Sunday 2 November 2014

'Ibrah: Musafir Menjernihkan Jiwa

 Musafir Menjernihkan Jiwa
- Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman

Segmen Ibrah minggu ini  bersama Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman yang ke udara setiap hari Isnin, jam 5.15 petang di stesen radio IKIMfm memasuki episod ke-24. Beliau menyambung kembali kisah Nabi Musa AS yang diakhiri dengan Baginda AS telah menjatuhkan hukuman bunuh diri kepada kaumnya Bani Israil yang ingin bertaubat lantaran kesalahan besar mereka melakukan Syirik kepada Allah SWT dengan menyembah patung anak lembu. Kemudian daripada itu, Nabi Musa AS meneruskan perjalanannya ke Palestin bersama kaumnya yang masih lagi beriman yang berada bersamanya. Di dalam episod kali ini Ustaz Syaari mengaitkan sikap Bani Israel yang tidak beradab dan tidak sabar semasa bermusafir di padang pasir. Juga diceritakan berkenaan rukun haji yang berkait rapat dengan bermusafir.

Ustaz Syaari mengaitkan kisah Bani Israil yang tidak tenang dan tidak beradab semasa dalam keadaan bermusafir menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu ibadah Haji. Inilah keistimewaannya rukun Haji bagi setiap Muslim yang menunaikan Haji. Bagi menyempurnakan rukun Haji, kita bukan sahaja perlu berada di dalam bulan Haji tetapi yang lebih penting perlu bermusafir untuk berada di lokasi (Mekah), sama ada dengan menaiki kenderaan ataupun berjalan kaki.


Ustaz Syaari mengambil contoh bagaimana seorang Muslim yang bernama Senad Hadzic, warga Bosnia Herzegovina yang berumur 45 tahun dengan berbekalkan semangat yang kental untuk menunaikan Haji dengan berjalan kaki. Bagi merealisasikan hasrat ini, beliau perlu merentasi tujuh buah negara untuk menuju ke Mekah yang akhirnya mengambil mengambil masa selama 314 hari. Beliau memulakan musafirnya sejak dari tahun 2012 lagi. Diceritakan bagaimana beliau juga telah memasuki negara yang berada di dalam zon perang dan berjalan di dalam keadaan suhu yang terlampau sejuk serta panas, iaitu mencecah -15 darjah Celcius dan ada tempat melebihi 45 darjah Celcius. Namun, Allah SWT telah memelihara beliau sehingga selamat sampai ke Mekah untuk menunaikan haji. Senad Hadzic telah merasai kemanisan bermusafir sepertimana para nabi yang bermusafir, termasuklah Nabi Musa AS yang bermusafir dari Mesir menuju ke Madyan, dan dari Madyan kembali ke Mesir.

Namun, bagi kita sekarang yang berada di dunia serba moden untuk bermusafir tidak lagi perlu bersusah payah. Hanya dengan menaiki kenderaan, sama ada darat, laut atau udara sudah dapat memenuhi hasrat untuk bermusafir walaupun merentasi benua beribu kilometer jauhnya. Ustaz Syaari mengajak para pendengar berfikir adakah dengan kemudahan yang dikecapi oleh kita hari ini menyebabkan kita tidak merasai kemanisan bermusafir seperti yang dirasai oleh para nabi? Imam Syafi’e berpesan di dalam syairnya berkenaan musafir yang berbunyi, “Bagi orang-orang yang berakal mereka tidak akan berdiam diri, mereka akan sentiasa bermusafir dan berpisah kerana sesungguhnya air yang bertakung akan rosak.”

Orang yang tidak bermusafir dikatakan sebagai tidak meluaskan pengetahuan dan pandangannya, dan akhirnya akan tinggal sebagai sia-sia sahaja.

Walau bagaimanapun, kemanisan bermusafir ini tidak dirasai oleh Bani Israel walaupun perjalanan mereka dinaungi oleh awan di tengah-tengah padang pasir seperti yang dirakamkan di dalam al-Quran. Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir), dan Kami turunkan kepada kamu “manna” dan “salwa”, serta Kami berfirman: “Makanlah dari makanan-makan yang baik yang telah Kami kurniakan kepada kamu.” Dan tidaklah mereka menganiayai Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiayai diri mereka sendiri. (Surah Al-Baqarah, ayat 57).

Di akhirnya, Ustaz Syaari mengajak para pendengar untuk sama-sama merenung mengapa Rasulullah SAW berniaga lebih lama tempohnya berbanding Baginda SAW menjadi rasul. Baginda berniaga selama 28 tahun dan dengan perniagaan itulah telah membawa Baginda SAW ke seluruh Tanah Arab. Pengetahuan geografi Baginda SAW begitu meluas sehinggakan Gabenor Bahrain sendiri terkejut dengan pengetahuan baginda berkenaan kota-kota besar di Bahrain, lebih hebat pengetahuannya daripada Maharaja Bahrain pada masa tersebut.

Persoalan kedua yang ditinggalkan oleh Ustaz Syaari ialah apakah sebab di sebalik Surah Al Kahfi merakamkan Nabi Musa AS yang bermusafir dan hanya berhenti setelah berjumpa dengan Nabi Khidir AS. Di dalam surah ini juga diakhiri dengan kisah bermusafir, iaitu peristiwa Zulkarnain menuju ke tempat terbit dan terbenamnya matahari serta ke utara dunia. Persoalan ketiga yang ditinggalkan Ustaz Syaari ialah mengapa di dalam syariat Islam terdapat rukun yang berkaitan dengan musafir iaitu rukun Haji.

Ustaz Syaari merumuskan bahawa sesungguhnya kemanisan musafir itu adalah terletak kepada kesusahan dan kepayahan di dalam bermusafir itu sendiri. Kematangan seseorang adalah terletak kepada kemampuannya menguruskan emosinya ketika berdepan dengan pelbagai masalah dan perkara-perkara yang bukan merupakan perkara yang biasa bagi mereka. Bagaimanakah cara yang terbaik untuk menguruskannya dan pada masa yang sama menjaga adab di dalam bermusafir. Inilah permasalahan sebenar yang dihadapi oleh Bani Israel yang akhirnya mereka menunjukkan kerenah mereka yang sebenar dalam bermusafir menuju ke Palestin bersama Nabi Musa AS.

Dalam permusafiran jugalah akan mendedahkan hakikat perilaku seseorang yang sebenarnya. Kita tidak akan mengenali seseorang dengan sebenar-benarnya sehinggalah kita bermusafir dengannya. Oleh kerana itulah Islam juga menggariskan pelbagai adab-adab apabila bermusafir termasuklah melantik seorang ketua apabila kita memulakan permusafiran.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 7 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment