Sunday 2 November 2014

Pesona D'Zahra: Rumahtangga Universiti Kehidupan (1)

 Rumahtangga Universiti Kehidupan (1)
- Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin

Islam mewajibkan kita menuntut ilmu yang memberi manfaat dan berguna untuk kita dalam hal-hal yang berhubungan dengan kehidupan kita di dunia dan memberi ganjaran di hari akhirat. Tuntutan tentang belajar dan yang berkaitan dengan pencarian ilmu banyak disebut dalam Hadis, demikian juga dalam Al – Qur’an. Hal ini menunjukkan betapa belajar dan mencari ilmu itu sangat penting bagi seseorang sehingga hampir setiap saat manusia sebenarnya tak pernah lepas dari aktiviti belajar, selagi dia memepunyai kesedaran untuk memperbaiki diri .

Dalam konteks pendidikan, hampir semua aktiviti yang dilakukan dalam kehidupan adalah termasuk aktiviti belajar selagi ia membawa kepada penambahbaikan dalam pembangunan potensi – potensi diri . Setiap manusia melalui proses belajar yang tidak berpenghujung. Selagi hayat dikandung badan selagi itulah kita perlu terus mempelajari sesuatu dalam hidup. Guru dalam pembelajaran ilmu kehidupan pula adalah pelbagai. Ada yang belajar secara formal di pusat-pusat ilmu seperti sekolah, universiti dan sebagainya, tidak kurang juga yang menjadikan pengalaman sendiri menerusi pemerhatian terhadap perilaku seseorang yang negatif sebagai guru kita sehari-hari.

Dalam perkongsian Pesona D’Zahra di IKIMfm kali ini perbincangan menyebut tentang bagaimana “Rumahtangga sebagai Universiti Kehidupan”. Rancangan ini bersiaran setiap Isnin jam 10 pagi. Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin menghuraikan tentang bagaimana rumahtangga yang dibina adalah satu pusat pembelajaran diri dan pasangan yang banyak boleh kita pelajari.

Bagaimanapun, sebelum memulakan pencarian dan pembelajaran ilmu, seseorang itu perlu kepada keikhlasan. Tanpa keikhlasan, setiap amalan kita akan menyebabkan hilangnya keberkatan dan kebaikan atas amalan-amalan yang dilakukan.

Belajar Untuk Ikhlas

Secara istilah, ikhlas bererti niat mengharap redha Allah sahaja dalam beramal tanpa menyekutukan-Nya dengan yang lain. Ikhlas adalah buah dan intisari dari iman. Melaksanakan sesuatu amal ketaatan dan kebaikan dilakukan seseorang bukan dengan mengharapkan pujian dan balasan daripada manusia tetapi hanya mengharapkan balasan daripada Allah swt, itulah yang dikatakan ikhlas.  Seorang tidak dianggap beragama dengan benar jika tidak ikhlas. Di dalam Al-Quran Allah SWT berfirman “Katakanlah: “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Al-An’am: 162). Seterusnya dalam Surah Al-Bayyinah ayat 5 menyatakan, “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.” .

Tatkala Jibril bertanya tentang ihsan, Rasulullah SAW bersabda, “Engkau beribadah kepada Allah seolah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Allah melihatmu.” Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak menerima amal kecuali dilakukan dengan ikhlas dan mengharap redhaNya.”

Ikhlas adalah rahsia antara kita dengan Allah. Namun kita akan dapat merasakan nikmat keikhlasan itu apabila hati sering tergerak dan terdorong kuat untuk melakukan amal ketaatan tanpa paksaan sesiapa dan mengharapkan perhatian manusia.

Orang yang ikhlas pula diberikan kekuatan untuk menghadapi apa jua cabaran dalam kehidupan dan orang yang ikhlas akan mendapat bantuan dalam melaksanakan kerjanya. Allah SWT  tidak akan mengecewakan hambaNya yang ikhlas dan sentiasa memberi bantuan apabila hambaNya memohon pertolongan. Mereka yang paling memiliki keikhlasan yang tinggi adalah para nabi a.s yang telah diberikan ujian yang berat dan bantuan untuk menghadapi ujian-ujian tersebut dan akhirnya mereka dikurniakan ganjaran yang hebat di akhirat.

Dalam melaksanakan sesuatu amalan dan tugas dalam rumahtangga, adakalanya  kita mengeluh dan merasa lelah atas semua apa yang telah menimpa dan apa yang telah kita lakukan. Tambah pula jika amalan kita tidak dihargai pasangan. Lambat laun, keluhan yang keluar dari bibir, dan penat yang dituturkan akan membuahkan sifat malas dan rasa putus asa dalam diri seseorang.

Namun ikhlas merupakan sumber kekuatan dan pahala. Hanya orang yang ikhlas yang akan mampu memikul beratnya kehidupan  rumah tangga. Dengan kata lain: Dengan Ikhlas, maka beban rumahtangga akan terasa ringan. Tanda orang ikhlas dilihat dari pemberiannya. Semakin tinggi keikhlasan seseorang dalam hatinya, semakin banyak pemberiannya.. Karena orang ikhlas itu suka memberi dan mencari pahala, Allah SWT berfirman: ”Kamu sekali-kali tidak akan mendapatkan kebaikan sehingga mampu memberikan apa yang kamu cintai”, Surah Ali Imrân ayat 92).

Justeru belajarlah erti sebenar ikhlas dan dan mulalah untuk ikhlas dalam apa jua yang kita lakukan dalam mencari bahagia rumahtangga. Semoga dengan ikhlas yang dipacakkan dalam hati dan fikiran, semua tugas menjadi mudah, semua perselisihan menjadi cabaran yang diatasi dengan tenang dan mendapat redha serta sentiasa mendapat pertolongan Allah SWT.

Belajar Memperbaiki Diri

Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga, semestinya mengimpikan perkahwinan yang dibina akan kekal selama mungkin, insyaAllah hingga ke syurga. Perkahwinan merupakan ikatan yang menyatukan dua jiwa, yang datang dari latarbelakang dan didikan serta asuhan yang berbeza oleh keluarga masing-masing dalam satu tempoh yang. Tanpa keikhlasan, dan ciri-ciri lain yang diperlukan untuk menjayakan sesuatu rumahtangga, kebahagiaan akan sukar dicapai akibat daripada perbezaan-perbezaan yang ada dalam diri pasangan.

Oleh itu, pentingnya bagi pasangan yang bakal berkahwin membetulkan cara memandang perkahwinan, yang hakikatnya ianya adalah medan untuk saling melengkapi, berkhidmat, bekerjasama, dan memperbaiki diri dalam mencari redha Ilahi, bukan sekadar nafsu mengelakkan maksiat semata-mata.

Antara cara utama untuk  mengekalkan keharmonian rumahtangga ialah sentiasa belajar untuk memperbaiki diri. Manusia itu sentiasa lalai dan leka serta lekas lupa. Jika tidak sentiasa diingatkan, ditegur serta dinasihatkan, ditakuti manusia itu akan terus leka dengan kekurangan yang ada pada dirinya dan menyangka dirinya sudah cukup sempurna dan baik. Orang yang menyangka dirinya sudah sempurna dan baik adalah orang yang sombong. Sombong adalah sifat Syaitan. Jauhkan diri dari menjadi sombong dengan selalu mendengar kata-kata nasihat dan mendengar hadith-hadith Rasulullah saw dalam bab akhlak. Renungkan kita lazimnya suka apabila dipuji akan kebaikan dan sering memandang kepada kekuatan diri yang ada sehingga menyebabkan kita sering terlupa untuk melihat kekurangan yang ada. Seseorang itu tidak akan dapat memperbaiki diri sekiranya tidak mengenalpasti kekurangan dan kelemahan yang perlu diberi perhatian.

Ada lima golongan yang boleh membantu kita melihat dan memberitahu akan kelemahan diri kita dalam usaha memperbaiki diri baik secara tersirat mahupun tersurat yang perlu kita beri perhatian. Mereka adalah orang yang  memberikan kita ilmu, peringatan dan teguran iaitu:
  1. Guru
  2. Orang yang bijaksana
  3. Orang yang kita sayang
  4. Kawan baik
  5. Musuh
Memperbaiki diri memerlukan kita banyak mendengar kata-kata nasihat. Sangat rugilah orang yang tidak mendengar nasihat kerana dia akan terus leka dan lalai dalam kehidupan dunia yang singkat dan sementara sahaja ini.

Justeru dalam “rumahtangga university kehidupan”, mahu atau tidak kita wajib belajar mengenalpasti kelemahan diri dan kekuatan pasangan bagi terus memotivasikan diri untuk menghadapi perbezaan yang ada. Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah s.w.t. dan akhirnya memberi manfaat kepada ahli keluarga kita.

Semoga Allah s.w.t. memberikan kepada kita kekuatan untuk memperbaiki diri agar dapat mencontohi perbuatan, perkataan dan amalan Rasulullah SAW dan akhirnya membawa kepada kebahagiaan rumahtangga dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Ikuti sambungan tajuk Rumahtangga Universiti Kehidupan pada minggu hadapan untuk perkongsian seterusnya, inshaAllah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 20 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment