Sunday 2 November 2014

Isu IWTTAD - Ustaz Muhadir Hj. Joll

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ustaz Muhadir Hj. Joll  ketika diminta mengulas berhubung dengan dakwaan bahawa di sana ada khilaf berhubung dengan menyentuh anjing menyebut “walaupun ada pendapat yang mengatakan anjing tidak najis (iaitu mazhab Maliki), tetapi pendirian yang paling bijaksana ialah mengikut pendapat mazhab utama dalam negara kita iaitu mazhab Syafi’e. Para mufti dalam negara kita tidak membolehkan memegangnya kecuali dalam situasi tertentu yang sangat terhad seperti tugasan merawatnya oleh doktor haiwan, tugasan pemeriksaan oleh anggota polis atau kastam, menyelamatkan anjing, urusan pemburuan atau menjaga tanaman dan lain-lain, dengan menjaga batas dan hadnya. Peganglah pendapat para mufti yang bijaksana ini.

Beliau berkata, kaedah menyebutkan:  
Fatwa dari hakim/ mufti, mengangkat/membatalkan apa yang dikhilafkan.”

Selari dengan qaedah ini, dalam perkara menyentuh anjing, gunalah fatwa mufti mazhab Syafi’e dalam negara kita.

Beliau seterusnya mengulas bahawa benar dalam mazhab Syafi’e, jika terpegang anjing yang kering bulunya dan tangan kita juga kering, tidaklah termasuk dalam najis mughallazhah (berat). Walau bagaimanapun, ia bukanlah ‘tiket’ atau jalan atau alasan untuk memegang anjing. Kalaupun terpaksa memegangnya, tidaklah perlu diwar-warkan kepada umum seolah-olah ‘berbangga’ memegang anjing. Mengulas lebih lanjut, beliau berkata bahawa Rasulullah ada bersabda, mafhumnya: “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang dalamnya ada anjing dan gambar.” (Riwayat Muslim)  Dalam satu hadith lain disebutkan bahwa, mafhumnya: “Malaikat Jibril telah berjanji untuk berjumpa dengan Nabi . Malaikat lambat sehingga menyebabkan Nabi runsing. Maka Nabi pun keluar rumah (menunggu-nunggu) lalu berjumpa dengannya (Jibril). Nabi   lalu bertanya kepadanya apa yang dialaminya, lalu Jibril berkata kepadanya: Kami (para Malaikat) tidak akan masuk rumah yang ada dalamnya gambar dan anjing.”

Hadith-hadith di atas menyebutkan rumah yang ada anjing tidak dimasuki Malaikat.

Kehadiran Malaikat membawa rahmat. Rumah yang ada anjing tidak ada rahmat. Jika tidak ada Malaikat dan rahmat, tidak mustahil ia dimasuki selain daripada Malaikat termasuklah jin dan unsur-unsur lain. Rumah itu juga menjadi tidak atau kurang berkat di samping tidak bercahaya. Jika rumah yang ada anjing itu tidak ada rahmat, atau jauh dari rahmat, tidak atau kurang berkat, bagaimana dengan orang yang memegang anjing itu? Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, mafhumnya: “Sesiapa yang memegang (menyimpan/memelihara) anjing, sesungguhnya perbuatan itu akan mengurangkan satu qirath (sebesar gunung Uhud) daripada pahalanya setiap hari, kecuali anjing pemburu atau penggembala.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Berdasarkan hadith-hadith ini dan hadith-hadith lain, sebahagian ulama’ menghukumkan haram membela anjing sebagai hobi. Jika ada yang berhasrat untuk memelihara anjing di dalam rumahnya atau di luar rumahnya, maka amatilah hadith-hadith yang telah disebutkan di sini dan sebelumnya.

Di dalam kitab Al-Adab al-Mufrad karangan Imam Bukhari, beliau meriwayatkan hadith daripada Ibrahim bin Yazid an-Nakha’i (seorang tabi’in), dia berkata, maksudnya: “Adalah sahabat-sahabat kami membiarkan (memberi keringanan) kepada kami (iaitu kanak-kanak) bermain apa sahaja semuanya kecuali anjing.”

Jikapun tujuan diadakan kempen tersebut mungkin baik supaya orang ramai khsusunya umat Islam tidak takut kepada anjing, namun menggalakkan orang ramai memegang anjing adalah salah. Qaedah menyebutkan: “Matlamat tidak menghalalkan/ membolehkan cara.” Hakikatnya, banyak lagi petua/cara lain untuk tidak takut kepada anjing.

