Sunday 2 November 2014

Tarbiah: Kasih Sayang Suburkan Kebaikan

 Prinsip kekuatan bagi seseorang manusia adalah mempunyai nilai persaudaraan yang tinggi antara satu sama lain. Dengan kata lain perhubungan sesama manusia dalam ajaran agama Islam meletakkan seluruh umatnya sebagai ahli keluarga besar yang berasal dari nabi Adam. Sebagaimana yang dijelaskan oleh hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan aku menjadi saksi bahawa semua manusia adalah saling bersaudara” (Abu Dawud)
Kunci dan nilai persaudaraan sesama manusia pula ialah  mahabbah atau kasih sayang yang harus disuburkan umat manusia secara tulus dan ikhlas. Secara asasnya kasih sayang adalah kunci integriti moral yang menjadi petunjuk akhlak mulia seseorang manusia..

Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad melalui rancangan Tarbiah  di IKIMfm jam 10 pagi setiap Jumaat berkongsi tentang transformasi diri. Pada minggu lepas beliau berceritakan berhubung nilai kasih sayang yang tinggi dalam diri seseorang menjadi pemangkin kepada seluruh aura kebaikan dalam diri seseorang. Tindakan, perbuatan, cara berfikir, cara bertindak balas seseorang manusia yang didorong oleh nilai kasih sayang ternyata lebih baik dan mendatangkan kesan berbeza daripada seseorang yang hatinya gersang dan jauh dari perasaan kasih sayang.


Malah menurut beliau, kasih sayang sesama insan juga merupakan kunci kepada agen perubahan diri sendiri atau orang lain. Bayangkan jika seorang isteri yang kecewa dengan akhlak buruk si suami yang contohnya pemarah dan ingkar dengan perintah Allah, mengambil tindakan memarahi si suami atau menjauhkan diri darinya tidak akan memberi apa-apa kesan yang positif jika mahu si suami tersebut berubah. Tetapi dengan pendekatan kasih sayang, memberi pujian dan penghargaan, nasihat dengan penuh nilai kebaikan lama-kelamaan akan membuka pintu hati suami untuk menerima teguran. Ini kerana setiap perbuatan yang didasarkan dengan kasih sayang lebih memberi kesan berbanding tindakan yang sebaliknya.

Setiap dari kita jangan sesekali memandang rendah terhadap peri pentingnya kekuatan nilai kasih sayang dalam diri dan seterusnya berkongsi perasaan kasih dan sayang dengan manusia lain. Ini kerana kasih sayang bukan hanya membina silaturahim sesama insan, tetapi kasih sayang berupaya membina kekuatan persaudaraan dan membina kekuatan sebuah masyarakat dan seterusnya membangunkan negara bangsa yang aman dan tenteram.

Sifat kasih sayang itu sendiri adalah sebahagian daripada sifat Allah swt yang mana Sifat ini terkandung dalam beberapa nama-nama Allah seperti Al-Rahman (Maha Pemurah) Al-Rahim (Maha Pengasih), Al-Salam, Al-Muhaiminin (Maha memelihara), Al-Ghaffar (Maha Pengampun) dan Al-Wahab (Maha Pemberi). Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah maha pengasih dan penyayang kepada manusia (Al-Baqarah:143).

Dengan selalu mengamalkan asma dan al-husna atau nama-nama Allah yang mempunyai sifat kasih sayang secara tidak langsung melembut dan melapangkan hati. Seseorang yang berhati lembut lebih mudah untuk menerima teguran, lebih lapang menerima ilmu dan mudah menyesuaian diri dengan kehidupan yang penuh cabaran kerana kasih sayang dalam diri itu sentiasa mengikat dirinya dengan kebaikan.

Sifat rahmat dan kasih sayang adalah termasuk dalam keutamaan akhlak Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana tingginya nilai dan perasaan kasih sayang yang dimiliki Baginda Rasulullah maka baginda tidak mahu mendoakan kebinasaan kepada musuh walaupun musuh melakukan kejahatan terhadapnya seperti yang berlaku dalam peristiwa Taif.

Baginda terpaksa meninggalkan tempat tersebut setelah dakwah baginda ditentang keras oleh kabilah Tsaqib. Ketika Rasulullah meninggalkan tempat tersebut lalu seorang lelaki memohon kepada baginda agar nabi berdoa untuk kebinasaan mereka. Namun, baginda yang memiliki sifat kasih sayang tidak berbuat demikian. Sebaliknya nabi memohon agar Allah memberikan petunjuk kepada kabilah itu.

Demikian juga dalam satu peperangan ada sahabat nabi yang meminta nabi melaknat musuh yang sedang dihadapi itu. Namun, baginda menjawab: “Sesungguhnya aku diutus sebagai rahmat dan bukan sebagai pelaknat”.

Begitulah keperibadian Rasulullah yang memiliki sifat kasih sayang tidak tergamak untuk memohon kebinasaan untuk musuhnya. Kemuliaan hati nabi yang penuh kasih sayang itu adalah kurniaan Allah SWT seperti maksud firman-Nya, “Maka disebabkan rahmat dari Allah maka kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka, sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari kamu” (Ali-Imran: 159).

Sebab itulah, kita perlu selalu menyuburkan nilai kasih sayang dengan cara menjadikan sirah Nabi Muhammad saw sebagai motivasi diri untuk bertindak dengan cara yang wajar tanpa ada sebarang perasaan prasangka buruk terhadap orang lain. Ini kerana sebagaimana kata cerdik pandai membalas perbuatan jahat dengan kebaikan adalah satu perbuatan yang luar biasa tetapi itulah perbuatan yang amat tinggi nilai akhlaknya. Justeru, tugas kita sebagai hamba Allah adalah membuat segala kebaikan dan menyebarkan kasih sayang kepada sesiapa sahaja. Manakala perbuatan jahat orang terhadap kita serahkan kepada Allah yang maha Esa untuk membalas perbuatan tersebut. Ini kerana, dalam hidup ini segala takdir dan ketentuan datang dari kehendak Allah swt yang tentunya mengandung seribu satu hikmah yang tersembunyi untuk setiap hanbanya memahami pemberianNya.

Kasih sayang juga boleh disuburkan dengan cara memberikannya kepada orang lain. Dengan kata lain menyayangi orang lain tanpa mengira siapa mereka boleh akan membuatkan kita seorang yang penyayang. Bersedekah juga adalah kunci yang mendekatkan kita dengan kasih sayang sesama insan kerana dalam hidup ini, jika kita menjadi orang yang banyak memberi kita pastinya akan lebih banyak menerima, tetapi jika ita menjadi orang yang hanya mahu menerima, nescaya kita akan merasa selalu kecewa apabila tidak ada yang mahu memberi. Sebab itulah dengan memberi kasih dan sayang umpamanya akan meletakkan diri kita pada satu tahap nilai yang tinggi sebagai manusia.

Bagaimanapun manusia yang tidak ada kasih sayang dalam dirinya akan hilang keseimbangan diri dan mudah untuk bertindak kasar atau berfikiran negatif terhadap apa juga bentuk cabaran yang dihadapi. Mereka yang gersang hatinya dan jauh dari nilai kasih sayang sesama manusia, biasanya gagal membuat pertimbangan yang menggunakan akal dan hati kurniaan Allah SWT, sebab itulah adakala kita dapat melihat orang-orang yang bertindak ganas dan kejam sesama insan.

Manusia yang dibesarkan dalam keadaan tidak ada kasih sayang, tidak mendapat penghargaan, tidak menerima pujian atau tidak dilayan dengan baik, lebih cenderung untuk bertindak kasar, tidak menyayangi sesama insan, tidak mempedulikan orang lain, malah mereka ini akan lebih dekat dengan perbuatan jahat. Sebagai pendidik, ibu dan bapa, penting bagi kita mendidik anak-anak dengan perasaan penuh kasih dan sayang dan menerapkan nilai kebaikan, kecintaan, dan kasih sayang sesama ahli masyarakat supaya kita dapat membina tali persaudaraan sesama kita dengan seutuh yang mungkin.

Malah, manusia yang hati kemanusiaannya telah terkunci rapat untuk membina nilai kasih sayang menyebabkan ia mudah melakukan penderaan, keganasan, penganiayaan dan keganasan ke atas orang lain. Manakala sekiranya suami atau bapa yang mati nilai kasih sayang maka ia akan cenderung melakukan penderaan ke atas isteri dan anak-anaknya. Begitu juga seorang ibu yang kurang nilai kasih sayang akan membesarkan anak-anak dengan kata-kata kesat dan bagaimana akhlak seorang anak yang dibesarkan dengan kata-kata yang kasar yang merupakan doa apabila ia keluar dari mulut seorang ibu.

Justeru, marilah kita menyuburkan nilai kasih sayang dalam diri supaya kita dapat membina akhlak diri sebagaimana Rasulullah saw yang bicaranya amat lemah lembut, kata-katanya tidak menyakitkan hati, nasihatnya penuh hikmah, dan segala perbuatan baginda tidak pernah datang dari perasaan dendam walaupun ada yang membencinya.

Malah fitrah manusia itu sendiri yang sangat dekat dengan kebaikan dan sebenarnya sukakan perkara yang baik, marilah kita menyuburkan kasih sayang dalam diri supaya dengannnya kita dapat membina keharmonian rumahtangga yang penuh mahabbah, dan seterusnya membina kelestarian ummah dan keamanan sebuah negara bangsa negara. Mudah-mudahan nilai kasih sayang yang kita tanam dalam setiap diri menjadi tiket untuk kita memperolehi syurga Allah swt di negeri akhirat yang kekal abadi.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 26 September 2014

No comments:

Post a Comment