Sunday 2 November 2014

Tarbiah: Transformasi Diri Seorang Suami

Jika tegak kayu, maka tegaklah bayangnya, jika bengkok kayu itu, maka bengkoklah bayangnya. Itulah perumpamaan yang diberikan kepada kaum lelaki yang bernama suami sebagai tonggak utama dalam mengemudi sesebuah rumahtangga. Barangkali menjadi lelaki tidak sepayah menjadi suami kerana kewajipan yang digalas cukup berat. Suami mempunyai peranan yang besar bukan hanya terhadap dirinya sendiri tetapi kepada isteri dan anak-anak.

Ini kerana suamilah yang menentukan hala tuju sesebuah rumahtangga sama ada mahu membawa keluarganya menuju ke syurga atau sebaliknya. Suami atau ayah adalah pembimbing paling setia untuk isteri dan anak-anak, namun jika peranan ini tidak dijalankan dengan betul, tidak mustahil sesebuah rumahtangga akan goyah atau berlaku kecelaruan dalam rumahtangga tersebut.

Seorang lelaki yang baik adalah lelaki yang menyantuni ahli keluarganya dengan penuh kasih sayang dan kemuliaan. Ini membawa maksud seorang suami atau ayah akan selalu memastikan isteri dan anak-anak dekat dengan suruhan Allah SAW. Memperbetulkan cara berfikir dengan melihat isteri dan anak-anak sebagai amanah Allah yang perlu dipelihara dengan sebaiknya.


Pakar Motivasi dan Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad pada minggu lepas melalui rancangan Tarbiah yang disiarkan secara langsung di radio IKIMfm: Pilihan Utama Anda setiap Jumaat jam 10.15 pagi, menasihati kaum lelaki untuk menyimpan ego masing-masing dalam melayari kehidupan rumahtangga. Ini kerana, sikap suami yang sukar menyebut perkataan ‘maaf’ atau ‘terima kasih’ kepada isteri dan anak-anak sedikit sebanyak mencalar hubungan kekeluargaan.

Oleh itu, Prof. Dr Muhaya mengingatkan para suami agar sentiasa mengisi hidup mereka dengan ilmu agama kerana kefahaman ilmu yang mendalam memandu suami untuk mengemudi perkahwinan seterusnya membina sebuah rumah tangga “rumahku syurgaku (baiti jannati). Bayangkan keluarga yang saling mendorong antara satu sama lain, hormat menghormati dan mengisi kekurangan diri dengan nasihat menasihati, sudah tentu akan dapat melayari hidup dengan lebih bermakna. Selalunya, ibu bapa yang memiliki nilai terpuji akan mempengaruhi akhlak dan keperibadian anak-anak.

Anak-anak yang berjaya dalam hidup adalah hasil dari asuhan dan didikan yang betul oleh ibu bapanya. Manakala kejayaan pula bukanlah perkara yang boleh diukur dengan material kerana kejayaan yang sebenar apabila anak-anak dapat bertindak, berfikir dan membuat pilihan hidup yang memberi keutamaan kepada suruhan Allah. Perlu diingat, ibu bapalah yang mencorak pemikiran dan pandangan anak-anak terhadap kehidupan.

Walaupun barangkali sesetengah perkara adalah remeh bagi suami, tetapi jika ianya mendatangkan kesan yang besar, seperti berkaitan aurat isteri dan anak perempuan, urusan solat lima waktu, pergaulan dan seumpamanya, para suami tidak boleh memandang mudah akan hal-hal sedemikian. Iman dan taqwa wajib ditanam ke dalam diri ahli keluarga kerana itu adalah perintah Allah swt yang perlu dipatuhi.

Suami dan juga bapa adalah ketua utama dalam rumahtangga, dengan itu dalam membuat transformasi diri para suami harus tahu di manakah kedudukan dirinya pada hari ini. Jika seorang suami selalu bermuhasabah diri dan dapat mengenalpasti apakah amalan atau perbuatan yang membolehkannya menjadi seorang suami yang baik, maka dengan mudah beliau akan mampu untuk sentiasa menjadi suami yang cemerlang.

Oleh itu, dalam melakukan transformasi diri bagi seorang suami, mereka harus memegang beberapa prinsip utama iaitu dengan melihat sejauhmana akidah, akhlak dan ketaatannya kepada perintah Allah. Dengan demikian seorang suami dapat membawa ahli keluarganya menjadi insan yang cintakan Rasulullah saw dan hamba yang taat kepada penciptaNya. Ini kerana orang yang patuh kepada perintah Allah, hidup dalam ketaatan, hatinya lebih lembut menerima Qada’ dan Qadar Allah SWT.

Seorang lelaki yang bijak sentiasa sedar akan kesilapan diri dan terbuka untuk memperbaikinya. Lelaki yang bijak juga akan memastikan ahli keluarganya bukan dari golongan ahli neraka di Akhirat kelak. Oleh itu, suami perlu menghidupkan keluarganya dengan mahabbah dan kesedaran untuk sentiasa beribadat kerana Allah..

Dengan kata lain, suami tidak hanya mementingkan dirinya sahaja, membiarkan isteri dan anak-anak dengan cara hidup sendiri, sebaliknya ajak mereka bersama-sama untuk mendapat redha Allah dengan sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan kualiti keimanan masing-masing.

Prof. Dr. Muhaya turut berpesan kepada golongan suami tentang hakikat dalam perkahwinan. Hasil dari pilihan hati seseorang lelaki dan dengan kuasa Allah mentakdirkan wanita pilihan itu sebagai isteri yang halal bagi sang suami. Oleh itu suami yang berkasar, yang tidak menjaga hati isteri, yang tidak menghargai isteri seolah-olah tidak menghargai anugerah Allah kepadanya. Lelaki yang ingkar kepada perintah Allah dan tidak menghargai pilihannya sendiri ini tentunya tidak akan memperolehi bahagia dalam hidupnya.

Seorang suami yang baik akan mengemudikan rumahtangga mengikut lunas dan ajaran agama yang menyediakan jalan untuk ahli keluarganya menuju ke syurga. Seorang suami atau ayah akan membekalkan ahli keluarganya dengan ilmu pengetahuan. Ini kerana dengan ilmu, manusia itu akan mendapat limpahan kasih sayang dalam hidup mereka.

Justeru, jika ada suami yang sebelum ini pernah membuat kesilapan dalam hidup, pertama sekali adalah mereka harus memaafkan dirinya. Lupakan kejahilan yang lalu. Kesilapan lepas dijadikan sempadan dalam melangkah kearah fasa baru kehidupan. Ubah cara berfikir dan pandang perkara yang positif dan memberi manfaat untuk kehidupan.

Barangkali pada masa dahulu itu kita adalah orang yang jahil, tetapi dengan kesedaran yang Allah SWT anugerahkan untuk kita, gunakanlah untuk mengubah paradigma dalaman diri kita. Tingkatkan kerohanian diri dan tukar corak berfikir ke arah akhlak yang diajar oleh al-Quran dan Rasulullah SAW.

Jika seorang suami dapat mengubah dirinya secara dalaman nescaya ia akan dapat diserlahkan melalui perbuatan dan akhlak luarannya. Kesilapan masa lalu akan dapat dibayar dengan kekesalan dan taubat nasuha kepada Allah SWT. Apa sahaja pilihan masa lalu akan menentukan hasilnya pada hari ini. Betulkan aspek diri dengan sentiasa memelihara hubungan dengan Allah kerana orang yang ada hubungan dengan Allah pasti urusan dunia akan diatur dengan baik.

Bina imej diri positif dengan bercakap perkara yang baik terhadap diri sendiri. Kerana imej diri menentukan pencapaian seseorang dalam hidup. Setiap orang mempunyai potensi yang besar dalam hidupnya, namun jika dikecilkan minda dan tidak percaya terhadap diri sendiri, kehidupan ini akan dilihat dari teropong yang kecil. Oleh itu seorang suami haruslah sentiasa bermuhasabah dirinya dan cuba memperbaiki dirinya menjadi seorang suami yang lebih baik hari ini berbanding semalam. Transformasi diri seorang suami teramat penting kerana suami adalah ketua keluarga dan laksana seorang kapten yang mengemudi sebuah kapal, jika kaptennya mengemudi dengan betul maka selamatlah anak kapalnya tetapi jika kapten salah, maka karamlah kapal dan binasalah semua penumpangnya. Begitu juga dalam keluarga, keluarga hanya akan selamat dan bahagia dunia dan akhirat jika suaminya seorang yang soleh.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 30 Julai 2014

No comments:

Post a Comment