Suri tauladan yang terbaik adalah Baginda Rasulullah . Sepanjang pengetahuan Al-Faqir, tidak pernah ada riwayat yang Baginda menyentuh anjing. Begitulah pula para Salafus Soleh di kalangan para sahabat dan tabi’in. Mereka tidak pernah menyentuh anjing tanpa alasan. Siapakah yang lebih baik dari meneladani mereka dalam perkara ini?

Memegang anjing bukanlah budaya orang Melayu Islam yang sudah sebati dengan ajaran Islam bermazhab Syafi’e. Sejak dahulu lagi, itulah yang diajarkan oleh para guru di sekolah tadika, sekolah rendah dan menengah, malah oleh orang-orang tua yang sebenarnya mengikut ajaran para Tuan Guru dan alim ulama’ serta orang-orang soleh. Ajaran mereka kembali kepada ajaran dan panduan para Salafus Soleh yang bertaqwa. Peganglah budaya yang baik ini yang sebenarnya adalah ajaran agama itu sendiri.

Ustaz Muhadir yang merupakan salah seorang penyumbang di IKIMfm seterusnya menyimpulkan seperti berikut:
  • Orang mukmin yang sebenar selalu memilih yang terbaik. Kenapa perlu memegang anjing?
  • Banyak lagi benda-benda lagi yang lebih bermanfaat untuk dipegang hatta jika memegangnya mendapat pahala umpama memegang kucing dan membelainya dengan kasih sayang termasuk dalam berlaku ehsan terhadap makhluk Allah Taala bernama binatang.
  • Islam membenarkan penganutnya memelihara anjing untuk tujuan-tujuan tertentu sahaja seperti sebagai haiwan buruan, binatang terlatih untuk menjaga haiwan ternakan dan tanaman dan sebagai pengawal keselamatan termasuk membanteras jenayah dadah dan narkotik. Walau bagaimanapun, anjing terlatih ini tidak boleh diletakkan di dalam rumah (tempat tinggal tuannya).
  • Tidak mengapa memegang anjing dalam keadaan tertentu seperti doktor haiwan yang merawatnya, menyelamatkan dari bahaya dan lain-lain. sebaik-baiknya hendaklah berlapik ketika memegangnya dalam keadaan sebegini.
  • Apa sahaja aktiviti yang tidak memberi berfaedah, lebih banyak memberi mudharat daripada manfaat atau lebih banyak membawa keraguan daripada kepastian hendaklah dijauhkan. Qaedah yang bersumberkan daripada hadith menyebutkan, mafhumnya: “Tinggalkanlah sesuatu yang meragukan kamu kepada sesuatu yang tidak meragukan kamu).”
  • Hadith-hadith di atas sudah cukup untuk tidak memegang anjing (jika tidak ada keperluan), tidak meletakkannya di dalam rumah dan tidak menjadikannya sebagai haiwan peliharaan.
  • Suri tauladan yang terbaik adalah Baginda Rasulullah dan para Salafus Soleh di kalangan para sahabat dan tabi’in. Mereka tidak pernah menyentuh anjing tanpa alasan. Adalah jauh dari kebenaran jika panduan dan tauladan mereka tidak diikuti dalam perkara memegang anjing ini, lebih-lebih lagi sehingga ke tahap bermesra, membelai, memeluk atau bermanja- manja hatta bercium dengannya.
  • Walaupun anjing adalah najis mughallazhah (berat), ia bukanlah bermakna anjing mesti dihina, dikasari, disiksa atau dibunuh sewenang-wenangnya. Islam mengajar umatnya bersifat rahmat kepada semua makhluk termasuk kepada binatang. Melakukan ehsan dan kebaikan kepada semua makhluk termasuk anjing adalah sifat terpuji yang akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah Ta’ala.
  • Melakukan sesuatu hanya berdasarkan logik, tidak dengan dasar agama, boleh membawa kepada kesesatan.
  • Setiap orang Islam yang beriman hendaklah ada ihsas (sensitif) dan ghayyur (cemburu) dalam perkara yang melibatkan agama. Melihatnya dengan sambil lewa dan tidak kisah menunjukkan lemahnya iman.

No comments:

Post a Comment