Segmen Kelolaan Dj Syafiq Zulakifli
Perintah Masuk ke Bumi Palestin -
Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman
Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman
Perjalanan sirah
melalui rancangan Ibrah yang dikongsikan bersama-sama oleh Ustaz
Muhammad Syaari Ab Rahman tiba pada saat perjalanan kaum Nabi Musa a.s.
diperintahkan untuk masuk ke bumi Palestin. Rancangan ini bersiaran di
radio IKIMfm setiap Isnin jam 5 petang.
Dalam penghujung perjalanan kisah Nabi
Musa a.s. untuk terus berdakwah kepada kaumnya, karenah yang ditunjukkan
oleh Bani Israel makin bertambah. Malah dengan segala bentuk helah dan
cubaan untuk mempersendakan Nabi Musa AS akhirnya Allah Taala masuk
campur pada penghujung perjalanan kisah ini.
Firman Allah Taala dalam Surah Al-Maidah
ayat 12 yang bermaksud, “Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil
perjanjian setia Bani Israel (supaya mereka menjunjung perintahNya dan
menjauhi laranganNya), dan Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua
belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman
(kepada mereka): “Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati
segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta
kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman dengan segala Rasul serta menolong
bantu mereka (dalam menegakkan agama Allah), dan kamu pinjamkan Allah
(dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang
baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku
akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur
ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah
ia dari jalan yang betul.”
Janji Allah Taala di dalam ayat di atas
kepada golongan Bani Israel untuk terus beriman kepada Allah adalah satu
daripada nikmat yang tidak dihiraukan oleh mereka. Walaubagaimanapun,
Nabi Musa a.s. terus melaksanakan perintah dakwahnya dan melakukan
pelbagai perancangan untuk memastikan kaumnya setia mengikut ajarannya.
Firman Allah Taala, (Nabi Musa berkata
lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah
diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu
berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi
orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”. (Surah Al-Maidah ayat
21)
Perintah Nabi Musa a.s kepada
pengikutnya untuk masuk ke Tanah Suci Palestin merupakan perintah Allah
Taala. Justeru, Nabi Musa a.s tidak melakukan tindakan dengan semberono
malah melakukan perancangan rapi bagi memastikan kaumnya tidak merasakan
dukacita di atas setiap arahan Ilahi.
Melihat daripada hal demikian, amat
bertepatanlah kita mengenang peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w yang
dilihat kebetulan perkara yang hampir sama dilakukan oleh baginda Nabi
Muhammad untuk menguruskan pengikutnya masuk ke bumi Yathrib (sekarang
dikenali dengan bandar Madinah Al-Munawarah) setelah melihat kekusutan
dan kelemahan ummah sewaktu berada di Mekah.
Nabi Muhammad s.a.w menyusun strategi
dan perancangan yang rapi bagi memastikan perjalanan ke bumi Yathrib
melalui penghijrahan yang dilakukan bukanlah sia-sia.
Hal keadaan ini juga berlaku kepada
pemimpin 12 kaum Nabi Musa a.s. yang disebut ‘Naqib’. Apabila Allah
Taala telah memberikan jaminan kepada mereka yang berbaiah serta
membantu Nabi Musa a.s., mereka akan mendapat ganjaran sekiranya mereka
tidak berasa takut untuk masuk ke bumi Palestin seperti yang telah
diperintahkan.
Dalam ayat yang ke-20, Surah Al-Maidah,
Allah Taala menjelaskan, “Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad),
ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat
Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Dia menjadikan dalam kalangan
kamu beberapa orang Nabi, dan Dia menjadikan kamu bebas merdeka
(setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Dia
memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada
seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)”.
Memperhalusi kata-kata Allah Taala
melalui kalimah ‘Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah” menjadikan
pengikut Nabi Musa a.s. merenung dengan lebih mendalam hal tersebut.
Mereka melihat bahawa hanya Allah jualah yang berhak memberikan segala
pembalasan kepada mereka yang terus setia beriman kepada Allah Taala,
Malah Allah Taala telah menjanjikan jaminan untuk memperoleh keampunan daripada-Nya, kemenangan dan balasan syurga.
Mereka menjawab: “Wahai Musa bahawasanya
di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak
akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika
mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri
itu)”. (Surah Al-Maidah ayat 22)
Buya Hamka di dalam Tafsir Azhar
menyatakan bahawa seramai sepuluh orang daripada 12 orang golongan
Hawariyyun itu tidak mahu meneruskan perjalanan untuk masuk ke dalam
bumi Palestin seperti yang telah diarahkan Nabi Musa a.s.
Maka, “Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: “Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Maidah 23)
Melihat hal keadaan ini, Nabi Musa a.s.
merayu kepada Allah Taala supaya tinggalkanlah segala nikmat kepada
mereka yang tidak mahu terus mengikut dakwah Nabi Musa a.s.
Seperti yang dimaklumi bahawa, Allah
Taala memberikan pelbagai anugerah dan keistimewaan Nabi Musa a.s.
sebagai seorang Nabi. Antaranya, Nabi Musa a.s. diberikan kitab Taurat,
malah di Semenanjung Sinai didatangkan peristiwa patung anak lembu
(Samiri) malah mereka diberikan Manna dan Salwa, tetapi mereka tetap
dengan karenah.
Malah Nabi Musa a.s. terus menyatakan
kepada kaumnya, “Kamu diberikan Nabi-Nabi yang banyak tetapi kamu semua
buat tidak tahu dan tidak mengerti akan setiap janji-janji Allah.”
Dalam perjalanan akhir ini, akhirnya
Nabi Musa a.s. pun merayu kepada Allah untuk memisahkannya dengan mereka
yang mengingkari perintahnya.
Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat
25, Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya
aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku
(Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu”.
Justeru permintaan Nabi Musa a.s. itu
dijawab oleh Allah Taala melalui perhitungannya menyesatkan mereka
selama 40 tahun di dalam kawasan Semenanjung Sinai supaya mereka
menyedari setiap tindakan mereka akan diberikan balasan jua oleh Allah.
Allah berfirman: “Sesungguhnya negeri
itu diharamkan kepada mereka memasukinya – selama empat puluh tahun,
mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang
tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita
terhadap kaum yang fasik itu”. (Surah Al-Maidah ayat 26)
No comments:
Post a Comment