Sunday 2 November 2014

Usrati - Falsafah Burung Merak

 Falsafah Burung Merak
 - Ustaz Syed Kadir Al-Joofree

Hidup ini ada putarannya. Ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah. Maka sama-samalah kita beringat selalu. Hari ini mungkin kita kenakan orang, mungkin esok lusa kita pula yang terkena. Hari ini kita seorang yang bersyukur, mana tahu esok kita jadi seorang yang takabbur pula. Siapa tahukan? Segmen Usrati Khamis lalu yang ke udara pada jam 5.15pm yang diisi oleh al-Fadhil Ustaz Syed Kadir Al-Joofree mengajak kita melihat takabbur dari sisi si burung merak. Sesungguhnya sifat sombong yang ada pada burung merak juga ada pada kita yang bernama manusia.

Antara yang merosakkan apa hubungan adalah sifat ego. Pelbagai sebutan yang kita guna samaada ego atau sombong maksudnya adalah sama dengan istilah bahasa arab iaitu “takabbur”. Ego adalah sifat yang ada pada semua manusia. Bezanya cuma tinggi atau rendah saja tahapnya. Sifat ego yang melampau boleh membawa kemusnahan kepada keluarga dan diri sendiri.

Hayati maksud Firman Allah SWT menerusi Surah Luqman ayat 18 mafhumnya, “janganlah engkau memalingkan pipi dalam keadaan sombong kerana orang seperti itu ibarat seekor unta yang suka memalingkan mukanya ke tepi. Janganlah engkau berjalan dengan keadaan gembira lagi sombong. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berkhayal dan merasa ada kehebatan. Maka jalanlah dalam keadaan sederhana dan tundukkan suara (jangan menjerit-jerit).

Surah Luqman adalah surah yang banyak menceritakan tentang hubungan sesama manusia. Sombong ibarat boleh membunuh. Nabi SAW menyifatkan orang yang sombong adalah hamba yang paling buruk sekali dan dia lupa tentang kebesaran Allah SWT. Bila dia (orang yang sombong) buat kejahatan, dia lupa bahawa Allah itu lebih besar kudrat  dan kekuasaan Nya. Di tangan Allahlah nyawanya, yang mana Allah boleh menghidup dan mematikan nyawanya pada bila-bila masa. Sesungguhnya Allah mencerca orang-orang yang sombong. Sobong itu adalah satu penyakit dan ia boleh membinasakan.

Para ulama’ menyatakan orang yang sombong akan terhijab dari ilmu. Maksudnya dia tidak akan pandai sebab orang yang sombong ini merasakan dirinya sudah cukup ilmu. Ibu bapa dan anak misalnya, harus ada rasa untuk selalu belajar untuk jadi lebih baik. Iblis hancur binasa kerana sifat sombongnya. Apabila Allah SWT memerintahkan iblis untuk sujud kepada nabi Adam AS, iblis enggan melakukannya kerana merasakan dirinya lebih hebat dari nabi Adam AS kerna dirinya (iblis) dijadikan dari api sedang Adam AS dijadikan dari tanah.

Bukankah kita juga  ada sifat yang sama seperti iblis iaitu ego atau sombong. Contohnya bila isteri tidak dapat menerima apabila ditegur oleh suami dan sebaliknya. Sentiasalah kita 
berdoa supaya kita dijauhkan dari sifat sombong atau takabbur.

Lihat saja pada si burung merak. Merak sangat cantik dan nampak hebat kerana memiliki sayap ekor yang panjang dan sangat memukau mata tiap yang memandangnya. Namun dalam keindahan kejadiannya tetap ada kelemahannya. Mengapa merak di atakan sombong? Satu kajian yang dilakukan oleh para pengkaji binatang menyatakan, merak akan hanya mengembangkan sayap ekornya apabila ada orang datang. Apabila orang sudah pergi, merak akan menutup sayapnya. Jelas sifat merak memang sombong kerana suka menunjuk-nunjuk. Merak merasa bangga dengan keindahan sayap ekornya yang sangat cantik. Namun dalam kesempurnaan seekor merak, tetap ada kelemahannya sebab merak tidak boleh terbang.

Begitulah kita sebagai manusia yang tetap juga ada kelebihan dan kekurangan. Pesan saya ialah jika kita ada kelebihan jangan merasa bangga dan jika ada kekurangan jangan sampai terlalu merendah diri sehingga jiwa kita menjadi lemah.

Kita ada banyak kelemahan tapi terlalu bangga dengan kelebihan yang sedikit. Bila sebut tentang sombong dan ego ini, ia tidak hanya merupakan penyakit orang kaya dan berpangkat sahaja, malah ia ada juga pada orang miskin. Penyakit sombong dan ego ini juga bukan hanya ada pada orang yang sihat saja, malah ada juga pada orang yang sakit. Contohnya berapa ramai pesakit yang terlantar di katil hospital yang sering memarahi doktor. Ingatlah! tidak masuk syurga seseorang itu jika dalam hatinya ada sifat sombong walaupun hanya sebesar zarah atau biji sawi.

Bukanlah kita langsung tidak boleh ada rasa sombong atau ego, jika hendak sombong pun biarlah bertempat dan sesuai dengan keadaan. Contohnya seorang suami perlu ada rasa ego dan sifat sombong untuk memimpin keluarga. Jika lembik dan lemah macam mana mahu memimpin. Apa yang di cakapkan oleh si suami memang payah untuk didengar oleh isteri dan anak. Maka sebab itu kena pandai-pandailah menggunakan ego dan sombong yang memang telah ada dalam diri masing-masing itu.

Imam Al Ghazali menyatakan larilah dari orang yang sombong atau takabbur itu sepertimana kamu lari dari binatang buas seperti singa. Maknanya sebegitu sekali kita kena berhati-hati dengan orang yang sombong dan takabbur ini. Apa jua yang kita ada semua dengan izin Allah lah maka kita dapat memiliki sesuatu itu. Namun harus beringat, janganlah dengan segala kelebihan yang kita ada itu, menjadikan kita seorang yang sombong. Jika mahu kelebihan lain lagi, maka bersyukurlah. Dengan syukur mengundang nikmat (kelebihan) dan rahmat Allah, dengan kufur dan takabbur mengundang lebur. Moga-moga kita sentiasa dipertemukan dengan orang-orang yang baik.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 23 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment