Sunday 2 November 2014

Tarbiah: Bersih itu Indah

 Bersih itu Indah
- Ustaz Shahrizan Daud al-Turabi 

Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan orang yang membersih dirinya.”(Surah al-Baqarah, ayat 222). Islam sangat menitikberatkan tentang soal kebersihan. Sebagai seorang manusia kebersihan itu merupakan suatu yang sangat fitrah. Manusia sangat sukakan kebersihan, kecantikan dan keindahan, hatta haiwan sekalipun akan ada perasaan dalam dirinya yang mahukan kebersihan kerana bersih itu adalah satu fitrah.

Penceramah terkenal, al-Fadhil Ustaz Shahrizan Daud al-Turabi yang merupakan panel jemputan rancangan Tarbiah untuk tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2014 telah menggariskan bahawa sebagai manusia kebersihan itu melibatkan dua perkara iaitu kebersihan luaran dan kebersihan dari dalaman.

Kebersihan yang bersifat luaran atau fizikal ialah dengan membersihkan diri dari hujung rambut hingga hujung kaki. Cara untuk menjaga kebersihan adalah dengan membersihkan diri dengan air (mandi) memotong kuku, merapikan rambut dan apa sahaja untuk kelihatan bersih dan kemas. Manakala kebersihan dalaman seseorang pula adalah berkaitan menjaga akhlak, tutur kata, hubungan dengan Allah dan menjaga diri dari sifat-sifat mazmumah yang mendekatkan diri seseorang dengan perkara yang keji dan mungkar.

Hakikatnya kita bukan saja dididik dengan kebersihan luaran, malah kebersihan dalaman atau kebersihan rohani. Firman Allah SWT, mafhumnya “Dan bersihkanlah pakaianmu dan jauhilah perbuatan yang kotor (dosa)”. (Surah al-Muddatsir, ayat 4-5). Ustaz Shahrizan menekankan pentingnya kita membersihkan hati atau jiwa yang bersifat batiniah seperti yang dijelaskan melalui kitab-kitab tasawuf. Memetik karangan Peringatan Bagi Orang Yang Leka seperti karangan Imam al-Samarqandi menggariskan lima perkara untuk membersihkan dalaman kita adalah memperbanyakkan menghadiri majlis ilmu.

Seterusnya cara untuk membersihkan hati dan jiwa adalah dengan cara banyakkan zikrullah. Berzikir bukan hanya sekadar sebut melalui lidah tetapi dengan hati. Malahan zikir kepada Allah juga dengan mata, iaitu melihat dunia ini dan mengaitkan dengan ciptaan Allah lalu kita berzikir di atas kekuasan dan kehebatan ciptaan Allah swt. Seorang yang dekat dengan zikrullah hatinya selalu ingat Allah, dengan zikir ini akan menghidupkan dan membersihkan hati.

Selain itu cara membersihkan hati adalah dengan cara membaca al-quran. Bertadabur al-Quran akan menenangkan hati kerana mukjizat al-quran itu sendiri mempunyai kehebatan yang luar biasa. Imam al-Samaqandi menyebut untuk bersih hati dengan cara tajahut kepada Allah. Bangun sepertiga malam untuk bermunajat kepada Allah dengan seikhlasnya akan mempengaruhi hati untuk selalu mendekatkan kita dengan Allah yang maha esa. Ini kerana orang yang selalu ada hubungan dengan Allah melalui munajat akan melembutkan hati untuk mudah dekat dengan segala kebaikan dan terhijab dari perkara yang mungkar serta maksiat yang dibenci Allah SWT. Setiap perkara yang kita lakukan adalah biasan atau cerminan daripada dalaman diri. Faktor ini menyebabkan Rasulullah SAW sangat menitikberatkan kebersihan hati iaitu tunjang utama kepada tubuh badan kita.

Seterusnya Ustaz Shahrizan memetik saranan Imam-Samarqandi tentang cara untuk membersihkan hati adalah dengan menjaga sumber makanan kita. Sebagai contoh makanan yang berbentuk syubhah, dari sumber rasuah dan tidak halal akan menyebabkan hati kita kotor. Faktor pemakanan yang “halalan toyibban” (halal dan baik) amat mempengaruhi kebersihan hati seseorang kerana makanan itu sendiri mempunyai rohnya dalam mempengaruhi kebersihan hati.

Begitu juga makan dengan tangan kanan sangat dianjurkan oleh Islam kerana mempunyai keberkatan. Sebagaimana disebut daripada Ibnu Umar RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu ingin makan, maka makanlah dengan tangan kanan dan apabila kamu ingin minum, maka minumlah dengan tangan kanan. Sesungguhnya, syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya”  (Hadis Sahih Riwayat Muslim).

Ini  bermaksud walau semudah bagaimana cara kita makan sekalipun ada ganjaran dan kebaikan dalam kehidupan, betapa umat Islam itu sangat bertuah dan mudah untuk menjadi mukmin yang diredhai Allah sekiranya mengikuti sunnah serta anjuran Rasulullah SAW kerana apa sahaja dari Rasulullah ia adalah daripada Allah SWT.

Ustaz Shahrizan turut menyentuh tentang betapa Allah swt sangat suka dan kasih kepada orang yang selalu menitikberatkan akan soal kebersihan luar dan dalam dirinya. Allah suka kepada orang yang selalu mahu membersihkan dirinya dengan cara selalu bertaubat kepada Allah. Orang yang menjaga dirinya secara luaran dan dalaman akan dapat dilihat melalui perbuatannya yang menjaga kebersihan fizikal dan jiwa mereka. Dalam Surah al-Baqarah ayat 222, umat Islam amat digalakkan bertaubat kerana ia adalah simbol kepada pembersihan diri daripada dosa. Ayat al-Quran itu bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertaubat dan suka kepada orang yang membersihkan diri.”

Ini bermakna, setiap kali berbuat dosa hati kita akan merasa terseksa, takut, sedih dan putus asa dalam mengingati kejahatan diri yang dilakukan. Disitulah rahmat bagi orang beriman yang melakukan dosa, dia sentiasa ingat untuk bertaubat, merayu dan memohon maaf kepada Allah, merintih dan menangis, sesal yang tidak terperi sakitnya, lalu dia mendekat serapat-rapatnya kepada Allah dan mengetuk pintu taubat setiap kali melakukan kesilapan. Inilah yang disebut sebagai cara yang bersifat batiniah dalam kita membersihkan hati.

Manusia yang mempunyai keimanan dan disukai Allah menjaga kebersihan persekitaran luaran seperti menjaga penampilan dan kekemasan diri agar memberi keselesaan dan tidak menimbulkan fitnah kepada agama. Dari sudut yang sama, manusia itu juga selalu membersihkan hatinya supaya hati yang bersih itu akan dekat dengan Allah.

Dalam Islam, iman mengajar kita untuk memelihara kebersihan dengan cara membersihkan ruang kerja, rumah, pejabat dan  persekitaran kita agar bersih dan kemas kerana keadaan itu akan turut memberi keselesaan kepada kita sendiri. Malahan orang yang menjaga kebersihan adalah orang yang menterjemahkan keimanan diri mereka melalui apa yang dianjurkan oleh Islam. Sebab itulah sangat dekat kaitan antara sifat memelihara kebersihan dengan keimanan sebagaimana yang disebut melalui hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Kebersihan adalah sebahagian daripada iman” (Hadis riwayat Muslim)

Islam telah menggariskan panduan terbaik buat umatnya dalam soal kebersihan. Bukan garis panduan biasa, malah dibekalkan dengan ganjaran pahala buat umatnya sebagai bekalan akhirat.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 17 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment