Sunday 2 November 2014

Usrah Nurani: Menggapai Redha Allah


Program Usrah Nurani yang keudara setiap hari Jumaat, jam 5.15 hingga 6.45 petang bersama Ustaz Zulramli bin Mohamed Razali sebagai naqib dan dua orang ahli usrah, iaitu Helmi Yusuf dan Dr. Nik Roskiman Abdul Samad kali ini membawa topik “Radhiah, Mardhiah.”

Ustaz Zulramli membuka bicara usrah dengan mengingatkan semua bahawa setiap manusia akan menghadapi mati. Sama ada bersedia atau tidak, kita semua akan dipanggil menghadap Ilahi apabila tiba waktunya. Namun, apa yang didambakan oleh setiap manusia ialah apabila tiba ajalnya, Allah memanggilnya dengan panggilan (Wahai jiwa yang tenang). (Surah Al-Fajr, ayat 27).

Manusia terlalu inginkan ketenangan ini sehinggakan sanggup memburu kekayaan dan kemasyhuran yang disangkakan boleh memberi ketenangan. Ketenangan bukanlah dianggap sebagai aksesori persekitaran. Oleh itu, kekayaan bukanlah kayu pengukur kepada ketenangan. Malah mungkin seseorang itu tidak memiliki kekayaan, akan tetapi beliau memiliki ketenangan yang luar biasa.


Ustaz Zulramli mengajak ahli usrah dan para pendengar bermuhasabah sekiranya saat ajal kita datang, Allah memanggil kita dengan panggilan ‘Wahai jiwa yang tenang’, adakah jiwa kita betul-betul akan tenang walaupun sepanjang hayat kita di dunia, kita tidak pernah merasai ketenangan? Imam Ghazali pernah mengatakan bahawa ‘Manusia akan mati mengikut cara bagaimana dia hidup.’

Sekiranya kita mahukan saat kita mati itu mendapat ketenangan, maka kehidupan kita di dunia juga perlu mendapat ketenangan. Setiap manusia perlu memasang niat dan berazam untuk memulakan kehidupan yang baru dan bangkit menjalani kehidupan dengan penuh ketenangan. Anak kunci ketenangan terletak kepada ayat yang ke-28 di dalam Surah Al-Fajr (Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan engkau redha kepada Allah dan Allah redha kepadamu).

Helmi Yusuf mengutarakan satu persoalan, iaitu seorang ibu pernah mengatakan bahawa kelahiran anak-anak itu boleh menyebabkannya jatuh bankrap dan berputus asa dengan kehidupannya. Ustaz Zulramli mengatakan bahawa manusia dikurniakan keupayaan untuk memilih sama ada untuk menerima ataupun menolak kesusahan dan dugaan yang datang kepada kita. Menerima bermaksud kita redha dengan apa yang telah berlaku kepada diri kita dan menolak bermaksud kita tidak redha serta menyalahkan pula takdir yang ditentukan kepada kita. Perkara pertama yang perlu diterima oleh setiap orang Islam ialah, kita adalah hamba kepada Allah SWT. Kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.

Helmi Yusuf mengaitkan redha dengan tanggungjawab kita sebagai seorang hamba kepada Pencipta dan memuliakan Nabi s.a.w. serta tanggungjawab sebagai anak kepada ibubapa. Sesungguhnya redha Allah itu terletak kepada redha kedua ibubapa. Selain itu sebagai seorang manusia, kita juga bertanggungjawab dan sumbangan kita terhadap agama dan masyarakat. Hamka pernah mengatakan ‘Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan pun hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja’. Apabila kita mulai menyoal di dalam diri mengenai tanggungjawab kita, Allah akan mencampakkan ketenangan di dalam diri kita.

Dr. Nik Roskiman mengupas lanjut Surah Al-Fajr, ayat 27 hingga 30. Ayat ini mengandungi dua komponen penting, iaitu redha dan meredhai. Hasan Al Basri pernah mengatakan bahawa ‘Sekiranya kita ingin mengetahui kedudukan kita di sisi Allah SWT, maka lihatlah kedudukan Allah SWT di sisi kita.’ Bagaimana kita meletakkan Allah di dalam kehidupan seharian kita, sama ada kita mengutamakan Allah dalam setiap perkara yang kita lakukan ataupun tidak. Itulah petanda bahawa kita dekat atau jauh daripada redha Allah SWT.

Dalam konteks yang sama juga Dr. Nik Roskiman mengatakan redha itu bagaimana kita menerima qada’ dan qadar yang ditentukan Allah kepada hambanya. Nabi s.a.w. sentiasa memanjatkan syukur kepada Allah SWT sama ada dikurniakan kebaikan dan kebahagiaan ataupun ditimpa musibah dan ujian. Kita perlu yakin bahawa apa sahaja yang Allah timpakan kepada kita sama ada baik ataupun buruk adalah untuk kebaikan kita. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui. (Surah Al-Baqarah, ayat 216).

Saat ujian datang, mungkin susah bagi kita untuk berhadapan dan menjadi seorang yang redha, iaitu tenang menerima ujian tersebut. Apabila ujian datang kepada seseorang yang tidak mempunyai latihan, sudah pasti ianya akan memusnahkan dirinya. Ustaz Zulramli mengajak ahli usrah dan para pendengar untuk sama-sama melatih diri menghadapi ujian yang tidak pasti bila akan datang kepada kita. Beliau mengambil contoh pemain bola yang akan bertanding hanya selama 90 minit tidak pernah berhenti membuat latihan. Manusia tidak boleh lari daripada ujian. Setiap orang inginkan kebahagiaan, namun tidak semua dapat mengecapinya. Tidak ada seorang manusia yang inginkan ujian, tetapi setiap orang akan mendapat ujian.

Di akhirnya, Ustaz Zulramli merujuk redha itu sebagai buah dan manusia sudah pasti tidak dapat membaiki buah tetapi manusia boleh membaiki akarnya. Untuk mendapatkan buah yang manis kita tidak boleh menyuntik gula padanya tetapi perlu membajai akarnya. Di dalam Islam, redha itu adalah akhlak dan kita perlu kembali kepada perkara utama iaitu mengenal Allah SWT dan persoalan akhirat. Manusia boleh menerima ujian apabila kenal dengan Allah dan membawa akhirat ke dalam diri. Itulah yang dikatakan sebagai latihan untuk menghadapi ujian.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 14 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment