Sunday 2 November 2014

Islam itu Indah: Bukan Kerana Marah

Orang lama pernah berpesan: berbuat sesuatu hendaklah sesuai dengan tempat dan keadaan, supaya perbuatan itu berhasil dengan baik. Perlu adil dalam menyelaras perasaan. Menyingkap perihal memboikot produk keluaran zionis dan sekutunya yang kembali menjadi topik utama dunia, ianya boleh difahami sebagai tamsilan kepada didikan yang diperoleh dari madrasah Ramadan yang lalu iaitu melahirkan modal manusia bertakwa terutama dalam meneliti setiap tindakan yang dizahirkan.

Itu antara intipati perkongsian Islam Itu Indah bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu. Bila bicara tentang takwa, ianya sudah terbina di dalam jiwa umat Islam. Walaupun ketakwaan itu sifatnya maknawi kerana letaknya di dalam hati, namun ia boleh melahirkan tindakan-tindakan yang konstruktif; Nampak di mata  dan mampu dibina. Ia mampu menzahirkan tindakan-tindakan yang dapat menyelesaikan masalah yang melibatkan diri, keluarga, masyarakat, negara dan juga umat.


Takwa punya nilai di sisi Allah. Oleh itu, apabila seseorang itu akrab dengan Allah dari segi nilai ketakwaannya, maka ia akan beri kesan yang besar kepada hubungan sesama manusia. Manusia akan berjaya menghadapi musuh zahir dan batin apabila menggabungkan iman dan juga ukhuwwah.

Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 134 mafhumnya “iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah, Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”. Menerusi ayat ini Allah memberikan kita kayu ukur ketakwaan, antara tanda orang bertakwa yang dinyatakan secara jelas menerusi ayat tersebut adalah orang yang mampu menahan marahnya.

Imam Bukhari meriwayatkan, Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa seorang lelaki datang meminta nasihat daripada Rasulullah SAW, baginda menjawab “Jangan marah”. Lelaki tersebut mengulangi soalannya. Rasulullah SAW menjawab “Jangan marah”. Soalan diulang lagi beberapa kali, lantas baginda mengulang juga jawapan yang sama. Di dalam riwayat Imam Tarmizi, lelaki itu berkata “Wahai Rasulullah, berilah nasihat kepadaku dan janganlah terlalu banyak, moga aku senang memahaminya”. Lantas baginda menjawab “Jangan marah”. Betapa Rasulullah menekankan tentang mengawal marah kerana daripada marah akan timbul perasaan lain seperti dendam dan hasad dengki yang membawa mudarat yang jauh lebih besar sebagaimana dinyatakan bahawa dendam dan dengki itu boleh menghanguskan amal ibadah kita. Ditamsilkan seumpama api yang bukan hanya membakar orang lain malah lebih cepat membinasakan diri sendiri. Oleh itu, usahlah marah, kawallah ammarah yang ada.

Marah juga dipercayai menjadi punca kepada pelbagai penyakit zahir. Satu kertas kajian yang disediakan oleh penyelidik dari University College London mendapati lelaki yang mudah meradang dan panas baran besar kemungkinan akan diserang penyakit koronari berbanding mereka yang tidak bersikap demikian. Dan kajian kedua menghasilkan beberapa teori mengenai emosi marah yang diterjemahkan dalam bentuk serangan jantung. Ini disebabkan, golongan yang tidak mampu mengawal marah mengalami kesukaran tidur, kurang mengambil ubat, mempunyai tabiat pemakanan yang tidak sihat, tidak bersenam, dan lebih terdedah kepada ancaman obesiti. Perasaan marah juga akan menyebabkan berlakunya penurunan imunisasi sekaligus menjadikan diri lebih mudah diserang pelbagai penyakit.

Marah juga selalu dikaitkan dengan keganasan. Marah sebagai tanda hilangnya kebahagiaan dan ketenangan. Marah pencetus kepada penceraian, kemurungan malah kemalangan jalan raya juga adakalanya bermula dengan wujudnya perasaan marah. Acapkali kita dengar marah diumpamakan dengan api. Adakah api membawa kepada keburukan semata? Adakah ia tidak diperlukan dalam menjalani kehidupan? Tidakkah hidup perlu diterangi dengan cahaya yang berasal dari api? Bukankah untuk memasak juga perlu kepada api?

Menurut Sheikh Sa’id Hawwa di dalam kitab Tazkiyyati al-Anfus, tiada manusia boleh terlepas daripada marah, Rasulullah SAW sendiri  juga pernah marah, bahkan Allah juga turut murka dalam situasi tertentu. Oleh itu, kita mesti memahami bahawa ada marah yang diizinkan oleh Islam dan ada marah yang dilarang. Di sinilah perlunya kepada pertimbangan, sukatan dan kawalan terhadap kemarahan.

Terdapat tiga kategori manusia. Pertama orang yang tercela kerana tiada rasa marah dalam diri. Allah berfirman dalam surah At-Tahriim ayat 9 mafhumnya, Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.” Ayat ini mengajak kita untuk bangun berjihad, tidak dayus terutama apabila berbicara tentang kekejaman terhadap saudara seakidah kita.

Bukanlah yang dikatakan kuat itu dengan hebatnya bergusti, demikian bicara Rasulullah SAW. Sesungguhnya orang yang kuat adalah mereka yang mampu menahan dirinya daripada sifat marah dan tahu mengambil faedah dari kemarahan untuk membina kekuatan.  Siapakah yang dikategorikan sebagai mampu menahan diri dari sifat marah ini? Mereka adalah orang yang marah kerana Allah bukannya marah kerana marah. Itulah perjuangan kita, untuk marah kerana Allah bukannya marah kerana marah yang membawa kepada fitnah. Sewajarnya kita tahu letak duduknya marah. Bak kata Imam as-Syafie “Barangsiapa yang tidak marah ketika dia sepatutnya marah, dia umpama keldai.”

Kategori kedua adalah kategori manusia yang melampau dalam marahnya. Ia terjadi ketika mereka marah dengan melanggar pertimbangan akal rasional, melanggar perintah Allah dan melanggar akhlak, adab dan susila ketika melampiaskan marahnya. Dalam isu boikot contohnya, perlu bijak dan berilmu ketika memboikot bukannya dengan emosi, memboikot dengan kekerasan dan menyimpang jauh dari adab kita sebagai umat Islam yang hebat. Diumpamakan jika ingin menghadapi musuh dan menunjukkan marah pada musuh dengan cara terbaik seperti menghadapi anjing yang menyalak, usah berbuat yang sama dengan musuh umpama menyalak kembali padanya kerana ternyata musuh itu bukan guru kita. Banyak lagi cara yang lebih bijak untuk menunjukkan maraknya api kemarahan kita. Elakkan dari merasa bangga dengan kemarahan yang dianggap sebagai kekuatan. Adakalanya perlu memandang kemarahan itu sebagai suatu keabian dan kekurangan.

Oleh itu, ambillah jalan sederhana dalam marah. Marah yang terkawal dan terpimpin: marah yang kena pada tempat dan subjeknya. Jika Islam dihina, dipersenda dan hak Allah diperkotak-katikkan maka wajib kita marah. Berbeza situasi jika diri kita dihina, agama menganjurkan kita untuk memaafkan sahaja seperti yang telah termaktub dalam surah Ali-Imran ayat 134 tadi. Selain itu, pilihlah untuk berfikiran rasional walaupun dalam keadaan marah seperti kisah Saidina Ali tidak meneruskan niat membunuh seorang Yahudi hanya kerana dikhuatiri niat membunuh kerana Allah beralih menjadi membunuh kerana marah akibat diludah wajahnya. Perlu bijak menganalisa antara agama dan peribadi dalam melampias marah. Selain marah perlu kena pada tempat dan subjeknya, marah juga perlu kena pada masanya.

Marah mesti diluahkan, orang yang berjaya dalam hidup bukan orang yang tidak marah tetapi orang yang dapat meluahkan marahnya secara konstruktif. Marah usah dipendam khuatir akan wujud dendam. Moga Allah pimpin hati, jiwa, emosi dan pemikiran kita untuk dapat mengawal marah kerana dari situ kita belajar mengawal diri kita. Inilah kejayaan sebenar apabila kita ingin bertempur dengan musuh-musuh Islam. Semoga kita akan ada perjuangan nafas panjang yang berlandaskan hukum Allah berdasarkan syariat. Marahlah kerana Allah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 13 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment