Sunday 2 November 2014

Pendebatan yang Sia-sia

Pendebatan yang Sia-sia - isu IWTTAD
 (Nik Roskiman Abdul Samad)

Seminggu dua ini isu yang hangat diperdebatkan ialah isu kempen “I want to touch a dog”. Daripada kempen yang penganjur jelaskan semata bertujuan untuk menghilangkan atau mengurangkan ketakutan masyarakat Melayu khususnya terhadap anjing muncul pula sisi terbaharu perdebatan hangat dengan pelbagai pandangan feqah berhubung perkara itu. Walhal penganjur itu sendiri tidak pernah terlintas pun bahawa di sana ada pandangan dalam Mazhab Maliki, misalnya, yang agak ringan ketika berinteraksi dengan anjing tiba-tiba ada sekelompok agamawan yang menyeru supaya kononnya “jangan fanatik mazhab”.  Perdebatan berhubung dengan perkara ini sepertimana yang dirumuskan oleh Saudara Amidi Abdul Manan, Presiden ABIM dalam akhbar Sinar Harian 28 Oktober lalu jelas sekali suatu “usaha yang sia-sia”. Ianya merupakan siaran ulang tayang perdebatan 90 tahun dahulu berhubung “Jilatan Anjing” yang melibatkan Mufti Kelantan 1908-1916,  Wan Musa Abdul Samad dan beberapa ulama lain di zaman Sultan Ismail ibn almarhum Sultan Muhammad IV.



Isunya ini sepatutnya sudah reda tetapi tiba-tiba ada pula yang mempertikaikan kononnya kenapa dalam hal  zakat fitrah, dan beberapa hal lain tidak diamalkan berdasarkan pendapat Mazhab Shafie. Hujah yang digunakan ini sudah pasti menimbulkan keraguan dan kesangsian masyarakat awam terhadap mazhab yang menjadi pegangan mereka. Dalam hal membayar zakat fitrah di Malaysia  misalnya  di mana membayar zakat adalah dengan beras, namun para ulama mazhab Shafiiyah sendiri  juga yang membenarkan untuk menggunakan pandangan mazhab Hanafi jika ada keperluan dan hajat. Samada wujud keperluan atau tidak itu diputuskan oleh mufti dan pemerintah dan bukannya sesuka hati. Ini dimaktubkan dalam Seksyen 39 (2) Akta Pentadbiran Agama Wilayah Persekutuan (1984) “Jika mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali”’  Begitu juga dalam hal menyentuh wanita bukan mahram ketika tawaf tidak membatalkan wuduk juga diambil berdasarkan hajat dan keperluan, serta kesulitan (masyaqah) dan bukan dibuat sewenang-wenangnya. Persoalannya apakah hajat dan keperluan untuk memeluk cium anjing seperti yang dilakukan dalam kempen tersebut?

Kita merasa pelik apabila majlis-majlis lain yang dianjurkan begitu ditentang habis-habisan oleh kelompok agamawan tertentu tetapi majlis kempen menyentuh anjing dipuji kerana kononnya menghakiskan fanatik dan taksub kepada Mazhab Shafie. Apabila dianjurkan majlis Selawat dan Qasidah, ada yang menuduh ianya majlis Bidaah dan Syirik dan tidak dibuat Baginda SAW. Apabila dianjurkan bacaan Doa Awal Tahun dan Doa Akhir tahun, juga dituduh ianya Bidaah Sesat kerana tidak dibuat oleh Baginda SAW. Tetapi apabila dianjurkan “kempen sentuh anjing” ianya baik. Ajaib!. Adakah kempen tersebut dibuat oleh Baginda SAW dan Salafus Soleh?
Adakah pernah kita mendengar Baginda SAW atau Sahabat menyentuh anjing?
Perlu dijelaskan bahwa  masyarakat Malaysia yang sensitif terhadap isu ini bukan kerana mereka fanatik mazhab, tetapi kita adalah pengikut Mazhab Shafie. Sepertimana yang dijelaskan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha bahawa Malaysia adalah bermazhab Shafie.  Itu bukan bermakna kita fanatik, jika ada keperluan untuk memilih pandangan Mazhab yang lain dalam Ahlul Sunnah wal Jamaah, pemerintah dan mufti yang akan memutuskannya dan bukannya orang awam.

Ayuh kita hentikan perdebatan ini dan lebih baik dikerah segala tenaga untuk perkara lain yang jauh lebih manfaat. Lebih baik dianjurkan “kempen sentuh al-Qur’an”, “kempen Gerakan Solat Subuh”, kempen Jauhi Zina” dan pelbagai kempen-kempen lain. Kempen mengasihi dan menyintai binatang tidak salah kerana ajaran Islam juga menganjurkan sedemikian, cuma bukan sepertimana yang dianjurkan tempohari.
 
Rencana ini telah disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian edisi 29 Oktober 2014
 

No comments:

Post a Comment