Sunday 2 November 2014

Usrati: Bertimbangrasa Terhadap Pembantu Rumah

 Pembantu rumah, orang gaji, amah atau “bibik” itulah gelaran yang sering digunapakai oleh kita. Bibik dalam bahasa Jawa bermaksud makcik. Bibik ini tidak hanya terbatas kepada pembantu rumah sahaja malah termasuk pengasuh anak-anak di taska-taska atau tadika. Bibik-bibik di negara ini terdiri dari pelbagai kewarganegaraan. Yang lazim kebanyakkannya datang dari Indonesia selain daripada Filipina, Kemboja dan Vietnam. Walaupun bibik-bibik ini dibayar gaji oleh kita selaku majikan, tetapi tidak wajar kita melayan serta meletakkan mereka ditaraf seorang hamba. Ada garis panduan yang kita sebagai majikan perlu patuhi. Bibik oh bibik… itulah tajuk yang akan saya kupas berdasarkan segmen Usrati yang telah pun ke udara pada Khamis lalu jam 5.15 petang bersama Ustazah Nor Hafizah binti Musa di stesen radio IKIMfm.

Dalam Islam sendiri ada menyarankan bahawa adalah wajib atau perlu untuk menyediakan pembantu kepada seorang isteri. Ini bergantung kepada tahap kemampuan seorang suami. Ada dua kategori wanita, yang pertama ialah wanita yang memang dari kecil sudah biasa ada pembantu dan yang keduanya wanita yang tidak pernah ada pembantu. Apa-apapun sama ada menyediakan pembantu atau tidak,  Imam Syafi’e ia tertakluk kepada keadaan wanita dan kemampuan suami.

Jenis-jenis pembantu ini pula ada macam-macam kategori. Ada pembantu yang diambil dan tinggal serumah, ada yang mengambil pembantu seminggu sekali dan ada juga yang mengambil pembantu secara sebulan sekali. Terserahlah kepada maasing-masing. Memang “kerjaya” sebagai suri rumah amat memenatkan dan kerja memang tidak pernah habis. Lepas satu satu, ada saja kerja yang perlu dan nak dilakukan. Kalau kerja di pejabat, kita masa ada “time in” dan “time out”, tetapi tidak untuk jawatan “suri rumah”.

Mari kita teladani kisah keluarga Rasulullah SAW dalam hal mengambil pembantu rumah ini. Anak baginda iaitu Fatimah pernah meminta untuk mempunyai seorang pembantu rumah. Lalu dijawab Baginda SAW, “tahukah engkau wahai Fatimah apakah ganjaran yang lebih baik dari memiliki seorang pembantu? Bertasbihlah 33 kali, bertahmidlah 33 kali dan bertakbirlah 33 kali, itu lebih baik dari mengambil seorang pembantu rumah. Kalau suami tidak mampu menyediakan seorang pembantu janganlah isteri merungut pula.

Untuk bahagian pertama tajuk ini, Ustazah Norhafizah telah menyentuh tentang cara-cara berurusan dengan pembantu rumah dan bahagian kedua pula nanti saya akan mengupas dari sudut pihak majikan. Dari segi panggilan atau gelaran apa yang hendak digunakan terhadap pembantu ini juga perlu dilihat sebagai penting. Samaada hendak panggil  “bibik” ke atau makcik ke atau hendak dipanggil orang gaji ke, itu perlulah mengikut kesesuaian. Walaupun sebagai majikan, kita tidak boleh sesuka hati saja memanggil mereka dengan apa-apa gelaran. Di pihak pembantu rumah pula, janganlah melihat gelaran bibik itu sebagai satu gelaran untuk merendah-rendahkan atau “double standard” kerana ia bermaksud makcik. Ikut kesesuaian sama ada pembantu itu tua, muda atau pertengahan umur.

Sebelum memilih pembantu rumah eloklah di buat solat sunat istikharah dulu. Mintak petunjuk dari Allah SWT. Keputusan untuk mengambil pembantu rumah ini juga perlu lah mendapat persetujuan bersama. Dari segi agamanya pun kena di titikberatkan. Paling tidak pun perangainya kena kita perlu beri perhatian. Walaupun kita tidak dapat mengetahui perangai sebenarnya pembantu rumah itu, setidaknya kita tengok dari segi tahap kebersihan dirinya. Contohnya kalau kukunya bercat biru merah boleh jadi haru biru kita dibuatnya. Dalam mencari bibik juga, carilah orang yang tidak ada komitmen besar terhadap keluarganya.

Sering wujud stigma di pihak majikan bahawa jika dia (majikan) buat baik dengan pembantu rumah, nanti takut pembantu rumah “pijak kepala”. Kerap sangat dah kita dengar kes-kes berkaitan ammah atau orang gaji ini. Sama ada masalah itu timbul dari pihak majikan atau dari pihak pembantu rumaha itu sendiri. Ada banyak kes yang kita dengar, majikan selalu mendera pembantu rumah mereka. Tidak kurang juga bibik itu sendiri yang “buat perangai”, seperti melarikan anak majikan. Maka sebab itu timbul fobia di kalangan majikan untuk buat baik dengan pembantu rumah. Begitu juga sebaliknya, pembantu rumah rasa “cemas” dengan majikan kalau-kalau didera.

Sekalipun pembantu rumah kita bermasalah atau cuba memijak kepala, sebagai majikan kita tetap kena buat baik terhadap mereka. Ini kerana Nabi SAW pun mengalami banyak insiden buruk dengan pembantu-pembantu baginda. Bukan tidak ada perkara-perkara yang nabi tidak puas hati dengan para pembantunya, ada. Apa jua masalah yang timbul dengan pembantu kita, pihak majikan perlulah menyelesaikannya dengan matang.

Dalam menyuruh pembantu kita, sekalipun di pejabat dengan kerani, perlulah menggunakan perkataan “tolong” bukan ayat “memberi arahan”. Sebagai majikan kita bayar hanya beberapa ratus ringgit sahaja kepada pembantu atau bibik, tetapi kita mengharapkan ketaatan penuh daripadanya, kita ambil kehidupan dan kebebasan seorang bibik, seolah-olah kita (majikan) hendak letak mereka dalam tangan kita supaya kita boleh pulas-pulas telinga mereka, supaya kita boleh cubit mereka bila-bila masa sesuka hati. Mereka bukan hamba, mereka juga manusia biasa seperti kita, walaupun gaji mereka kita yang bayar.  Kedua-dua pihak kena sedar diri dan saling bersyukur. Untuk majikan jika dapat pembantu yang baik jangan kerah sebagai hamba, atau mengarah ikut sesuka hati. Untuk pembantu pula, jika kita memiliki majikan yang baik dan bertimbang rasa, kena banyak-banyak bersyukur.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 25 September 2014

No comments:

Post a Comment