Tuesday 26 April 2016

Janji Pada Ilahi dan Diri

Hidup adalah seni membuat pilihan dan keputusan. Indahnya Islam, penganutnya sentiasa di didik dan diberi petunjuk untuk memilih yang baik terlebih dahulu sebelum didedahkan kepada membuat pilihan yang terlalu banyak di dunia ini. Ujar Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah minggu lalu di IKIMfm jam 10.15 pagi Isnin, terkadang antara sedar atau tidak kebanyakkan kita membuat pilihan tanpa mengikuti proses yang betul. Pemilihan di buat sebelum pendedahan kepada  pendidikan membuat pilihan yang betul. Pendidikan untuk melengkapkan diri dengan ilmu membuat pilihan yang tepat dan benar sebelum keputusan diputuskan.
Hari ini, anak-anak didedahkan dengan pelbagai pilihan sebelum benar-benar mampu, kuat dan matang membuat pilihan yang tepat lagi benar. Umpama melepaskan tentera di lapangan perang tanpa bekalan perisai dan senjata, tentu sahaja mudah untuk di patah dan di ratah oleh pihak musuh. Seni membuat pilihan ada kaitan dengan janji. Sesungguhnya kita telah berjanji untuk memilih yang tepat, benar dan betul dalam kehidupan ini sejak azali lagi.

Ironinya, kita punya janji pada Ilahi juga miliki janji pada diri sendiri. Janji itu penting kerana itu adalah tujuan dan matlamat hidup, selain untuk mengetahui pemilik amalan yang paling baik sebagaimana yang telah di firmankan oleh Allah SWT mafhumnya, “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Surah Al-Mulk ayat 2). Dalam masa yang sama hidup dan mati juga di ciptakan oleh Allah untuk menguji manusia dalam menunaikan janjinya.
Justeru itu, Islam amat menitik beratkan perihal janji. Janji sangat berkait rapat dengan amanah. Manakala amanah membawa kepada iman. Jika di telusuri susur galur mungkir janji sesama manusia adalah diawali dengan memungkiri janji kepada Allah SWT. Janji terkait dengan iman membawa kepada pemungkirnya mendapat tanda sifat munafik sepertimana sabda Rasulullah SAW, “Tanda orang munafik ada 3; jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia ingkar, dan jika dipercaya (diberi amanat) dia berkhianat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sebagai hamba Allah kita sudah berjanji pada Yang Esa sepertimana yang telah diterangkan menurut firmanNya, “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. (Surah Al-A’raaf ayat172). Itu janji pertama kita tatkala di alam roh lagi iaitu untuk menjadi hamba Allah yang menepati firmanNya bermaksud, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”. (Surah Adz-Dzaariyaat ayat 56).
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (Surah Al-Ahzaab ayat 72). Ini adalah janji yang kedua kita kepada Pencipta iaitu amanah selaku khalifah di atas muka bumi ini seperti yang telah dinyatakan menerusi firmanNya yang lain mafhumnya, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.
Sungguh, sebagai hamba Allah kita telah berjanji untuk membuat kebajikan pada diri bagi menjadi hamba yang berakhlak, miliki sifat-sifat mahmudah juga janji yang keluar dari ruang lingkup diri sendiri iaitu memberi kebaikan kepada orang lain serta alam sejagat selayaknya sebagai seorang khalifah.
Atas keterbatasan pengetahuan terkadang tega untuk bertanya atau terdetik dibenak mempersoal waktu janji itu dibuat dan ingatan kepada janji itu dilafazkan. Maka kembalilah kepada matlamat hadir Al-Quran dalam kehidupan iaitu bagi memberi tabsyir dan inzar yang terkandung berita gembira dan ancaman sebagai peringatan dan salah satunya adalah berkenaan janji yang pernah diikrarkan.
Melihat kepada kronologi penciptaan; bermula dari alam roh, kemudian singgah di alam rahim dan saat ini menetap seketika di alam dunia yang akan berpindah ke alam barzakh kemudian akan ke alam mahsyar sebelum menempatkan diri di neraka mahupun syurga. Itu perjalanan yang telah, sedang dan akan di tempuh. Waimah perkara yang berlaku minggu lalu atau perkara yang berlaku ketika di dalam alam rahim pun kita tidak mengingatinya inikan pula alam roh yang lebih awal dari itu. Atas nama insan yang mudah lupa itulah Allah kurniakan Al-quran sebagai manual dan panduan bagi mengingatkan akan janji-janji yang perlu untuk di tunaikan.
Selain itu, kita juga diingatkan mengenai janji atau pengulangan janji yang pernah dibuat di alam roh dahulu menerusi doa iftitah yang dibaca saban hari lima kali sehari semalam tatkala solat didirikan yang sekali gus mengingatkan untuk menunaikan janjinya.
Mengambil semangat cicit Rasulullah SAW; Imam Ali Zainal Abidin as-Sajjad anak kepada Saiyyidina Hussain r.a. Setiap kali berwuduk wajahnya pucat lesi. Apabila ditanya mengapa wahai Imam wajahmu pucat lesi seumpama orang yang sedang sakit setiap kali ingin mengambil wuduk? Jawabnya, “Tidakkah kamu sedar siapa yang hendak aku hadapi sebentar lagi dalam solatku. Yang mana aku telah berjanji dan berulang-ulang janjiku, adakah aku berjanji lagi sedangkan janji sebelumnya tidak ditepati”. Inilah yang di rasa dalam kehidupan kita iaitu kita punya janji pada Ilahi.
Dalam kehidupan Rasulullah SAW, baginda sangat menunaikan janji sehingga kewafatannya sepertimana janji Rasulullah SAW kepada Suraqah bin Malik pada peristiwa hijrah. Selepas dua puluh tahun kewafatan baginda akhirnya janji itu tertunai kerana wujudnya amanah dalam diri Sayyidina Abu Bakar r.a dan Sayyidina Umar r.a. Itulah ibrah daripada hasil Rasulullah SAW menjaga janjinya kepada Allah SWT.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 Januari 2015

No comments:

Post a Comment