Tuesday 26 April 2016

Belajar Dari Lebah dan Lalat

Allah SWT tidak menjadikan alam, haiwan dan makhluk di muka bumi ini secara sia-sia melainkan ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Setiap ciptaan Allah pasti akan ada kebaikan buat manusia.
Ustaz Nazrul Abd Nasir melalui rancangan Tarbiah menjelaskan tentang ibrah atau hikmah di sebalik penciptaan binatang lebah dan lalat yang sudah pasti banyak pengajaran yang tersembunyi di sebalik falsafah penciptaan dua ekor binatang ini.
Secara fizikalnya kedua binatang ini tidak jauh bezanya dari segi rupa dan bentuk, bagaimanapun antara keduanya, lebah dan lalat mempunyai sifat yang amat berbeza yang mana penciptaannya sudah pasti banyak yang dapat dipelajari oleh manusia.
Menurut Ustaz Nazrul, kalau dilihat dari segi sifat lebah itu sendiri yang amat gemarkan kepada tempat yang bersih. Lebah fungsinya adalah menghisap debunga yang kemudian dihirup dan dikumpul untuk menjadikan madu. Lebah secara fitrah sifatnya tidak akan pergi kepada tempat-tempat yang kotor, jijik, berbau busuk.

Malahan penciptaan lebah jika diteliti secara mendalam banyak keajaiban, hikmah, manfaat, dan rahasia dalam penciptaan lebah yang dapat dipelajari dan dijadikan contoh bagi kehidupan manusia. Sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat suci al-Quran Surah al-Nahl ayat 68 yang bermaksud ‘Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia’ .
Allah SWT menciptakan lebah untuk menghasilkan madu dan seterusnya madu yang dihasilkan itu pastinya akan memberi manfaat sepada manusia. Sehingga sifat madu sendiri merupakan ubat yang amat mujarab untuk mengubati penyakit manusia.
“Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia” (Surah al- Nahl:69). Manakala hadis riwayat Bukhari, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud   “Dari Aisyah ra, Nabi saw, amat gemar pada makanan yang manis-manis dan madu.
Ternyata secara harafiahnya amat besar sekali manfaat dan hikmah Allah mencipta lebah kerana memberi manfaat yang amat besar kepada manusia secara tersurat dan tersirat.
Mari kita lihat kepada sifat lalat pula, lalat adalah binatang yang Allah ciptakan dengan fitrahnya kepada tempat yang kotor, busuk dan peranan lalat itu sendiri adalah memakan makanan sisa yang berbau busuk sehinggakan kalau dilihat bangkai-bangkai binatang lain sekalipun akan menjadi santapan lalat.
Justeru, sifat dan fungsi kedua-dua binatang ini amat besar maknanya dalam kehidupan kita sebagai manusia. Samalah dengan diri kita, Jika kita mengambil sifat lebah yang gemar kepada sesuatu yang bersih, baik dan cantik, maka ianya akan meletakkan diri kita pada kedudukan terbaik sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam itu sendiri terhadap anjuran menjaga kebersihan kerana menjaga kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman.
Sebab itu, dalam kehidupan kita hendaklah menitikberatkan akan kebersihan diri dan persekitaran kerana ia juga merupakan imej diri kita sebagai seorang muslim. Kebersihan ini harus dipelihara bukan hanya waktu tertentu sahaja, malah keseluruhan cara hidup hendaklah berada dalam keadaan yang bersih, kemas dan cantik kerana ianya juga akan melahirkan ketenangan dan keselesaan kepada kita.
Kebersihan bukan hanya bersifat luaran semata, tetapi juga dalaman diri kita, kerana fikiran, hati dan jiwa yang bersih akan mendatangkan aura diri yang positif seterusnya akan membawa impak kebaikan kepada diri kita. Orang yang hati dan fikiran bersih akan berkata perkara yang baik dan seterusnya melihat kehidupan ini dari kaca mata kebaikan.
Berbeza pula dengan lalat yang fitrahnya berlawanan dengan sifat lebah. Manusia yang mempunyai ciri-ciri negatif dekat dengan keburukan. Seseorang manusia yang membangunkan dirinya dengan perkara syubhah seperti rasuah, judi, mencuri, menipu dan banyak lagi sifat buruk lain boleh diumpama seperti seekor lalat.
Kalau sifat lebah sukakan kepada kebersihan, cantik dan indah, manusia yang mempunyai akhlak lalat pula adalah mereka yang tidak menjaga kebersihan, tidak memelihara imej diri dengan akhlak terpuji dan selesa dengan keadaan yang kotor. Penampilan yang tidak cantik ini bukan hanya tertonjol melalui luaran tetapi dalaman.
Sikap manusia ‘lalat’ adalah mereka yang mempunyai sifat-sifat mazmumah seperti mengumpat, munafik, tidak jujur dan sebagainya. Oleh itu, sifat-sifat yang dekat dengan keburukan ini tidak mendatangkan manfaat kepada manusia. Sifat buruk ini jika tidak diperbaiki akan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada manusia itu sendiri tetapi seluruh masyarakat.
Mereka yang bersifat tidak baik ini lebih tertarik kepada perkara-perkara buruk. Umpamanya dalam penggunakan laman sosial facebook, whatsup dan sebagainya, ramai di kalangan pengguna laman sosial  gemar menyebar berita-berita yang tidak sahih serta membuat ulasan kepada kenyataan yang tidak diketahui kebenarannya. Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini akhirnya menjadi amalan di kalangan masyarakat sehingga akhirnya orang sudah tidak kisah lagi sama ada berita yang diterima sama ada berita benar ataupun salah.
Begitulah keadaannnya manusia yang bersifat seperti lalat ini akan menghinggap berita-berita sensasi yang menarik perhatian mereka. Manakala laporan atau maklumat yang boleh mendidik minda dan akhlak manusia jarang diberi perhatian oleh mereka yang bersifat lalat ini.
Dalam kita mendepani cabaran dalam kehidupan, kita boleh mengambil iktibar dan falsafah di sebalik sifat lebah. Ini kerana sifat lebah boleh disamakan dengan corak fikiran positif yang akan mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri. Perpsektif yang baik terhadap apa juga masalah yang dilalui penting bagi kita agar dapat menjalani kehidupan ini dengan sebaik mungkin.
Fikiran yang matang, jernih dan tenang dapat membina keperibadian yang tinggi serta membentuk karektor yang baik. Orang yang berakhlak baik akan selalu mengisi dirinya dengan tindakan dan perbuatan yang mendatangkan kesenangan kepada orang lain. Bukan itu sahaja, nilai dan kebaikan yang diterapkan dengan mengambil pendekatan seperti yang terdapat dalam sifat lebah sudah pasti akan menyumbang kepada kesan yang positif.
Sungguhpun Allah menjadikan makhluk dalam pelbagai pentuk kejadian, sebagai manusia yang diberi akal, marilah sama-sama kita mengambil iktibar dari setiap penciptaanNya seperti penciptaan lebah yang mempunyai banyak hikmah kebaikan, manakala lalat bukan dicipta untuk dikeji dan dihina, tetapi untuk manusia mengambil ibrah dari penciptaannya agar manusia meninggalkan sifat-sifat keji dan perkara yang tidak memberi manfaat kepada dirinya.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 Januari 2015

No comments:

Post a Comment