khalifah di muka bumi. Untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut Ustaz Pahrol telah memberikan beberapa contoh yang mudah untuk difahami.

Masa itu Modal Insan (bhg II)

Allah SWT mengungkapkan dalam surah Ar-Rum ayat 54, “Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki Nya dan Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa. Segmen Usrati di IKIMfm bersama Ustazah Norhafizah Musa pada Khamis lalu pada jam 5.15 petang telah memperkatakan tentang tajuk “Modal” bahagian kedua Modal apakah yang dimaksudkan? Ustazah Norhafizah binti Musa ada jawapannya.

Lihat betapa lemahnya kita, perlu ditolong bantu oleh orang lain. Semasa kita kecil ibubapalah yang membantu kita. Kemudian kita menjadi kuat dan gagah. Makin masa berlalu, modal kita makin sedikit. Jadi modal yang dimaksudkan ialah masa. Kuncinya ialah berkat. Selain masa modal itu juga boleh jadi keadaan yang kita lalui, peluang yang kita ada dan lain-lain.

Lihat, Fikir dan Zikir

Dari Abu Darda RA bahwa Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: Mahukah kamu akan aku khabarkan akan suatu amal kebajikan yang paling baik bagi kamu, paling meningkatkan kedudukan kamu, paling disenangi oleh TuhanMu, bahkan lebih baik dari menafkahkan emas dan perak dan lebih mulia daripada perang dengan musuh-musuh kamu, baik ketika kamu kalah atau ketika kamu menang? Jawab mereka: Mahu, wahai Rasulullah. Sabda beliau (mafhumnya): Berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya.(HR, Muslim,Tirmidzi,Ibnu Majah.)

Menurut penceramah terkenal Ustaz Shahrizan bin Daud at-Turabi melalui rancangan Tarbiah yang bersiaran setiap Jumaat jam 10.15 pagi, Zikirullah yang dilafazkan melalui lisan iaitu Subahanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar merupakan amalan yang akan membawa kita untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Bagaimanapun melalui rancangan Tarbiah yang mengupas tentang Lihat, Fikir dan Zikir, Ustaz Shahrizan mengajak para pembaca untuk mengubah dimensi kita berzikir agar kelaziman kita berzikir melalui lidah, akan memberi lebih penghayatan apabila kita juga berzikir melalui penglihatan.

Sunday 2 November 2014

Tarbiah: Transformasi Diri Seorang Guru

Sama ada kita sedar atau tidak, kita adalah seorang guru. Dalam ertikata lain setiap perbuatan dan tindakan kita adalah dalam bentuk mendidik dan memberi kebaikan tidak kira kepada sesiapa sekalipun apatah lagi kepada diri kita sendiri. Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm memberi beberapa panduan terutama kepada seorang individu yang memikul tanggungjawab sebagai seorang guru.

Guru atau pendidik adalah orang yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu secara formal kepada murid-murid. Ini bermakna, seorang guru juga bertindak sebagai model bagi anak murid kerana bagi sesiapapun yang terdidik, orang pertama yang menjadi pendidik selain ibu bapanya adalah insan yang bernama guru. Oleh kerana itu kata Prof Muhaya, para pendidik terutama guru yang diberi kepercayaan untuk mengajar anak-anak di usia bermula dari kanak-kanak lagi penting baginya menonjolkan suri tauladan yang baik bagi mencorak anak-anak untuk lahir sebagai manusia yang penuh kebaikan.

Kanak-kanak belajar dari orang dewasa, sebab itulah seawal usia kanak-kanak lagi mesti diterapkan dengan nilai-nilai murni. Ini kerana kanak-kanak mempunyai minda bawah sedar yang terbuka luas. Apa sahaja yang ada di depan mata akan diterima tanpa ada sebarang prejudis. Justeru para gurulah yang bertindak untuk mencorak dan membina sudut fikir seseorang hingga menjadi manusia yang bersifat rabbani.

Tarbiah: Transformasi Diri Seorang Isteri

Memegang status seorang isteri bukan sesuatu yang mudah kerana tanggungjawab yang digalas amat berat. Ini kerana wanita yang bergelar isteri seterusnya menjadi seorang ibu mempunyai peranan yang besar dalam memastikan kehidupan keluarga bahagia dan seterusnya berperanan dalam pembinaan insan yang berjaya..

Kehidupan yang mencabar pada hari ini menuntut golongan isteri untuk lebih fokus terhadap kerukunan rumahtangga agar tidak tersasar daripada perkara- perkara yang boleh membawa kegagalan dalam perkahwinan mereka.

Semua wanita mahukan kebahagiaan dalam perkahwinan, memiliki anak-anak yang berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. Namun, dalam mencari kebahagiaan, isteri sering meletakkan syarat kebahagiaan ke atas bahu suami, contohnya jika suami baik baharulah kehidupan rumahtangga akan bahagia, namun jika sebaliknya rumahtangga tidak akan menemui kebahagiaan.

Menurut Pakar Motivasi terkenal, Profesor Dr. Muhaya Mohamad melalui rancangan Tarbiah yang disiarkan di radio IKIMfm jam 10.15 Jumaat lalu, wanita yang meletakkan syarat kebahagiaan hanya kepada suami tidak akan mengecapi kehidupan yang baik dalam perkahwinan kerana suami dan isteri harus mempunyai kesedaran yang tinggi untuk membina prinsip hidup ke arah mencapai kebahagiaan.

Pesona D'Zahra: Peranan Al-Qur’an dalam Hidup Berkeluarga

Segala Puji bagi Allah yang Maha Pengasih, yang merahmati hamba-hambanya dengan Al Quran. Al Quran adalah Kalamullah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW yang mengandungi petunjuk menerangi jalan-jalan kehidupan dan membimbing seseorang insan kepada jalan yang lurus.  Seseorang muslim itu tidak dibiarkan hidup di dunia begitu sahaja melainkan Allah swt telah menyediakan panduan lengkap kepada setiap hal yang berkaitan dengan kehidupan dan ianya sesuai di sepanjang masa dan tempat.

Al-Quran adalah wahyu dan mukjizat kepada Baginda Rasulullah SAW, ia juga merupakan kitab yang terakhir yang diturunkan ke dunia ini, manakala membaca dan mempelajarinya merupakan suatu ibadah kepada Allah SWT.

Bersempena dengan Sambutan Nuzul Quran yang disambut umat Islam pada 17 Ramadan baru-baru ini, Segmen Pesona D’Zahra minggu lalu bersama tetamu Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin, meraikan tajuk yang amat rapat dengan Ramadan dan kehidupan seseorang muslim, iaitu Nuzul Quran Dan Hubungan Al Quran Dalam Aspek Kekeluargaan.
Dalam penerangan awal beliau tentang peristiwa penting ini, Nuzul Qur’an bermaksud penurunan al-Qur’an. Ia terbahagi kepada dua tahap utama: Pertama: Nuzul al-Qur’an dari Luh Mahfuz ke langit dunia. Kedua: Nuzul al-Qur’an dari langit dunia kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.

'Ibrah: Ilmu Debat Anugerah Tuhan

Kemahiran komunikasi merupakan anugerah Allah Taala kepada manusia selaku hamba-Nya bagi melaksanakan tugas fungsinya sebagai seorang khalifah. Justeru, manusia digalakkan mendalami ilmu komunikasi yang berkesan supaya dakwah menyeru kepada kebenaran dapat disampaikan dengan jelas dalam proses pentarbiahannya.
Di dalam al-Quran, Allah Taala menjelaskan menerusi Surah Taha ayat 25-28 yang bermaksud, “Berkata Musa, Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku supaya mereka mengerti perkataanku.”
Nabi Musa a.s. memohon kepada Allah Taala agar dimudahkan urusan berhadapan dengan Firaun agar lidahnya fasih untuk menyeru dia (Firaun) ke arah kebenaran dan kembali kepada Tuhan yang Maha Berkuasa. Firaun amat mengenali akan kelemahan yang ada pada Nabi Musa kerana beliau memelihara Nabi Musa sejak dari kecil.

Perbincangan rancangan Ibrah pada minggu ini mengungkap dialog dan komunikasi yang diperincikan di antara Nabi Musa a.s. dan Firaun sewaktu diperintahkan Allah agar Nabi Musa masuk ke dalam istana Firaun. Biarpun kebimbangan yang berlaku terhadap dirinya namun atas perintah Allah Nabi Musa menurutinya. Ustaz Syaari Abdul Rahman memulakan dengan mengungkapkan Firman Allah SWT di dalam Surah As-Syuaara’ ayat yang ke-15 yang bermaksud, “Jangan fikir akan berlaku apa yang engkau bimbangkan itu. Oleh itu pergilah kamu berdua membawa mukjizat-mukjizat Kami (yang membuktikan kebenaran kamu); sesungguhnya Kami ada bersama-sama kamu mendengar.”

Semurni Tadbir Sesuci Takdir Di Aidilfitri

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Laa Ilaaha Illallaah!

Allahu Akbar wa Lillaahilhamd!

1 Syawal 1435H, Aidilfitri kembali bertamu. Mengukur syukur menyingkap rasa bertuhan di hari yang penuh kegirangan menyambut kemenangan. Kejayaan beroleh Ijazah takwa setelah sebulan menempuh peperiksaan Ramadan. Berjaya membersihkan diri kembali kepada fitrah seorang hamba yang bernama manusia dan bukanlah hanya menumpang riang gembira insan-insan soleh di akhir zaman ini sahaja. Hari ini kita umat Islam di Malaysia menyambut 1 Syawal 1435, moga-moga selama sebulan yang telah kita lalui melalui madrasah Ramadan telah berjaya menjadikan kita orang-orang yang benar-benar bertakwa.

Anas menceritakan: “Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, ada dua hari perayaan yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda SAW bertanya: dua hari apakah ini? Jawab mereka: kami bersuka ria pada dua hari ini di zaman jahiliah. Lalu Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda mafhumnya; “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” (Riwayat Abu Dawud).

Tarbiah: Transformasi Diri Seorang Suami

Jika tegak kayu, maka tegaklah bayangnya, jika bengkok kayu itu, maka bengkoklah bayangnya. Itulah perumpamaan yang diberikan kepada kaum lelaki yang bernama suami sebagai tonggak utama dalam mengemudi sesebuah rumahtangga. Barangkali menjadi lelaki tidak sepayah menjadi suami kerana kewajipan yang digalas cukup berat. Suami mempunyai peranan yang besar bukan hanya terhadap dirinya sendiri tetapi kepada isteri dan anak-anak.

Ini kerana suamilah yang menentukan hala tuju sesebuah rumahtangga sama ada mahu membawa keluarganya menuju ke syurga atau sebaliknya. Suami atau ayah adalah pembimbing paling setia untuk isteri dan anak-anak, namun jika peranan ini tidak dijalankan dengan betul, tidak mustahil sesebuah rumahtangga akan goyah atau berlaku kecelaruan dalam rumahtangga tersebut.

Seorang lelaki yang baik adalah lelaki yang menyantuni ahli keluarganya dengan penuh kasih sayang dan kemuliaan. Ini membawa maksud seorang suami atau ayah akan selalu memastikan isteri dan anak-anak dekat dengan suruhan Allah SAW. Memperbetulkan cara berfikir dengan melihat isteri dan anak-anak sebagai amanah Allah yang perlu dipelihara dengan sebaiknya.

Di Manakah Al-Mu'Tassim untuk bela Warga Palestin

Dalam kita bergembira menyambut Hari Raya Aidil Fitri, saudara seagama kita di Gaza, Palestin terus disembelih tanpa belas kasihan oleh zionis Yahudi. Ketika rencana ini ditulis sudah lebih seribu orang dibunuh dengan kejam, manakala ribuan lagi cedera dan ratusan ribu menjadi pelarian. Seperti yang diungkapkan oleh Michael Heart dalam lagusnya We Will Not Go Down (Song for Gaza)”, pemimpin dunia di dan Pertubuhan Bangsa-Bangsan Bersatu (PBB) masih sibuk berbahas siapa yang benar dan siapa yang bersalah, sedangkan setiap jam rakyat Palestin dibunuh. Amerika Syarikat pula terus mendendangkan laungan kononnya “hak Israel untuk mempertahankan diri” dari serangan roket Hamas Palestin, tanpa mereka mengakui bahawa Israel lah punca sengketa ini dari awalnya lagi – perompak tanah hak milik mutlak penduduk Palestin. Masakan apabila rumah kita dinaiki perompak, tindakan kita menghalau perompak itu maka perompak boleh pula mengadu kononnya bahawa dia mempertahankan diri? Di manakah bangsa Yahudi sebelum 1948? dan bagaimana Israel meluaskan jajahan takluknya setiap tahun bahkan setiap hari. Berapa banyak resolusi PBB yang tidak dipatuhi oleh Israel termasuklah persetujuan mewujudkan dua entiti negara berbeza. Siapakah yang memberikan hak kepada Israel untuk mengenakan sekatan ke atas Gaza sehingga menjadikan 1.8 penduduk di situ sebagai penghuni penjara terbesar di dunia?

'Ibrah: Kebenaran Dakwah Menatijahkan Kejayaan

PEMERGIAN Nabi Musa a.s. dan abangnya Nabi Haron a.s ke istana Firaun merupakan kisah perintah Allah yang wajar diteladani. Nabi Musa diutus sebagai Rasul untuk menyeru Firaun agar kembali kepada Allah sebagai penciptanya dan nenek moyangnya. Seruan Nabi Musa a.s. agar Firaun mentaati perintah Allah tidak dihiraukan lantas kebongkakkan dan sombong dirinya ditunjukkan sehingga menganggap Nabi Musa telah gila. Ini disandarkan oleh Allah melalui ayat al-Quran, Surah as-Syuaara’ ayat 27 yang bermaksud, “Firaun berkata, sesungguhnya Rasulmu yang diutus kepada kamu benar-benar gila.”

Kebenaran dakwah Nabi Musa a.s. dijelaskan oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman pada kali ini dengan memperincikan mukjizat sebenar Nabi Musa a.s. yang tidak ditunjukkan pada awal sewaktu Nabi Musa masuk ke dalam istana Firaun. Namun, setelah berkali-kali Nabi Musa menyeru kepada Firaun agar kembali kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, Firaun tetap berdegil. Lalu, Nabi Musa menggunakan mukjizatnya sebagai bukti bahawa kehadirannya adalah atas perintah Allah Taala.

Islam itu Indah: Hamba yang Berzikir, Khalifah yang Berfikir


Rasullullah SAW bersabda mafhumnya, “Berfikir sesaat lebih afdal daripada ibadah setahun….” dan sesungguhnya dengan mengingati Allah menerusi zikrullah jiwa akan menjadi tenang. Gandingan dua elemen zikir dan fikir saling melengkap untuk menyingkap rasa kehambaan kepada Allah Azzawajalla. Alhamdulillah, berada dalam ruangan ini berkongsi intipati bicara al-Fadhil Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm mengajak diri mengenal Ilahi dalam setiap inci yang terpapar di atas muka bumi.

Ustaz Pahrol mengajak kita untuk menjana akal sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam menciptakan langit dan bumi, terbit dan terbenamnya matahari, silih bergantinya siang dan malam serta kejadian manusia itu sendiri menerusi firmanNya dalam surah Al-Zariyat ayat 20-21 mafhumNya “…Dan di bumi bukti-bukti kebesaran Allah bagi orang yang yakin. Pada dirimu sendiri tidakkah kamu melihat?”

Menyorot kisah pemuda Gaza di Palestin yang saban hari diserang dan dipersalahkan oleh Yahudi Zionis, dia tidak meminta umat Islam di Negara luar mengangkat senjata berperang dan syahid bersama mereka tetapi hanya meminta didoakanlah untuk dia bertemu syahid dan menjadi satu penghinaan bagi keluarga di Gaza jika dalam satu keluarga tidak memiliki anak yang syahid. Kisah itu sebenarnya mempunyai nuansa dan nada yang sama sebagaimana kisah yang masyhur mengenai dua sahabat ketika berlakunya perang Uhud yang tercetus di bulan Syawal tahun ke-3 hijrah; Saiyidina Saad Bin Abi Waqas, sahabat Rasulullah SAW yang dijamin syurga dengan sepupu Rasulullah SAW iaitu anak kepada Umaimah binti Abdul Mutalib yang bernama Abdullah bin Jahsy.

Takbir Kemenangan Bukan Takbir Kesyahduan

Allaahu akhbar… Allaahu akhbar… Allaahu akhbar… Laa ilaaha illallaahu wallaahu akhbar… Allaahu akhbar walillaahil hamd… Itulah lafaz takbir yang sering kita lafazkan setiap kali menjelang Aidilfitri. Masuknya tanggal satu Syawal sehinggalah umat Islam selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri, takbir itu di laungkan dan lafaz tersebut mempunyai roh yang sangat besar. Di mana kita memuji kebesaran dan keagungan Allah swt sepertimana maksudnya : “Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Maha Besar, Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar. Allah Yang Maha Besar dan bagi Allah sahajalah kepujian”.

Sekilas Coretan Ramadan

Bersamalah kita berdoa dengan penuh harap, agar kita masih dipilih untuk dipanjangkan umur bagi berjumpa lagi Ramadan tahun depan dan melaluinya dengan lebih baik berbanding Ramadan tahun ini. Mungkinkah mengah puasa dan ibadah yang berpulun-pulun kita lakukan sebulan yang lalu bakal kita rindui? Jika ya, ayuh teruskan semangat kita untuk melakukan segala amalan kebaikan dan mood ibadah untuk bulan-bulan seterusnya. Contohnya kita lazim kan solat secara berjemaah setiap hari, bersedekah pelbagai cara juga setiap hari, boleh bukan?

Pesona D'Zahra: Muhasabah Diri Melalui Cermin

Penciptaan Cermin adalah ilham daripada Allah Swt kepada manusia untuk melihat pantulan diri seseorang. Perbuatan mencermin diri bukanlah sekadar bagi menilai kekemasan, kebersihan, mahupun kecantikan yang ada pada diri kita tetapi juga bagi melihat siapakah diri kita yang sebenarnya. Bilakah kali terakhir kita membuat proses penyemakan semula diri kita?  Cermin diri menurut Islam, bukan sahaja secara zahir atau fizikal tetapi juga bagi melakukan muhasabah atau menghisab diri. Cermin digunakan untuk melihat menerusi pandangan hati dan keimanan kita dengan penuh kejujuran, tulus dan keikhlasan.

Mengenal diri atau muhasabah diri meliputi kelebihan, kekuatan, potensi, kekurangan, kelemahan, keaiban dan apa jua perkara berkaitan diri kita. Muhasabah adalah amalan mulia para Nabi dan Rasulullah serta para insan yang bijak sana.
Rasulullah saw juga melihat cermin. Satu Sunnah apabila melihat cermin adalah dengan niat beserta doa yg diajar oleh Rasulullah saw iaitu; “Allahumma kama hassanta khalqi, fa hassin khuluqi.” (Ya Allah sebagaimana Engkau telah mencantikkan kejadianku (rupaku), maka cantikkanlah juga akhlakku).  [Hadith Ahmad dan Ibnu Hibban]

'Ibrah: Teladan Melalui Kisah Qarun

ANTARA hikmah Allah Taala memperincikan kisah-kisah umat Islam yang dimurkai Allah di dalam al-Quran adalah bagi memberikan satu peringatan penting kepada umat Islam pada hari ini agar tidak terjun ke lembah kehinaan itu. Begitulah peringatan dan sandaran Allah bagi memperihalkan keangkuhan Firaun untuk beriman kepada Tuhannya. Kisah Firaun dan Nabi Musa a.s. di Mesir diceritakan melalui pelbagai dimensi dan ayat-ayat sebagai peringatan Allah kepada hambanya bahawa setiap kemungkaran yang dilakukan oleh manusia itu disebabkan kejahilan diri mereka sendiri.

Pada minggu ini, rancangan Ibrah yang dikupas oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman akan meneliti seorang lagi orang kanan Firaun yang dimurkai Allah sehingga akhirnya azab diturunkan kepadanya. Dia yang dimaksudkan adalah Qarun. Istilah “harta karun” yang biasa menjadi ungkapan dibibir kita sebenarnya lahir daripada ketamakan manusia bernama “Qarun” di atas kekayaannya dan perihal keadaan tersebut menjadikan dia sombong dan angkuh kepada Allah Taala.

Islam itu Indah: Bukan Kerana Marah

Orang lama pernah berpesan: berbuat sesuatu hendaklah sesuai dengan tempat dan keadaan, supaya perbuatan itu berhasil dengan baik. Perlu adil dalam menyelaras perasaan. Menyingkap perihal memboikot produk keluaran zionis dan sekutunya yang kembali menjadi topik utama dunia, ianya boleh difahami sebagai tamsilan kepada didikan yang diperoleh dari madrasah Ramadan yang lalu iaitu melahirkan modal manusia bertakwa terutama dalam meneliti setiap tindakan yang dizahirkan.

Itu antara intipati perkongsian Islam Itu Indah bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu. Bila bicara tentang takwa, ianya sudah terbina di dalam jiwa umat Islam. Walaupun ketakwaan itu sifatnya maknawi kerana letaknya di dalam hati, namun ia boleh melahirkan tindakan-tindakan yang konstruktif; Nampak di mata  dan mampu dibina. Ia mampu menzahirkan tindakan-tindakan yang dapat menyelesaikan masalah yang melibatkan diri, keluarga, masyarakat, negara dan juga umat.

Tarbiah: Transformasi Diri Seorang Guru

Sama ada kita sedar atau tidak, kita adalah seorang guru. Dalam ertikata lain setiap perbuatan dan tindakan kita adalah dalam bentuk mendidik dan memberi kebaikan tidak kira kepada sesiapa sekalipun apatah lagi kepada diri kita sendiri. Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm memberi beberapa panduan terutama kepada seorang individu yang memikul tanggungjawab sebagai seorang guru.

Guru atau pendidik adalah orang yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu secara formal kepada murid-murid. Ini bermakna, seorang guru juga bertindak sebagai model bagi anak murid kerana bagi sesiapapun yang terdidik, orang pertama yang menjadi pendidik selain ibu bapanya adalah insan yang bernama guru. Oleh kerana itu kata Prof Muhaya, para pendidik terutama guru yang diberi kepercayaan untuk mengajar anak-anak di usia bermula dari kanak-kanak lagi penting baginya menonjolkan suri tauladan yang baik bagi mencorak anak-anak untuk lahir sebagai manusia yang penuh kebaikan.

Kanak-kanak belajar dari orang dewasa, sebab itulah seawal usia kanak-kanak lagi mesti diterapkan dengan nilai-nilai murni. Ini kerana kanak-kanak mempunyai minda bawah sedar yang terbuka luas. Apa sahaja yang ada di depan mata akan diterima tanpa ada sebarang prejudis. Justeru para gurulah yang bertindak untuk mencorak dan membina sudut fikir seseorang hingga menjadi manusia yang bersifat rabbani.

'Ibrah: Teguran Terakhir Buat Firaun

NABI MUSA as datang ke bumi Mesir bukan sekadar untuk membebaskan Bani Israel, tetapi Nabi Musa juga berdakwah kepada kaum keluarga Firaun. Biarpun pelbagai usaha yang dilakukan Nabi Musa untuk menjalankan tugasnya menyeru Firaun untuk kembali kepada Tuhannya, namun Firaun tetap dengan kedegilannya itu.

Pada minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman memperincikan kisah dakwah Nabi Musa berhadapan dengan Firaun. Jika diperhatikan, Firaun yang dimaksudkan dalam kisah Nabi Musa ini adalah Firaun yang diberi nama Ramses II. Siapakah Ramses II ini?

Ramses II sebenarnya adalah Firaun yang paling utama.  Dia merupakan Firaun yang paling lama memerintah dan paling banyak anak. Selain itu, Ramses II merupakan Firaun yang mempunyai patung besar dan sentiasa meraih kemenangan di dalam beberapa siri peperangan. Justeru, pada zaman pemerintahan Ramses II inilah banyak kota peradaban terbina di bumi Mesir.

Islam itu Indah: Kekuatan Umat Seteguh Subuh

“Ya Allah berikanlah cahaya pada hati, lisan, telinga dan mata hamba. Jadikanlah cahaya dari belakang, depan dan di bawah hamba, dan sebelah kanan dan kiri hamba berikanlah cahaya. Ya Allah berikanlah kepada hamba cahaya,” doa rutin Rasullullah SAW ketika hendak keluar melaksanakan solat subuh seperti yang telah diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a.

Permintaan indah yang cukup hebat dari seorang hamba Allah yang hebat kepada Penciptanya Yang Maha Hebat ini saya jadikan sebagai mukadimah intipati perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm pada pagi Rabu yang lalu.

Maha Suci Allah yang telah menjadikan keindahan subuh bukan sekadar pada cantiknya suasana, lembutnya udara tetapi juga pada kekuatan roh yang tiada tandingannya. Tatkala kita masih dalam semangat jihad memboikot hasil tangan dan fikir zionis, kita masih canggung memboikot kelakuan dan cara hidup mereka yang tumbuh mendarah daging. Hidonisme, hasad dengki, degil, zalim dan segala macam perbuatan mazmumah bersarang dalam diri. Apakah natijah yang bakal terhasil, jika kita masih lemah pada ketika musuh sudah lemah; mampukah kita mengatasi mereka yang lumpuh tidak berdaya dalam keadaan kita tiada tenaga? Inilah masa yang terbaik untuk kita bina kekuatan, menjana tenaga bagi menegak kebenaran.

Fitrah Kemaafan

“Maafkan ajelah….”, itulah kata-kata pujukan atau nasihat yang pernah kita dengar atau kita terima daripada keluarga atau rakan. Saya faham dan akui  bukan mudah untuk meminta maaf atau kita memberi maaf kepada seseorang. Kesukaran ini adalah kerana bergantung kepada besar mana dan jenis kesalahan yang dilakukan oleh seseorang terhadap kita. Meminta maaf dan memberi kemaafan adalah dua perkara yang berbeza. “Bukan awak yang kena, cuba awak yang duduk tempat saya…” , itulah jawapaan balas kita ketika di persoalkan oleh mereka mengapa kita sukar memaafkan. Siapa yang rasa, dia tahulah.

Kemaafan bukan hanya pada bulan Syawal, tapi harus dimulakan seawal Ramadan yang lalu. Kita diajar untuk selalu berdoa dengan doa ini, “ Ya Allah engkau maha pengampun, engkau suka mengampunkan, aampunilah kami…”. Para pembaca sekalian, hati ini seumpama gelas, hati akan kotor dengan api didalam. Ibarat pelita, bila cermin gelap, api didalam pelita itu tidak akan nampak. Jadi kena bersihkan jelaga-jelaga yang mengotorkan gelas itu. Namun api tidak akan padam, itulah fitrah manusia sentiasa buat salah.

Tarbiah: Jadi Pemerhati Diri Sendiri

Pastikan hati bersih terlebih dahulu sebelum kita membuat perubahan pada diri. Hati yang bersih akan mudah untuk menerima ilmu, teguran, pelajaran dan nasihat. Hati yang bersih juga sebenarnya boleh menjadi pengubat segala jenis penyakit. Namun hati yang bersih harus juga diiringi dengan emosi yang stabil kerana apabila keduanya seimbang, maka mudahlah bagi kita melakukan transformasi diri dan dapat melihat kesan dari usaha perubahan diri itu.

Hakikatnya hati yang bersih akan terserlah melalui kejernihan wajah dan aura yang positif. Sebab itu orang yang berhati mulia akan lebih disayangi dan mudah didampingi berbanding orang yang memiliki hati yang berkeladak atau kotor, kerana ia melahirkan emosi yang negatif seperti dengki, suka mengumpat, cepat marah, suka mengeluh, banyak mengkritik dan sebagainya.

Meminjam kata-kata alim ulama, hati itu ibarat raja bagi seluruh anggota badan kita, jika hati itu baik, maka menjadi baiklah sifat manusia, namun jika hati itu busuk, kotor, sakit, maka ia akan menjadi tempat berkumpulnya segala penyakit mazmumah.

Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad berkata dalam rancangan Tarbiyah yang bersiaran Jumaat lepas jam 10.15 pagi,  jika kita bijak mengurus hati dan menangani emosi dengan selalu meletakkannya di landasan yang betul, ia akan membantu kita menentukan tindakan yang tepat dalam membuat pilihan dan keputusan kehidupan.

Pesona D'Zahra: Akhlak Buah Ilmu yang Diamalkan

Ilmu amatlah penting dalam kehidupan manusia. Dalam Islam menuntut ilmu adalah diwajibkan ke atas setiap orang muslim. Seseorang Muslim dapat memelihara akhlaq dan peribadinya dengan ilmu dan mempergunakan akalnya untuk mendapat petunjuk daripada Allah Swt atas segala urusan dalam kehidupan. Oleh itu, di sisi Islam, menuntut ilmu adalah amalan fardhu dan mulia bagi setiap muslim dan muslimah. Sebagaimana Sabda Rasulullah saw “Mencari ilmu adalah fardhu ke atas setiap muslim “(Hadis Ibnu Majah).
Ilmu letaknya di hati yang memandu perbuatan pemiliknya dalam meniti kehidupan. Sepertimana mencari ilmu itu adalah amat penting, seseorang itu juga dituntut  mengamalkan apa yang didasari dengan ilmu yang telah dipelajarinya. Sabda Nabi Muhammad SAW ertinya: “Sebaik-baik amalan di sisi Allah adalah yang berterusanwalaupun sedikit.” (Muttafaq ‘alaih)

Oleh itu, seseorang penuntut ilmu agama hendaklah membersihkan hatinya supaya ilmu dan amal yang diusahakannya adalah semata-mata kerana Allah swt, dan bukan kerana kepentingan dunia.

Justeru yang turut sama perlu diperhatikan ketika menuntut ilmu adalah hati. Hati mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik. Kerana dengan hati yang bersih, ia akan membersihkan seluruh kehidupan lahirnya.

Namun begitu, mengetahui atau mempelajari sesuatu ilmu itu bukan lah semudah mengamalkannya. Seseorang yang beriman dan berilmu dengan hati yang ikhlas akan berusaha untuk memanfaatkan ilmu yang dimiliki kepada dirinya dan orang lain. Memanfaatkan ilmu terutama ilmu agama melalui perbuatan juga adalah sangat mulia dan ia hanya dapat dilakukan apabila sesuatu ilmu itu berjaya diturunkan ke hati.

Dalam pengisian program Pesona D’Zahra di IKIMfm Isnin lalu, Ustaz Muhamad bin Abdullah al-Amin menjelaskan berkenaan apa yang disebut sebagai menurunkan ilmu kehati itulah yang dikatakan “latihan” atau Mujahadah.

Beliau juga menggariskan tiga perkara yang perlu dikuasai oleh seseorang ketika melakukan mujahadah hati dan melaksanakan ilmu yang difahami. Tiga perkara tersebut adalah  kemarahan, ketakutan dan kesedihan.

'Ibrah: Hikmah Mematuhi Perintah Allah

Ustaz Syaari Abdul Rahman menyambung kembali slot Ibrah di IKIMfm dengan kisah berhubung Nabi Musa AS dengan Firaun. Rancangan Ibrah ini bersiaran secara langsung setiap Isnin jam 5.15 petang.
Apabila telah bertembung dua kelompok itu, kelompok Nabi Musa dan Bani Israel, dan Firaun serta tenteranya di Laut Merah, maka berkatalah sahabat-sahabat Nabi Musa “Sesungguhnya kita telah terkepung.” Berkatalah Musa a.s. “Bahkan tidak sama sekali. Sesungguhnya bersamaku Tuhanku, Dia akan menunjukkan padaku petunjuk.” – Surah Asy-Syu’ara’, ayat 61.
Detik cemas yang dihadapi oleh Nabi Musa a.s. dan tenteranya sedikitpun tidak menggentarkan baginda. Malah Nabi Musa a.s. menenangkan tenteranya dengan menunjukkan keyakinan yang tinggi kepada janji Allah s.w.t..

Ustaz Syaari membawa contoh kritikal yang pernah dihadapi oleh tentera Rasulullah SAW dalam peperangan Khandak yang berlaku dalam bulan Ramadan dan kemenangannya dalam bulan Syawal. Rasulullah SAW berdepan dengan situasi genting namun tetap tenang dan mengungkapkan kata-kata semangat kepada para sahabat dengan janji-janji kemenagan Islam menakluki dunia.

Islam itu Indah: Tuhan Panjangkan Umurku

“Manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak.”
Titipan pesana Saidinia Ali bin Abi Talib r.a ini saya kongsikan sebagai mukadimah perkongsian intipati Islam Itu Indah oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu yang bersiaran setiap Rabu jam 10.15 pagi di radio IKIMfm. Kata-kata itu sungguh mendalam dan tersirat maknanya. Rupa-rupanya apabila seseorang itu mati kelak barulah hakikat kehidupan ini tersingkap sejelas-jelasnya. Ketika itu barulah si mati dapat ‘melihat’ hidup dengan jelas dan tepat.

Ironinya, saban hari bangun dari tidur doa di panjangkan tanda syukur dikurnia sehari lagi usia. Diberi usia bererti dikurnia peluang, kesempatan dan harapan. Bagi yang taat, hidup merupakan peluang, kesempatan dan harapan untuk mencambah lebih banyak ketaatan. Meninjam semangat para Hukama “Buat baik sehingga letih buat maksiat”. Sesungguhnya berbuat baik itu tiada penghujung.

Usrati: Berpisahlah Jika Tiada Lagi Damai

Bercerai adalah sesuatu yang di takuti oleh sesetengah orang dan juga sesuatu yang di nantikan bagi sesetengah di kalangan kita tidak kira lelaki mahupun perempuan. Secara logiknya sudah pasti semua mengharap bahagia dan ceria dalam rumahtangga. Mana ada rumahtangga yang tidak ada ujian. Itu biasa. Pepatah “ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah  hari” memang pernah kita dengar, bukan? Siapa cakap hujan di tengah hari tidak bagus. Hujan itu bagus sebab ia bersifat boleh membersihkan. Jangan lihat isu perceraian sebagai semuanya negatif . Ada orang yang bercerai tapi tetap bahagia. Jangan paksa diri kalau tidak boleh meneruskan rumahtangga. Ikuti kupasan tajuk ini bersama Ustazah Nor Hafizah Musa yang telah ke udara di Ikimfm pada Khamis lepas, jam 5.15 petang menerusi segmen Usrati.

Sudah kita maklum punca-punca yang menyebabkan perceraian boleh berlaku. Sudah kerja syaitan untuk menghasut dan menimbulkan suasana permusuhan dan rasa benci. Jadi ini perlu untuk menilai rumahtangga. Antara lain faktornya ialah memasukkan perasaan yang bercanggah dengan apa yang menjadi kesukaan Allah. Contohnya di tanam dalam hati isteri tentang kemiskinan. Terlalu takut dengan masa depan, takut itu dan ini. Sikap ini datang dari kejahilan kita juga. Selain itu, syaitan juga menjadikan kita suka untuk  melakukan perkara-perkara buruk dalam rumahtangga, contohnya melawan suami. Bila ingatan pada Allah hilang, maka rumahtangga akan jadi haru biru. Syaitan juga bermatlamat untuk menjadikan suami atau isteri sebagai kawan mereka, contohnya supaya suka membuat pembaziran.

Tarbiah: Memaknai Kehidupan Dengan Hati yang Bersih

Memetik kata-kata seorang ulama, Ibrahim Al- Khawas bahawa sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut, yang pertama, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandungannya, yang kedua berpuasa, yang ketiga bangun (beribadat) pada waktu malam, keempat menghampirkan diri kepada Allah dengan beribadat disepertiga malam, dan kelimanya sentiasa bersama- sama di majlis orang- orang soleh.

Demikian panduan yang diberikan bagi orang-orang yang mahu hatinya bersih dan dalam masa yang sama merawat hati yang sakit. Hati yang sakit di sini membawa erti, manusia yang mempunyai akhlak dan perbuatan yang buruk sehingga perbuatannya boleh memakan diri sendiri.

Oleh itu, Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad memberi beberapa pencerahan untuk kita merawat hati yang kotor dan bagaimana cara kita meminpin hati agar dapat kita memaknai kehidupan ini supaya apabila kita bertemu Allah kelak dalam keadaan yang husnul khotimah. Beliau berkata demikian dalam rancangan Tarbiyah bersiaran di IKIMfm setiap Jumaat jam 10.15 pagi.

Pesona D'Zahra: Manusia dan Harapan I

Segala puji bagi Allah, yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Semoga dengan rahmatNya kita beroleh petunjuk dalam urusan kehidupan dunia dan akhirat. Setiap insan tentu ada melalui saat getir dalam hidup. Saat di timpa musibah, hati menjadi resah gelisah, hidup menjadi tidak tenang, sesuatu pekerjaan dirasakan serba tidak kena, fikiran tidak menentu, dan apabila semakin berat beban yang ditanggung ada kalanya terdetik dihati seperti hidup ini sudah tidak ada harapan lagi.

Cuba kita renungkan apakah kita pernah melalui saat getir seperti itu? Dan cuba renungkan apakah ada sesuatu perkara  atau seseorang yang  memberikan kita semangat dan harapan untuk meneruskan kehidupan ketika dilanda ujian-ujian tersebut dalam hidup. Demikianlah pembuka bicara dalam perkongsian kali ini bersama Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin menerusi Rancangan ‘Pesona D’Zahra’ bersiaran di IKIMfm minggu lalu yang disiarkan jam 10.15 pagi, berbicara tentang “Manusia Dan Harapan”.  Adalah menjadi fitrah bahawa setiap manusia mempunyai harapan. Harapanlah yang membangunkan setiap insan untuk mencapai cita-citanya. Harapan lazimnya dimulai dari angan-angan yang seterusnya diperjuangkan agar menjadi kenyataan. Harapan seseorang muslim haruslah sesuatu dari hati, ditimbang dengan akal, dan ilmu dari yang Memberi harapan, Allah SWT.

'Ibrah: Allah Pemerintah Sekelian Alam

Segmen Ibrah kali ini membawakan episod terakhir kisah Nabi Musa a.s. dan Firaun serta bala tenteranya. Episod kali ini mengupas kisah di dalam Al-Quran yang menceritakan tentang kebenaran mimpi Firaun satu masa dahulu, iaitu ketakutan Firaun terhadap salah seorang daripada Bani Israel yang akan memusnahkan dan menghancurkan kekuasaan yang milikinya.

Ustaz Syaari membawa para pendengar menyoroti kisah Nabi Musa a.s. ketika masih lagi bayi semasa Allah memberi ilham kepada ibunya untuk menghanyutkan baginda ke Sungai Nil bagi menyelamatkan baginda daripada dibunuh oleh tentera Firaun. Akhirnya Nabi Musa a.s. yang diletakkan di dalam sebuah peti telah terdampar berhampiran dengan istana Firaun dan dipungut oleh keluarga Firaun seperti yang diceritakan di dalam Surah Al-Qasas, ayat 8. “Setelah itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang Firaun, kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka, sesungguhnya Firaun dan Haamaan serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah (kufur).”

Firaun dan tenteranya merupakan kaum yang derhaka dan kufur kepada Allah SWT, maka Allah telah menghantar Nabi Musa a.s. untuk membinasakan mereka dengan mukjizat baginda, tongkat yang membelah lautan. Namun, mukjizat yang terhebat adalah Al-Quran itu sendiri yang memberi penyelesaian kepada manusia sepanjang zaman. Syaari mengajak para pendengar untuk membaca, menghayati, memahami dan mengkaji Al-Quran supaya ia bukan sekadar peneman di bulan Ramadan bahkan menjadi satu penyelesaian terhadap masalah kehidupan manusia.

Islam itu Indah: Tidak Diketahui Tapi Pasti

“Andai ku tahu
Kapan tiba ajalku
Ku akan memohon
Tuhan tolong panjangkan umurku…”

Lirik yang acapkali ke udara di tetuang suara IKIMfm menjadi tema perkongsian minggu lalu menerusi Islam Itu Indah perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi membawa peringatan bahawa kematian itu pasti tapi waktunya masih misteri. Menjentik hati cukupkah amal buat bekal di alam yang kekal? Sudahkah nikmat di guna untuk taat dalam mengecap hidup yang berkat?

Ujian datang silih berganti selagi belum tiba yang bernama ‘mati’. Seiring musibah,  datangnya bersama hikmah. Sememangnya ujian itu pahit, terimalah dengan jiwa pasrah beserta hati yang berpegang teguh dengan tauhid. Pesan Ustaz Pahrol lagi, hakikat sebenar musibah apabila kita jauh daripada Allah SWT, Allah bawa kita kembali dekat denganNya untuk meraih jannah dengan memudarkan sombong, pemarah, hasad, cinta dunia. Sifat mazmumah akan ditekan dengan ingatan kepada kematian yang merupakan pemutus kepada kelazatan dunia.

Usrati: Konsep Kehidupan

Hidup yang punyai segala kebendaan, hari-hari yang dilalui tiada masalah, sentiasa gembira, apa jua impian mudah saja tercapai, itulah kehidupan yang menjadi dambaan semua orang. Tiada orang yang memiliki kehidupan yang sempurna, yang senmpurna hanyalah Allah SWT. Mungkin kita hanya boleh merasai dan memiliki hanya beberapa perkara saja yang kita mahukan kerana itulah fitrah kehidupan di dunia ini. Walaupun kita hanya boleh memiliki sedikit atau separuh saja kemahuan kita, namun ia tetap boleh membentuk hidup yang sejahtera. Segmen Usrati yang ke udara khamis lalu, jam 5.15pm di IKIMfm ada mengupas  lanjut isu ini. Ikuti intipati ilmu yang disampaikan oleh Ustazah Nor Hafizah binti Musa yang saya ringkaskan di ruang ini. Moga-moga ada memberi sedikit sebanyak manfaat buat kita.

Ada orang hidup dari segi luarannya lengkap segalanya, kereta bersusun, rumah gah ibarat istana, beroleh untung perniagaan yang berjuta ringgit, namun tidur malamnya tidak lena, hatinya sering dirundung gelisah. Ada pula yang sebaliknya, kurang dari segi pakaian yang cantik, makan setiap hari pun ala kadar, namun hatinya kaya, selalu saja merasa gembira, apa jua urusan sering dipermudahkan, ibaratnya seolah-olah tidak pernah ada masalah. Antara sekian banyak firman Nya bermaksud, “ Sesungguhnya setiap kamu akan diuji dari segi kehilangan nyawa, harta benda, hati yang gelisah, kesakitan dan penderitaan untuk menguji sejauh mana keimanan dan kesabaran kamu”. Apa yang kita miliki akan hilang, apa yang kita sayang akan ditinggalkan. Jangan pernah diantara kita ada dalam hati istilah “takut hilang segalanya”, kerana hakikatnya memang kita akan hilang semuanya, apa yang menjadi milik kekal kita hanyalah amalan yang ikhlas.

Tarbiah: Jangan Dibazirkan Masa

Kalau kita tahu waktu itu tidak ternilai harganya, mengapa kita selalu membazir masa dengan perkara yang sia-sia?. Sedangkan sesaat masa itupun mempunyai makna yang amat besar nilainya kepada kita. Bayangkan sesaat masa bagi seorang pakar bedah yang melakukan pembedahan untuk menyelamatkan nyawa pesakitnya, atau sesaat bagi seorang olahragawan yang mahu mencipta rekod baru bagi kerjaya sukannya. Begitulah tingginya nilai masa bagi kita yang tahu bagaimana menggunakan waktu untuk menambah kualiti kepada kehidupan.

Tetapi sayangnya bagi mereka yang hanya melihat waktu sebagai satu putaran biasa tanpa merasa kerugian atas kehilangannya. Betapa ruginya kita melepaskan masa berlalu tanpa memanfaatkannya dengan sesuatu yang produktif. Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad melalui rancangan Tarbiah IKIMfm bertajuk Transformasi Diri: Mengurus Masa yang bersiaran hari Jumaat jam 10.15 pagi menekankan agar kita menitikberatkan waktu untuk meningkatkan kualiti diri dan seterusnya membina kehidupan yang bermakna di dunia mahupun akhirat.

Pesona D'Zahra: Manusia dan Harapan II

Pujian bagi Allah Tuhan sekelian alam yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat Junjungan Besar Rasulullah SAW.,

Pengisian kali ini adalah sambungan kepada perkongsian minggu lalu bertajuk Manusia dan Harapan. Seseorang hamba Allah itu masih boleh terus berjalan dalam keadaan yang getir dan terus melangkah adalah kerana didokong oleh sesuatu harapan. Maka kerana itu lah kita digalakkan berdoa dengan memohon kepada Allah SWT agar diberikan kebaikan didunia dan kebaikan di akhirat.

Adalah lumrah apabila seseorang itu bersandarkan harapan-harapan yang diberikan oleh Allah swt sebagai motivasi meneruskan kehidupan, namun adakalanya dikalangan kita yang tertipu dengan menaruh harapan melalui bisikan syaitan.

Sepertimana sejarah, Manusia pertama yang disogokkan dengan harapan yang dibisikkan syaitan adalah bapa kita, Nabi Adam alahissalam. Surah rujukan pertama yang diberikan Ustaz Muhamad adalah sepotong ayat didalam surah al A’raf ayat ke 21, “Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. “Sesungguhnya saya adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua”..”

'Ibrah: Hakikat Kemerdekaan yang Sebenar (1)

Ibrah siri ke-20 membuka lembaran baru kisah Nabi Musa a.s. dan kaum baginda, Bani Israel. Fasa pertama kisah Nabi Musa a.s. telah pun tamat dengan berakhirnya riwayat Firaun dan tenteranya yang ditenggelami Laut Merah. Dalam Fasa ke-2 ini, bersempena negara kita Malaysia menyambut kemerdekaan, Ustaz Syaari membawa para pendengar merenung erti kemerdekaan yang sebenar, kisah Nabi Musa a.s. memerangi ‘penjajahan’, iaitu sikap kaumnya sendiri, Bani Israel. Inilah yang pernah diungkapkan oleh Ustaz Syaari bahawa kematian Firaun dan tenteranya adalah permulaan kisah Nabi Musa a.s.

Ustaz Syaari membawa para pendengar mengambil iktibar kisah Nabi Musa a.s. sempena Malaysia menyambut bulan kemerdekaan. Bagaimana Nabi Musa yang pada suatu ketika berada di dalam istana yang selesa, menjadi anak angkat kepada Firaun yang kaya raya akhirnya melarikan diri bersama Bani Israel meninggalkan tanah tumpah darahnya, Mesir ke Madyan.

Beliau juga membawa contoh bagaimana Rasulullah s.a.w. yang begitu selesa tinggal di Makkah bersama bapa dan datuknya, bahkan pernah ditawarkan untuk memimpin Makkah pada suatu ketika dahulu juga meninggalkan tanah tumpah darah baginda.

Islam itu Indah: Memberi Kebaikan yang Terbaik

Rasulullah SAW mengungkapkan saranan menerusi hadis Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah mafhumnya, “Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti.” (Riwayat al-Baihaqi)

Pekerjaan adalah proses, wadah dan kaedah untuk beri kebaikan kepada orang lain. Bukan sekadar mendapat laba tetapi gudang memperoleh pahala. Bukan semata makan gaji tetapi menghadam sebanyaknya kebaikan dan reda Ilahi.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengajak kita melihat pekerjaan dari perspektif Islam yang kaya dengan kebaikan dan punya kaitan dengan tujuan kehidupan menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm; Rabu lalu. Pegang kata kunci “Beri kebaikan yang terbaik jika ingin menjadi baik” untuk membezakan pekerjaan manusia dengan mahluk Allah yang lain mahupun meletakkan beza pekerjaan umat Islam dengan yang belum beragama Islam.
Menyorot kehidupan sebagai hamba Allah SWT juga khalifah di atas muka bumi diberi tanggungjawab bekerja sebagai salah satu cabang ujian dan menjadi kewajipan untuk ‘menang’ dalam menyahut ujian tersebut. Caranya dengan melaksanakan perkerjaan pada tahap ‘terbaik’ sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Mulk ayat dua mafhumNya, “Dialah yang mencipta mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)”.
Dalam gelanggang yang bernama pekerjaan serba serbi bakal diuji. Kompetensi diuji, kesungguhan diuji, kecekapan diuji, keikhlasan diuji dan akhlak juga tidak terlepas dari diuji. Setiap ujian menjadi kayu penanda keperibadian seseorang mukmin.

Syukuri Nikmat Yang Ada - Syeikh Hamza Yusuf Hanson

Dalam temubual eksklusif bersama Dj Mazlina Ismail pada hari Khamis lepas di IKIMfm, seorang ulama terkenal Sheikh Hamza Yusuf Hanson yang merupakan pengasas Institut Zaytuna di Amerika Syarikat telah memuji umat Islam di Malaysia kerana masih memiliki identiti yang kukuh dan masih terus mempertahankan manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah dengan berpegang teguh kepada mazhab Imam Shafie dalam fekah, Abu’l Hasan al-Asha’ari dalam Aqidah dan tasawwuf Imam al-Ghazali. Beliau merasakan umat Islam Malaysia masih belum dirosak teruk oleh anasir-anasir luar sepertimana negara-negara Islam yang lain yang terpengaruh dengan pengaruh-pengaruh pasca modernisma. Beliau menyeru agar dipertahankan tradisi ini dari ancaman kononnya apa yang diamalkan hari ini adalah salah dan tidak menepati Sunnah.

10636061_296409263897992_5868555521711803077_nAdakah amalan umat Islam selama beratus tahun dahulu semuanya salah? Mustahil bagi ajaran Islam untuk perlu dibuat kajian semula setelah melalui zaman yang begitu lama dan setelah melalui proses saringan yang ketat oleh ratusan ulama-ulama yang muktabar sepanjang zaman. Beliau turut menyeru agar umat Islam benar-benar mengenali siapakah sebenarnya Ahlul Sunnah wal Jamaah dan ciri-cirinya kerana ramai yang mendakwa mereka adalah kumpulan selamat (firqah najiah) dan Ahlul Sunnah Wal Jamaah sedangkan sebenarnya tidak.

Tarbiah: Transormasi Diri Kecerdasan Emosi

Kecerdasan emosi membawa pengertian keupayaan untuk mengawal perasaan dan emosi diri sendiri. Keadaan emosi yang stabil akan meletakkan makhluk bergelar manusia berada pada martabat termulia jika dibandingkan dengan kedudukan haiwan yang tidak dianugerahkan akal dan emosi. Manusia yang memiliki Kecerdasan emosi akan dapat memimpin diri dan orang lain membuat tindakan atau pemikiran sehingga berapa kepada puncak kemuliaan diri dan sistem nilai diri yang terpuji.

Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Muhammad menerusi rancangan Tarbiah yang disiarkan setiap Jumaat, jam 10.15 pagi terbitan Nik Hasnah Ismail menyatakan bahawa seseorang individu yang memiliki kecerdasan emosi berupaya membina motivasi diri yang tinggi, dapat mengawal emosinya dengan baik, dan dapat menguruskan perasaan negatif yang menghalangnya untuk bertindak dengan betul.

Malah, katanya bagi individu yang memiliki emosi yang waras dapat memahami perasaan orang lain, membina semangat kerjasama dan begitu juga dalam aspek kepimpinan yang lebih menyerlah. Justeru mereka ini dapat menjalin perhubungan persahabatan secara lebih teguh selain setia terhadap perhubungan.

Pesona D'Zahra: Manusia dan Harapan III

Untuk siri ketiga membicarakan “manusia dan harapan”, Ustaz Muhammad bin Abdullah al-Amin menyambung perkongsian menerusi rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm pada Isnin lepas dengan mengimbau kembali bahawa manusia itu secara fitrahnya mempunyai harapan dalam kehidupan. Berbekalkan harapanlah ramai manusia yang dilanda ujian akan terus mempunyai kekuatan untuk mengatur langkah meneruskan kehidupan di dunia ini.

Walaubagaimanapun, kita diingatkan, harapan yang disandarkan oleh seseorang itu jika tidak diperhalusi akan niat, tujuan dan cara mencapai sesuatu harapan itu, boleh menyebabkan pemiliknya dilambung tinggi di awangan tanpa berpijak dibumi nyata. Lebih malang lagi jika sesuatu harapan yang dipertaruhkan dalam kehidupan adalah yang tidak selaras dengan ajaran Islam yang menggalakkan penganutnya mencari kepada kebahagiaan didunia berserta kejayaan di akhirat. Harapan tidak bertepatan dengan syariat ini adalah akibat daripada seseorang itu diperdaya oleh bisikan syaitan yang mahu memesongkan anak Adam jauh dari ajaran Islam.

Mengimbas empat perkara yang telah dikongsikan Ustaz Muhamad pada siri lalu berkenaan harapan yang dibisikkan syaitan adalah: “Mencari Puas Hati”, “Mencari Ketenangan Dengan Jalan Maksiat” dan “Kaya Dengan Jalan Bakhil” dan “Kaya Dengan Jalan Maksiat”. Minggu ini Ustaz Muhamad menyebutkan empat lagi perkara yang perlu kita muhasabah dan awasi sekiranya perkara-perkara tersebut terselit di hati dalam kita menyimpan harapan dalam kehidupan.

'Ibrah: Hakikat Kemerdekaan Sebenar (2)

Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman meneruskan kupasan kisah Nabi Musa a.s. dan Bani Israel di slot Ibrah bersiaran setiap Isnin jam 5.15 petang di IKIMfm.

Seperti yang diceritakan sebelum ini betapa Bani Israel ini telah lama dijajah dibawah rejim Firaun dan mereka masih lagi belum merdeka atas nama yang sebenar. Nabi Musa a.s. pernah berjanji kepada Bani Israel sekiranya mereka telah bebas daripada cengkaman Firaun, baginda berjanji bahawa Allah akan menurunkan satu kitab untuk membawa mereka ke jalan yang benar.

Setelah Nabi Musa a.s. dan Bani Israel meneruskan perjalanan dan sampai di Gunung Sinai, Nabi Musa meminta pertolongan daripada Nabi Harun untuk menjaga kaumnya, Bani Israel kerana baginda perlu bermunajat dan beribadat kepada Allah  SWT tanpa gangguan untuk menerima kitab-Nya. Nabi Musa berpesan kepada Nabi Harun supaya menjaga dan memperbetulkan mereka sekiranya mereka melakukan kesilapan dan jangan sesekali terpengaruh dengan kejahilan yang mereka lakukan. Allah telah mewahyukan Nabi Musa untuk berpesan kepada Nabi Harun kerana pada masa akan datang akan kita ketahui bagaimana sebenarnya sikap Bani Israel yang ingin kembali menyembah berhala seperti di bawah pemerintahan Firaun sebelum ini.

Islam itu Indah: Memburu Ikhlas

Ikhlas itu umpama semut hitam yang berjalan di atas batu yang sangat hitam pada malam yang gelap gelita. Begitulah ikhlas; tidak nampak di mata tapi bertapak di hati. Zahirnya tidak kelihatan namun nyata wujudnya di sisi Allah SWT sebagaimana firmanNya menerusi Surah Ali-Imran ayat 29 mafhumnya, (Katakanlah, sungguh jika kamu semua menyembunyikan apa yang ada di dalam dada kamu atau menampakkannya maka Allah akan mengetahuinya)”.

Hati yang ikhlas tidak akan tersentuh dek pujian dan tidak akan terkesan dengan kejian mahupun cercaan kerana hati itu tahu pandangan siapa yang perlu diutamakan. Demikian perkongsian Islam Itu Indah yang menampilkan Ustaz Pahrol Mohd Juoi saban Rabu pada jam 10.15 pagi di IKIMfm. Ustaz telah menerangkan keikhlasan perlu diburu bukan hanya duduk diam menunggu ia datang.

Ikhlas adalah roh amal atau jiwa ibadah bagi menjamin kebahagian dan kejayaan kita bukan hanya untuk akhirat malah di dunia lagi kita memerlukannya. Jika ditamsilkan amal ibadah sebagai seorang manusia, dan rohnya adalah nyawa. Maka jasad akan menjadi bangkai dengan ketiadaan nyawa. Bangkai perlu dibuang atau dikuburkan kerana nilai kemanusiaannya sudah tiada lagi di waktu itu. Begitu juga dengan kerja yang tidak ikhlas, diumpamakan seperti bangkai yang tiada nilai di sisi Allah SWT. Semestinya kita mengharapkan setiap amal soleh kita dinilai oleh Allah SWT, malangnya jika ia tidak dalam penilaianNya bermakna ianya tertolak ibarat debu-debu berterbangan hanya kerana tiada ikhlas dalam amalan.

Usrati: Hitam Putih Kehidupan

 Saya teruja untuk berkongsi lagi menerusi kupasan segmen Usrati yang ke udara setiap Khamis jam 5.15pm bersama Uustazah Nor Hafizah binti Musa kerana kali ini ada lagi pengisian menarik untuk di kongikan bagi manfaat bersama. Hitam putih itulah tajuk bicaranya. Ayuh kita telusuri apa yang dimaksudkan dengan tajuk tersebut.

Hari-hari kita melalui hidup ini. Setiap hari yang kita lalui episodnya pasti tidak sama. Mari kita buat imbasan sedikit tentang hari-hari dalam kehidupan ini. Ada dua zon dalam hidup ini iaitu zon gelap dan zon cahaya. Kita ini melangkah menuju cahaya atau kegelapan? Mari kita kenali simpton-simpton orang yang duduk dalam gelap, ada tujuh semuanya iaitu yang pertama orang yang tidak pernah yakin. Kita memang tidak betah atau tidak tahan untuk duduk dalam gelap bukan? Kalaulah rumah kita terputus bekalan elektrik walaupun hanya baru seminit, saya yakin satu taman perumahan atau satu kampung tersebut akan terus telefon pihak yang menguruskan bekalan elektrik, iaitu TNB.

Kita juga acap kali mengalami kelam kabut dalam seharian, bukan. Kadang-kadang kita terlalu risau untuk mendepani hari, sekalipun untuk hal-hal yang kecil. Mudah dan cepat sangat risau itu dan ini. Risau tidak bertempat. Memang penat melalui kehidupan yang selalu dirundung rasa keluh kesah.

Tarbiah: Allah Tempat Bergantung

Rancangan Tarbiyah di IKIMfm yang disiarkan Jumaat lepas jam10.15 pagi bersama Prof.Dr Muhaya meneruskan kupasan berhubung transformasi diri dengan memulakan bicara dengan Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hanya orang Mukmin yang sebenar itu apabila disebut saja nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibaca ayat al-Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Allah sajalah mereka menyerah diri.” (Surah al-Anfal, ayat 2)

Oleh itu tanamkan keyakinan dalam hati seteguh-teguhnya bahawa hanya Allah tempat untuk kita mengharapkan pertolongan dan hanya kepada Allah tempat kita bergantung harap, kerana sesungguhnya Allah pasti tidak akan menghampakan janji-janjinya buat hambaNya yang selalu mengharapkan ehsan dan kasih sayang Allah. Ini juga kerana dengan bergantung hanya kepada Allah SWT akan lebih melapangkan hati kita dan memberi kekuatan kepada jiwa untuk menjalani kehidupan yang penuh ranjau dan cabaran ini..

Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad mengajak semua pembaca untuk membuat transformasi diri yang mana jika sebekum ini banyak sekali tindakan dan perbuatan yang kita lakukan hanya bertujuan untuk mendapat pujian manusia atau selalu mengharapkan pertolongan manusia supaya menguatkan keyakinanan bahawa apa sahaja yang terjadi dalam hidup ini adalah dengan keizinan Allah. Oleh sebab itulah kita harup menanam keyakinan bahawa apa sahaja yang kita perolehi mahu dan dapat adalah daripada pemberian Allah. Bagi orang yang hatinya teguh terhadap Allah, Ilmu kualiti kehidupan hanya bersandar kepada Allah semata-mata. Sebagaimana satu kata-kata yang berbunyi mengharap kepada kumbang, kumbang akan lari, mengharap kepada manusia, manusia akan pergi, mengharap kepada pangkat, pangkat akan hilang. Oleh itu, berharaplah hanya kepada Allah kerana Allah kekal abadi.

Pesona D'Zahra: 8 Golongan Pembangun Ummah

 Segala puji bagi Allah yang Maha Pengasih dan selawat dan salam buat junjungan Rasulullah SAW. Malaysia menyambut Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun sejak 51 tahun lalu.  Sesungguhnya kita perlu Bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan Allah keatas Malaysia sehingga ke hari ini.

Sebagai orang Islam yang menghayati sambutan Hari Malaysia dalam aspek yang positif, kita perlu melihat kepada sifat sayang dan cinta kepada tanahair. Nilai sayang ini boleh diwujudkan dengan kita menilai dan menghargai nikmat dan kebahagian tinggal di negara sendiri. Di negara inilah tanah kita dilahirkan, membesar, berkeluarga,dan hidup dalam masyarakat pelbagai bangsa dan agama dengan aman dan tenteram yang membolehkan kita mencari rezeki untuk kehidupan dan beramal ibadah dengan baik.

Perbahasan berkenaan tajuk Mencintai Negara menerusi Rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm oleh tetamu tetap Ustaz Muhamad bin Abdullah Al-Amin kali ini bersempena sambutan Hari Malaysia lebih menjurus kepada membina kesatuan ummah.

'Ibrah: Samiri Si Durjana

Ibrah episod ke 22 bersama Ustaz  Muhammad Syaari Abdul Rahman menyambung kisah Nabi Musa a.s. dan kaumnya Bani Israel. Rancangan ini bersiaran setiap Isnin jam 5.15 petang secara langsung di IKIMfm.

Nabi Musa telah menerima kitab Taurat daripada Allah SWT dan Allah juga memberi peringatan kepada baginda yang tergesa-gesa bertemu dengan Allah dan meninggalkan kaumnya telah mengundang padah. Dengan ketiadaan Nabi Musa a.s. di kalangan Bani Israel ini, akhirnya memberi peluang kepada Samiri untuk menyesatkan mereka. Kesesatan mereka ini bukanlah kerana hasutan syaitan tetapi adalah hasutan daripada salah seorang daripada Bani Israel sendiri, iaitu yang bernama Samiri.
Firman Allah di dalam Surah Toha, ayat 85: “Telah Kami uji kaummu setelah kepergianmu kemudian samiri telah menyesatkan mereka.” Semasa Nabi Musa a.s. bermunajat kepada Allah SWT selama 40 malam untuk menerima kitab Taurat, ketika itulah Bani Israel telah disesatkan oleh Samiri. Mereka telah mengambil seekor patung anak lembu yang diperbuat daripada emas dan boleh mengeluarkan suara apabila ditiup oleh angin.

Islam itu Indah: Memupuk Budaya Iqra'

Suatu ketika, ada seorang lelaki mengadu kepada Imam Ahmad bin Hanbal RA tentang perasaannya yang sedih dan kesepian, lalu Imam Ahmad berkata kepada sahabatnya, “Ambil buku lalu baca!”. Itulah penangan iqra’ bagi hamba yang warak. Dengan membaca memberi tenang, menerusi baca membawa terang. Dan apabila melihat umat islam di zaman ini, mereka umpama orang yang kehilangan cahaya dan berada di dalam kegelapan seperti yang pernah ditempuh masyarakat Jahiliyyah suatu ketika dahulu sebelum turunnya wahyu pertama yang memerintahkan Rasulullah SAW untuk ‘baca’.

Membaca, jika diamalkan dan menjadi kebiasaan sesuatu masyarakat akan melahirkan masyarakat berbudaya membaca. Budaya ini pula diumpamakan oleh Ustaz Pahrol Mod Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm minggu lalu hanyalah sebagai buah dari sebatang pohon.  Terdapat unsur yang lebih penting daripada buah iaitu akar pohon tersebut. Jika sakit akarnya, bubuhlah ubat agar buah yang terbit tidak buruk dimakan ulat.

Meneladani Rasulullah SAW berjaya membawa sinar kepada kaum Jahiliyyah, bukan dengan merawat permukaan masalah tetapi menyuntik solusi pada punca masalah. Rasulullah wujudkan budaya baru untuk tangani budaya yang sudah lama dengan membudayakan iqra’ iaitu membaca.
Allah berfirman menerusi wahyu pertamaNya dalam Surah al-‘Alaq ayat 1-5 mafhumnya, “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” Inilah ayat pertama yang Allah turunkan buat kekasihNya. Dimulakan dengan iqra’ iaitu baca dan bukannya dengan solat, zikir, puasa, zakat mahupun perkara-perkara lain. Ini sudah cukup member pemahaman kepada kita betapa hebat dan pentingnya membaca itu.

Usrati: Bertimbangrasa Terhadap Pembantu Rumah

 Pembantu rumah, orang gaji, amah atau “bibik” itulah gelaran yang sering digunapakai oleh kita. Bibik dalam bahasa Jawa bermaksud makcik. Bibik ini tidak hanya terbatas kepada pembantu rumah sahaja malah termasuk pengasuh anak-anak di taska-taska atau tadika. Bibik-bibik di negara ini terdiri dari pelbagai kewarganegaraan. Yang lazim kebanyakkannya datang dari Indonesia selain daripada Filipina, Kemboja dan Vietnam. Walaupun bibik-bibik ini dibayar gaji oleh kita selaku majikan, tetapi tidak wajar kita melayan serta meletakkan mereka ditaraf seorang hamba. Ada garis panduan yang kita sebagai majikan perlu patuhi. Bibik oh bibik… itulah tajuk yang akan saya kupas berdasarkan segmen Usrati yang telah pun ke udara pada Khamis lalu jam 5.15 petang bersama Ustazah Nor Hafizah binti Musa di stesen radio IKIMfm.

Dalam Islam sendiri ada menyarankan bahawa adalah wajib atau perlu untuk menyediakan pembantu kepada seorang isteri. Ini bergantung kepada tahap kemampuan seorang suami. Ada dua kategori wanita, yang pertama ialah wanita yang memang dari kecil sudah biasa ada pembantu dan yang keduanya wanita yang tidak pernah ada pembantu. Apa-apapun sama ada menyediakan pembantu atau tidak,  Imam Syafi’e ia tertakluk kepada keadaan wanita dan kemampuan suami.

Tarbiah: Kasih Sayang Suburkan Kebaikan

 Prinsip kekuatan bagi seseorang manusia adalah mempunyai nilai persaudaraan yang tinggi antara satu sama lain. Dengan kata lain perhubungan sesama manusia dalam ajaran agama Islam meletakkan seluruh umatnya sebagai ahli keluarga besar yang berasal dari nabi Adam. Sebagaimana yang dijelaskan oleh hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan aku menjadi saksi bahawa semua manusia adalah saling bersaudara” (Abu Dawud)
Kunci dan nilai persaudaraan sesama manusia pula ialah  mahabbah atau kasih sayang yang harus disuburkan umat manusia secara tulus dan ikhlas. Secara asasnya kasih sayang adalah kunci integriti moral yang menjadi petunjuk akhlak mulia seseorang manusia..

Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad melalui rancangan Tarbiah  di IKIMfm jam 10 pagi setiap Jumaat berkongsi tentang transformasi diri. Pada minggu lepas beliau berceritakan berhubung nilai kasih sayang yang tinggi dalam diri seseorang menjadi pemangkin kepada seluruh aura kebaikan dalam diri seseorang. Tindakan, perbuatan, cara berfikir, cara bertindak balas seseorang manusia yang didorong oleh nilai kasih sayang ternyata lebih baik dan mendatangkan kesan berbeza daripada seseorang yang hatinya gersang dan jauh dari perasaan kasih sayang.

Pesona D’Zahra: Ibadah Dipersembahkan Buat Allah


Rancangan Pesona D’Zahra minggu lalu bersama Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin memilih untuk membicarakan tentang Aidil Adha yang semakin menghampiri kita. Moga dengan perkongsian tajuk ini, kita semakin memahami dan menghayati perayaan AidilAdha.
Memulakan bicara, Ustaz menerangkan umat Nabi Muhamad SAW dikurniakan dengan dua hari perayaan, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha. Keduanya  merupakan hari raya yang disyariatkan di mana syiar merayakannya dan memaparkan kegembiraan pada hari tersebut kita akan diberikan ganjaran pahala. Jadi adalah sunat bagi kita mempamerkan kegembiraan kita oada dua hari tersebut. Walaubagaimanapun pensyariatan tersebut tidak menghalang umat Nabi Muhammad SAW untuk menyambut perayaan yang lain dengan memastikan ia memenuhi tiga syarat iaitu:
  1. Sambutan tersebut bukan perayaan keagamaan  atau membabitkan penyembahan kepada dewa-dewa dan sebagainya.
  2. Perayaan itu tidak melambangkan kepada perkara maksiat contohnya hari kekasih (Valentine’s Day) yang membawa mesej menghargai kekasih dan hubungan bukan suami isteri serta menggalakkan kepada aktiviti maksiat.
  3. Tidak membawa unsur syirik dan pemujaan seperti contoh yang pernah diamalkan masyarakat dahulu kala iaitu hari memuja semangat padi, puja pantai, mandi safar  dan lain-lain seumpamanya dan telah lama ditinggalkan.
Kembali bercakap berkenaan hari raya yang dianugerahkan kepada kita, Ustaz Muhamad menyebut, jika direnungkan sesuatu perayaan yang disambut itu kebiasaannya ia adalah bagi meraikan sesuatu pengorbanan yang telah dilaksanakan.

'IBRAH: Bunuh Diri Taubat Bani Israel

Bunuh Diri Taubat Bani Israel
- Ustaz Syaari Abdul Rahman

Segmen Ibrah bersiaran setiap Isnin, jam 5.15 petang minggu lalu di IKIMfm dimulakan dengan Ustaz Syaari Abdul Rahman menyoroti kisah Nabi Musa AS yang begitu marah dengan kaumnya yang menyembah patung anak lembu sehingga terlepas batu (luh) yang tertulis kitab Taurat.

Apabila kemarahan Nabi Musa AS telah reda, baginda telah mengambil kembali batu (luh) Taurat tersebut. Ustaz Syaari mendefinisikan kemarahan itu sebagai satu ‘makhluk’ dan berada di dalam diri setiap manusia, termasuklah Nabi Musa AS sendiri. Kita perlu mengetahui bahawa kemarahan itu boleh dikawal dan akan bertindak apabila tidak dapat dikawal.

Nabi Musa AS telah mengumumkan hukuman membunuh diri terhadap mereka yang telah menyembah patung anak lembu tersebut seperti di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 54. Nabi Musa a.s. berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telh menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung ank lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu, iaitu bunuhlah diri kamu.” Hukuman bunuh diri ini merupakan syariat pada masa itu untuk mereka yang ingin bertaubat. Adapun umat Nabi Muhammad SAW begitu beruntung kerana Allah SWT tidak memerintahkan membunuh diri apabila mereka ingin bertaubat. Sewajarnya kita bersyukur kerana dengan melahirkan keinsafan dan penyesalan, berjanji untuk tidak mengulangi dan seterunya meninggalkan maksiat dan dosa yang dilakukan itu merupakan bentuk taubat untuk umat Nabi Muhammad SAW.

Islam itu Indah: Peluk Islam dengan Ilmu

 Peluk Islam dengan Ilmu
- Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Ilmu itu cahaya daripada Allah, memancar keluar melahir amal memancar ke dalam menzahir iman. Hebatnya ilmu, apabila dekat dengan ilmu umpama rapat kepada cahaya. Gunanya untuk membezakan yang hak dengan yang batil, mengklasifikasikan baik dengan yang buruk dalam melaksanakan kehidupan. Itu anologi ilmu yang dititipkan Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah yang bersiaran pada pukul 10.15 pagi Rabu lalu di IKIMfm.
Syukur atas nikmat Islam yang kita anuti. Terkadang kita leka, sehingga agama yang kita peluk ini tidak kita dakap dengan erat, rapat dan kejap. Kita renggang dengan Islam, sedangkan Islam itu pasangan hidup manusia. Jika kita memisahkan islam dari hidup dan kehidupan kita, bermakna kita memilih untuk menjadi huru-hara dan kacau bilau.
Sesungguhnya Islam itu tenang dan memberi kejayaan dalam hidup. Peluk erat Islam kerana orang bukan Islam berjaya dalam perjuangan mereka bukan ketika mereka berjaya memurtadkan kita, tetapi mereka sudah merasa cukup berjaya hanya sekadar dengan menjauhkan kita daripada Islam. Jadi peluklah Islam, dakaplah islam seeratnya tanda kasih sayang pada agama.

Usrati: Layani Pembantu Rumah Dengan Ihsan

 Layani Pembantu Rumah Dengan Ihsan
- Ustazah Norhafizah Musa

Bibik….! Sarapan dah siap ke? Bibik….! Rumah kenapa belum kemas? Itulah antara pertanyaan yang setiap hari akan ditanya oleh para majikan. Sama ada dalam nada sederhana atau jeritan. Sedarlah oleh kita, bahawa mereka juga manusia. Walaupun bibik-bibik ini dibayar gaji oleh kita selaku majikan, tetapi tidak wajar kita melayan serta meletakkan mereka ditaraf seorang hamba. Ada garis panduan yang kita sebagai majikan perlu patuhi. Mari kita ikuti sambungan bahagian kedua tajuk Bibik oh bibik ini yang akan saya kupas berdasarkan segmen Usrati yang telah pun ke udara pada Khamis lalu jam 5.15pm bersama Ustazah Nor Hafizah binti Musa.

Ada orang macam memiliki urat besi, tulang dawai. Maksudnya dia mampu untuk melakukan pelbagai kerja seorang diri walaupun seorang ibu itu memiliki sembilan anak. Sebaliknya ada pula seorang ibu itu walaupun hanya memiliki seorang anak, tidak menang tangan dia dibuatnya. Kelam kabut hidupnya. Sama juga seperti ada orang kerap saja sakitnya. Ada orang jarang-jarang terkena penyakit. Ini menunjukkan betapa berbezanya setiap dari kita. Walau kembar siam sekalipun tetap tidak sama seratus peratus. Masalah kita pada hari ini ialah suka sangat sama kan diri kita dengan orang lain. Saya berikan falsafah ini, “kita bukan seperti semua orang dan tidak semua orang seperti kita”. Sedarilah bahawa tahap kemampuan, kekuatan dan keupayaan kita Allah jadikan berbeza-beza. Inilah menandakan kebesaran Allah SWT dalam mencipta makhluk ciptaan Nya. Jadi ada orang perlu dan kena ada pembantu dan ada yang tidak perlukan pembantu. Ini bergantung kepada tahap kemampuan seorang suami. Apa-apapun sama ada menyediakan pembantu atau tidak,  Imam Syafie RA berpandandangan ianya tertakluk kepada keadaan wanita dan kemampuan suami.

Tarbiah: Ujian Tanda Allah Cintakan HambaNya

 Ujian Tanda Allah Cintakan HambaNya
-  Profesor Dr. Muhaya Mohamad

Allah SWT telah menjelaskan di dalam al-Quran saat manusia bertanya akan ujian yang selalu mendatangi dirinya. Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman” sedang mereka tidak diuji lagi?” (Surat Al-Ankabut, 2).

Apapun bentuk ujian yang kita terima bukan persoalan yang besar untuk kita tanyakan, tetapi bagaimana kita harus menghadapi ujian itu adalah pokok persoalannya supaya kita tidak menjadi orang yang kufur terhadap segala pemberianNya kepada kita. Sebagai seorang mukmin setiap ujian yang terjadi kepada kita ucapkanlah dengan ‘innalillahi wa inna illahi rojiun’ yang bermaksud “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.”
Menerusi rancangan Tarbiah di radio IKIMfm, Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad berkata hakikatnya kehidupan ini walau sesiapapun kita tidak akan terlepas dari menghadapi ujian dan dugaanNya kerana Allah SWT sendiri telah berfirman di dalam al-Quran, firmanNya”Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami Telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?” (Surat Al-Ankabut Ayat 2).

Pesona D'Zahra: Korban dengan Ikhlas

 Korban dengan Ikhlas
Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin

Rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm bersama Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin bersiaran setiap isnin 10.15 pagi. Minggu lalu bicara Ustaz Muhammad bin Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm yang bersiaran setiap isnin 10.15 pagi menerangkan bahawa umat Nabi muhamad SAW dianugerahkan dengan dua hari perayaan, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha. Keduanya  merupakan hari raya yang disyariatkan di mana syiar merayakannya dan memaparkan kegembiraan pada hari tersebut kita akan diberikan ganjaran pahala. Jadi adalah sunat kita mempamerkan kegembiraan kita pada dua hari tersebut.

Menyambung perkongsian Pesona D’Zahra bagi siri kali ini dengan tajuk Indahnya Islam Dengan Ibadah Korban, Ustaz Muhamad terus berkongsi berkaitan kelebihan amalan ibadah korban yang dilaksanakan umat Islam ketika perayaan Hari Raya Aidil Adha.
 
Dijelaskan minggu lalu tentang Hikmah utama yang diperolehi menerusi ibadah korban adalah perintah agama dari Allah kepada manusia dan kebaikan perintah itu sebenarnya kembali pada manusia.  Melihat kepada ibadah korban yang dilaksanakan oleh orang Islam, Niat ibadah korban adalah untuk mempersembahkan hasil korban itu kepada Allah bagi mendapat keredhaanNya.

'Ibrah: Musafir Menjernihkan Jiwa

 Musafir Menjernihkan Jiwa
- Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman

Segmen Ibrah minggu ini  bersama Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman yang ke udara setiap hari Isnin, jam 5.15 petang di stesen radio IKIMfm memasuki episod ke-24. Beliau menyambung kembali kisah Nabi Musa AS yang diakhiri dengan Baginda AS telah menjatuhkan hukuman bunuh diri kepada kaumnya Bani Israil yang ingin bertaubat lantaran kesalahan besar mereka melakukan Syirik kepada Allah SWT dengan menyembah patung anak lembu. Kemudian daripada itu, Nabi Musa AS meneruskan perjalanannya ke Palestin bersama kaumnya yang masih lagi beriman yang berada bersamanya. Di dalam episod kali ini Ustaz Syaari mengaitkan sikap Bani Israel yang tidak beradab dan tidak sabar semasa bermusafir di padang pasir. Juga diceritakan berkenaan rukun haji yang berkait rapat dengan bermusafir.

Ustaz Syaari mengaitkan kisah Bani Israil yang tidak tenang dan tidak beradab semasa dalam keadaan bermusafir menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu ibadah Haji. Inilah keistimewaannya rukun Haji bagi setiap Muslim yang menunaikan Haji. Bagi menyempurnakan rukun Haji, kita bukan sahaja perlu berada di dalam bulan Haji tetapi yang lebih penting perlu bermusafir untuk berada di lokasi (Mekah), sama ada dengan menaiki kenderaan ataupun berjalan kaki.

Usrati: Hati yang Disayangi Allah (1)

 Hati yang Disayangi Allah (1)
Ustazah Norhafizah binti Musa

Apakah warna hati kita? Bagaimana suasana hati kita? Tenang, kelabu atau hitamkah warnanya? Segmen Usrati Khamis lalu yang ke udara pada jam 5.15pm membincang tajuk ini yang mana ianya diisi oleh Ustazah Nor Hafizah binti Musa. Berbicara tentang hati memang tidak pernah habis kerana kita ini sebagai manusia memang berubah-ubah sifatnya. Sedangkan alam lagikan berubah, ini kan pula kita manusia. Tapi jangan berpandangan  negatif  tentang ini, kerana ini lah namanya proses.

Hadis Nabi SAW, “bahawa di atas muka bumi Allah ini ada bejana-bejana (bekas). Bekas-bekas tersebut ada hati-hati manusia”. Jadi sifat bekas adalah menerima sahaja. Jenis-jenis hati ada tiga iaitu hati yang paling jernih, hati yang paling teguh dan hati yang paling lembut. Yang pertama hati yang paling jernih. Hati jenis ini ialah hati yang paling yakin dengan Allah SWT. Mari kita contohi sejarah pengorbanan yang sangat mahsyur di dalam al-quran iaitu kisah Saidatina Siti Hajar dan suaminya Nabi Allah Ibrahim AS. Pasangan ini mempunyai seorang anak yang bernama Ismail (Nabi Ismail AS).

Lima Perkataan dan Lima Saksi

Lima Perkataan dan Lima Saksi
 - Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin
Meraikan perayaan kedua-dua hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha dalam Islam hukumnya Sunat dan mendapat pahala apabila menyambutnya dengan kegembiraan. Merayakan Aidil Adha dengan ibadah korban juga menghidupkan sunnah Nabi Allah Ibrahim AS, bapa sekalian anbiya’.

Amalan ibadah korban itu seperti dikongsikan sebelum ini dapat mendidik jiwa kearah ketakwaan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia juga boleh mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat suka bersedekah dan ringan membelanjakan harta ke jalan Allah SWT. Keikhlasan menunaikan ibadah  ini juga dapat menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia terutama antara golongan berada dengan golongan yang kurang bernasib baik. Semoga dengan keikhlasan hati dan keredhaan Allah atas korban yang dilaksanakan, kita beroleh pengampunan dosa dan perlindungan Allah SWT daripada kejahatan syaitan, orang lain terhadap kita mahupun hawa nafsu kita sendiri. .

Usrah Nurani: Menggapai Redha Allah


Program Usrah Nurani yang keudara setiap hari Jumaat, jam 5.15 hingga 6.45 petang bersama Ustaz Zulramli bin Mohamed Razali sebagai naqib dan dua orang ahli usrah, iaitu Helmi Yusuf dan Dr. Nik Roskiman Abdul Samad kali ini membawa topik “Radhiah, Mardhiah.”

Ustaz Zulramli membuka bicara usrah dengan mengingatkan semua bahawa setiap manusia akan menghadapi mati. Sama ada bersedia atau tidak, kita semua akan dipanggil menghadap Ilahi apabila tiba waktunya. Namun, apa yang didambakan oleh setiap manusia ialah apabila tiba ajalnya, Allah memanggilnya dengan panggilan (Wahai jiwa yang tenang). (Surah Al-Fajr, ayat 27).

Manusia terlalu inginkan ketenangan ini sehinggakan sanggup memburu kekayaan dan kemasyhuran yang disangkakan boleh memberi ketenangan. Ketenangan bukanlah dianggap sebagai aksesori persekitaran. Oleh itu, kekayaan bukanlah kayu pengukur kepada ketenangan. Malah mungkin seseorang itu tidak memiliki kekayaan, akan tetapi beliau memiliki ketenangan yang luar biasa.

Usrati - Hati yang Disayangi Allah (2)

Hati yang Disayangi Allah (2)
-  Ustazah Nor Hafizah binti Musa

Minggu ini kita sambung kembali berkongsi intipati berhubung tajuk ini untuk bahagian kedua. Mari kita soroti  apa yang disampaikan menerusi segmen Usrati yang ke udara pada hari Khamis lalu di IKIMfm jam 5.15pm bersama Ustazah Nor Hafizah binti Musa berhubung pelbagai kategori hati manusia.

Hati yang teguh ialah seseorang itu sentiasa taat, di mana dia mempunyai teguhan hati dengan Allah. Hati yang lembut bermaksud seseorang yang memiliki sifat lembut dan ihsan dengan masyarakat dan dengan orang sekeliling. Bagaimanakah kualiti seorang Islam (muslim) yang sepatutnya? Ada hadis yang menyebut mafhumnya, “walaupun esok akan kiamat dan di tangan kamu ada sebutir benih maka kamu kena juga menanam benih tersebut”. Begitulah sepatutnya kualiti seorang Muslim.

Biar apapun istilahnya sama ada ujian, dugaan atau musibah ia adalah perkara yang kita perlu lalui untuk menguji sabar kita. Adalah ralat kalau kita dapat ujian tapi itu tidak menjadikan kita lebih berhati jernih dan tidak dapat menjadikan diri kita lebih sabar. Tengoklah kesukaran yang pernah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW dan  Saidina Abu Bakar RA. Mereka juga melalui ujian yang macam-macam, walaupun rasulullah seorang nabi, tapi itulah hidup yang harus dilalui. Sabda Nabi SAW mafhumnya, “jangan takut, jangan sedih kerana Allah ada bersama-sama dengan kita”. Kadang-kadang kita ada merasa ketakutan, ada merasa kerisauan dan ada kesedihan yang perlu kita tempohi. Inilah proses untuk kita tanam keyakinan pada Allah.

Tarbiah: Bersih itu Indah

 Bersih itu Indah
- Ustaz Shahrizan Daud al-Turabi 

Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan orang yang membersih dirinya.”(Surah al-Baqarah, ayat 222). Islam sangat menitikberatkan tentang soal kebersihan. Sebagai seorang manusia kebersihan itu merupakan suatu yang sangat fitrah. Manusia sangat sukakan kebersihan, kecantikan dan keindahan, hatta haiwan sekalipun akan ada perasaan dalam dirinya yang mahukan kebersihan kerana bersih itu adalah satu fitrah.

Penceramah terkenal, al-Fadhil Ustaz Shahrizan Daud al-Turabi yang merupakan panel jemputan rancangan Tarbiah untuk tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2014 telah menggariskan bahawa sebagai manusia kebersihan itu melibatkan dua perkara iaitu kebersihan luaran dan kebersihan dari dalaman.

Kebersihan yang bersifat luaran atau fizikal ialah dengan membersihkan diri dari hujung rambut hingga hujung kaki. Cara untuk menjaga kebersihan adalah dengan membersihkan diri dengan air (mandi) memotong kuku, merapikan rambut dan apa sahaja untuk kelihatan bersih dan kemas. Manakala kebersihan dalaman seseorang pula adalah berkaitan menjaga akhlak, tutur kata, hubungan dengan Allah dan menjaga diri dari sifat-sifat mazmumah yang mendekatkan diri seseorang dengan perkara yang keji dan mungkar.

Pesona D'Zahra: Rumahtangga Universiti Kehidupan (1)

 Rumahtangga Universiti Kehidupan (1)
- Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin

Islam mewajibkan kita menuntut ilmu yang memberi manfaat dan berguna untuk kita dalam hal-hal yang berhubungan dengan kehidupan kita di dunia dan memberi ganjaran di hari akhirat. Tuntutan tentang belajar dan yang berkaitan dengan pencarian ilmu banyak disebut dalam Hadis, demikian juga dalam Al – Qur’an. Hal ini menunjukkan betapa belajar dan mencari ilmu itu sangat penting bagi seseorang sehingga hampir setiap saat manusia sebenarnya tak pernah lepas dari aktiviti belajar, selagi dia memepunyai kesedaran untuk memperbaiki diri .

Dalam konteks pendidikan, hampir semua aktiviti yang dilakukan dalam kehidupan adalah termasuk aktiviti belajar selagi ia membawa kepada penambahbaikan dalam pembangunan potensi – potensi diri . Setiap manusia melalui proses belajar yang tidak berpenghujung. Selagi hayat dikandung badan selagi itulah kita perlu terus mempelajari sesuatu dalam hidup. Guru dalam pembelajaran ilmu kehidupan pula adalah pelbagai. Ada yang belajar secara formal di pusat-pusat ilmu seperti sekolah, universiti dan sebagainya, tidak kurang juga yang menjadikan pengalaman sendiri menerusi pemerhatian terhadap perilaku seseorang yang negatif sebagai guru kita sehari-hari.

'Ibrah: Kuasa Allah Membela Nabinya Dari Difitnah

Kuasa Allah Membela Nabinya Dari Difitnah
 - Ustaz Syaari Abdul Rahman

Kadang-kadang Allah berikan kenikmatan yang banyak kepada kita, namun belum tentu kehidupan kita akan berakhir dengan baik. Kadang-kadang Allah lemparkan kesulitan yang banyak kepada kita supaya kehidupan kita akan berakhir dengan baik. Ustaz Syaari Abdul Rahman memulakan segmen Ibrah yang ke udara setiap hari Isnin, jam 5.15 petang di radio IKIMfm untuk episod ke-26 dengan merujuk kepada Bani Israel yang berterusan menerima kenikmatan, kesenangan serta keselesaan dari Allah SWT walaupun mereka berada di padang pasir yang kering kontang di bawah terik matahari bermusafir ke Palestin.

Selepas Allah menerima taubat kaum Bani Israel yang menyembah patung anak lembu tersebut, mereka meneruskan perjalanan ke utara Sinai, menghampiri Palestin yang mengambil masa selama sepuluh hari perjalanan. Sepanjang bermusafir di padang pasir yang panas terik dan kering kontang, Bani Israel meminta air dan makanan kerana sudah pastinya tidak tahan menghadapi ujian yang perit tersebut.

Usrati - Falsafah Burung Merak

 Falsafah Burung Merak
 - Ustaz Syed Kadir Al-Joofree

Hidup ini ada putarannya. Ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah. Maka sama-samalah kita beringat selalu. Hari ini mungkin kita kenakan orang, mungkin esok lusa kita pula yang terkena. Hari ini kita seorang yang bersyukur, mana tahu esok kita jadi seorang yang takabbur pula. Siapa tahukan? Segmen Usrati Khamis lalu yang ke udara pada jam 5.15pm yang diisi oleh al-Fadhil Ustaz Syed Kadir Al-Joofree mengajak kita melihat takabbur dari sisi si burung merak. Sesungguhnya sifat sombong yang ada pada burung merak juga ada pada kita yang bernama manusia.

Antara yang merosakkan apa hubungan adalah sifat ego. Pelbagai sebutan yang kita guna samaada ego atau sombong maksudnya adalah sama dengan istilah bahasa arab iaitu “takabbur”. Ego adalah sifat yang ada pada semua manusia. Bezanya cuma tinggi atau rendah saja tahapnya. Sifat ego yang melampau boleh membawa kemusnahan kepada keluarga dan diri sendiri.

Isu IWTTAD - Ustaz Muhadir Hj. Joll

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ustaz Muhadir Hj. Joll  ketika diminta mengulas berhubung dengan dakwaan bahawa di sana ada khilaf berhubung dengan menyentuh anjing menyebut “walaupun ada pendapat yang mengatakan anjing tidak najis (iaitu mazhab Maliki), tetapi pendirian yang paling bijaksana ialah mengikut pendapat mazhab utama dalam negara kita iaitu mazhab Syafi’e. Para mufti dalam negara kita tidak membolehkan memegangnya kecuali dalam situasi tertentu yang sangat terhad seperti tugasan merawatnya oleh doktor haiwan, tugasan pemeriksaan oleh anggota polis atau kastam, menyelamatkan anjing, urusan pemburuan atau menjaga tanaman dan lain-lain, dengan menjaga batas dan hadnya. Peganglah pendapat para mufti yang bijaksana ini.

Beliau berkata, kaedah menyebutkan:  
Fatwa dari hakim/ mufti, mengangkat/membatalkan apa yang dikhilafkan.”

Selari dengan qaedah ini, dalam perkara menyentuh anjing, gunalah fatwa mufti mazhab Syafi’e dalam negara kita.