Sunday 2 November 2014

'Ibrah: Teladan Melalui Kisah Qarun

ANTARA hikmah Allah Taala memperincikan kisah-kisah umat Islam yang dimurkai Allah di dalam al-Quran adalah bagi memberikan satu peringatan penting kepada umat Islam pada hari ini agar tidak terjun ke lembah kehinaan itu. Begitulah peringatan dan sandaran Allah bagi memperihalkan keangkuhan Firaun untuk beriman kepada Tuhannya. Kisah Firaun dan Nabi Musa a.s. di Mesir diceritakan melalui pelbagai dimensi dan ayat-ayat sebagai peringatan Allah kepada hambanya bahawa setiap kemungkaran yang dilakukan oleh manusia itu disebabkan kejahilan diri mereka sendiri.

Pada minggu ini, rancangan Ibrah yang dikupas oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman akan meneliti seorang lagi orang kanan Firaun yang dimurkai Allah sehingga akhirnya azab diturunkan kepadanya. Dia yang dimaksudkan adalah Qarun. Istilah “harta karun” yang biasa menjadi ungkapan dibibir kita sebenarnya lahir daripada ketamakan manusia bernama “Qarun” di atas kekayaannya dan perihal keadaan tersebut menjadikan dia sombong dan angkuh kepada Allah Taala.

Allah Taala memperincikan kisah Qarun di dalam al-Quran melalui Surah al-Qasas bermula ayat 76 hingga 82. Kisah ini menjadi saksi bahawa kesombongan melalui harta tidak akan kekal lama jika umat Islam tidak memahami konsep kekayaan di dalam hidup ini.
Allah berfirman, “Sesungguhnya Qarun termasuk daripada kaum Musa, tetapi dia berlaku zalim terhadap mereka dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta dan kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat. Ingatlah ketika kaumnya berkata kepadanya, ‘Janganlah engkau terlalu bangga. Allah Taala tidak menyukai orang yang membanggakan diri.’
Perkara penting yang menjadi peringatan Allah dalam ayat ini adalah manusia mempunyai sikap gopoh dan tamak apabila direzekikan dengan sesuatu perkara. Mereka tidak bersyukur di atas kurniaan yang dilimpahkan kepada dirinya lalu harta itu tidak diinfakkan kepada mereka yang sepatutnya menerima hak. Begitulah Allah mendidik umat Islam di muka bumi ini untuk mengeluarkan zakat apabila tiba waktu dan haulnya.

Perkara kedua yang menambahkan lagi keangkuhan Qarun adalah kerana dia berbangga terhadap kekayaannya itu disebabkan ilmu yang ada pada dirinya.

Allah berfirman di dalam Surah al-Qasas ayat ke-76, “Dia Qarun berkata, Sesungguhnya aku diberi harta itu semata-mata kerana ilmu yang ada padaku. Tidakkah dia tahu, bahawa Allah telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan orang-orang yang berdosa itu tidak perlu ditanya tentang dosa-dosa mereka.”

Ilmu adalah milik Allah. Justeru, bagi mereka yang dikurniakan kekayaan harta seharusnya tidak selesa dengan kekayaan mereka di dunia ini kerana Allah sentiasa memberi peringatan bahawa kejayaan hakiki itu hanya di akhirat kelak. Orang yang memiliki kekayaan dunia tidak akan kekal selama-lamanya kecuali mereka memahami tujuan kekayaan mereka itu.
Hal sedemikian diingatkan Allah melalui firmannya, “Dan carilah pahala negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.”(Surah al-Qasas ayat 77)
Ketamakan Qarun dengan hartanya ini tidak terhenti di situ malah diakui oleh pengikut-pengikutnya. Sikap mendabik dada ini mengingatkan kepada manusia agar berhati-hati dengan jawatan, pangkat dan kedudukan yang mulia diberikan Allah kepada kita. Manusia seringkali diuji dengan kedudukan yang baik malah memberikan gambaran bahawa kehidupan yang senang itu adalah anugerah sedangkan mereka tidak memahami setiap kelebihan itu juga adalah ujian untuk mereka.

Allah memperincikan lagi dengan menyatakan, “Maka keluarlah dia (Qarun) kepada kaumnya dengan kemegahannya. Orang-orang yang menginginkan kehidupan dunia berkata, ‘Mudah-mudahan kita mempunyai harta kekayaan seperti apa yang diberikan kepada Qarun, sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar.” (Surah al-Qasas ayat 79)

Kisah Qarun dalam Surah al-Qasas diakhiri dengan kemurkaan Allah sendiri dengan menenggelamkan Qarun bersama rumahnya ke dalam bumi.
“Maka Kami benamkan dia (Qarun) bersama rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya satu golongan pun yang akan menolongnya selain Allah, dan dia tidak termasuk orang-orang yang dapat membela diri.” (Surah al-Qasas ayat 81)
Mereka yang berziarah ke bumi Mesir pada hari ini, dapat melihat sendiri tanda-tanda kebesaran Allah yang dimurkainya serta menunjukkan peringatan Allah kepada keingkaran dan kesombongan Qarun terhadap hartanya. Allah tidak sekali-kali melupakan umat yang sentiasa mentaatinya. Biarpun Qarun yang menjadi orang kanan Firaun mengingkarinya dan bongkak, tetapi Firaun juga mempunyai orang kanan yang akhirnya mentaati perintah Allah.

Perkara ini dijelaskan Allah agar umat Islam sentiasa mencontohi peribadi dan akhlak yang terpuji biarpun di dalam cengkaman Firaun. Dalam al-Quran Allah menggunakan istilah ‘lelaki yang beriman’ bagi menunjukkan keimanannya biarpun tidak dijelaskan siapakah lelaki beriman tersebut. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa insan yang dimurkai seperti Firaun, Qarun, dan Haman disebutkan dengan nyata di dalam al-Quran tetapi berbeza dengan lelaki beriman pada zaman Firaun, disembunyikan keimanannya agar mendidik umat tidak berasa sombong dan takabbur.

Di dalam surah Ghafir ayat 28 Allah menjelaskan, “Dan seseorang yang beriman di antara keluarga Firaun yang menyembunyikan imannya berkata, ‘Apakah kamu akan membunuh seseorang kerana dia berkata, Tuhanku adalah Allah, padahal sungguh dia telah dating kepadamu membawa bukti-bukti yang nyata dari Tuhanmu. Dan jika dia seorang pendusta maka dialah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan jika dia seorang yang benar, nescaya sebahagian bencana yang diancamkannya kepadamu akan menimpamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang melampaui batas dan pendusta.”

Keimanan umat Islam sentiasa diuji. Bagi mereka yang memahami seruan untuk mentaatinya tidak akan culas dan kurang keimanannya, tetapi bagi mereka yang mengabaikan perintah Allah sebaliknya berlaku terhadap dirinya itu. Begitulah simbol yang digunakan Allah di dalam menterjemahkan keimanan umat. Allah akan memberikan hidayah kepada mereka yang seringkali mencarinya malah inginkan istiqamah terhadapnya. Bandingan tersebut tidak akan diperoleh bagi mereka yang mengingkari perintahnya.

Kisah Qarun yang panjang, kisah Firaun yang berulang-ulang pada beberapa surah di dalam al-Quran menjadi teladan bermakna kerana Allah seringkali mengingatkan betapa besar kurniaan Allah bagi mereka yang mentaatinya dan besar juga azab Allah bagi yang mengingkarinya.Allah berfirman lagi, Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. (Surah Ghafir ayat 39)

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 12 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment