Tuesday 26 April 2016

Merancang Kehidupan Untuk Syurga

SEPANJANG dua minggu lalu, kita telah berkongsi satu kisah kaum Yasin yang diseru oleh tiga orang Rasul untuk beriman kepada Allah. Kemudian, seorang pemuda yang dikatakan sebagai Habib An-Najar datang dari hujung bandar juga menyeru agar kaum Yasin menerima keimanan kepada Allah serta mengikut perintahnya.
Kisah ini dilanjutkan perbincangan melalui rancangan Ibrah pada minggu lalu oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman. Sikap proaktif dalam usaha berdakwah yang ditunjukkan oleh pemuda yang datang dari hujung bandar itu, serta pendidikan melalui seni berdakwah dengan kenyataan dan cara berpidato ditunjukkan dengan lansung. Walaupun demikian, seruan dan ajakan untuk beriman tidak dihiraukan oleh kaum Yasin itu.
Meneruskan perbincangan, pada minggu ini satu lagi babak yang diceritakan dalam Surah Yasin menceritakan saat dakwah yang ditolak itu diganti dengan kekejaman oleh kaum Yasin. Namun, Allah perincikan dalam satu ayat ini bagaimana seorang lelaki yang diseksa ini digantikan syurga sebagai tempat yang kekal baginya.

Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Taala dalam Surah Yasin ayat 26 yang bermaksud, “(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam syurga”. Ia berkata; “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui.”
Dalam peristiwa ini, selepas usaha dakwah yang ditunjukkan oleh Habib An-Najar itu tidak dihiraukan oleh kaum Yasin, beliau telah menerima detik yang sangat dahsyat apabila dibelasah habis-habisan.
Ibn Kathir berkata, lelaki itu dipukul beramai-ramai sehingga  terkeluarnya isi perut di dalam badannya dan tulang belakang juga terkeluar tetapi lelaki itu tetap setia untuk beriman kepada Allah.
Kita masih lagi ingat peristiwa Bilal bin Rabah, juga Sumaiyah yang menjadi teladan utama bagaimana mereka diperintahkan untuk mengkufurkan Allah Taala. Walaubagaimanapun, keimanan kepada Allah dibuktikan sehingga akhir hayatnya.
Ibn Qatadah berkata, Habib An-Najar terus berdoa kepada Allah supaya keimanannya tetap kekal dan diberikan hidayah kepada kaum Yasin.
Begitulah yang berlaku kepada Habib An-Najar, sepanjang 70 tahun hidup di dunia dengan tidak beriman, tetapi pada penghujung hidup diberikan hidayah kepadanya lalu matilah dia di dalam keadaan mentaati perintah Allah.
Dalam ayat ini, Allah menggunakan uslub ‘majhul’ iaitu tidak dinyatakan siapakah yang berkata kepadanya, “Masuklah ke dalam syurga.” Tetapi para ulama mentafsirkan bahawa istilah itu diberitahu oleh Allah Taala sendiri supaya beliau masuk ke dalam syurga yang kekal buat selama-lamanya.
Allah berfirman lagi dalam Surah Yasin ayat 27, “Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan.”
Kemuliaan seseorang bukanlah diukur saat kehidupannya yang panjang. Tetapi lebih daripada itu, bagaimana pengakhiran hidupnya yang dijanjikan syurga ke atas dirinya.
Begitulah yang berlaku kepada Habib An-Najar, pemuda yang diceritakan oleh sebahagian ulama dalam peristiwa ini.
Bagi mereka yang beriman kepada Allah, mereka merasakan urusan kematian adalah terlalu kecil bagi mereka. Buya Hamka berkata, bagi para pejuang agama mereka merasakan bahawa kematian adalah terlalu kecil. Tetapi katanya, selepas mati itulah kenikmatan dan keseronokkan yang perlu dihadapi.
Justeru, bagaimana lelaki itu diseksa sebelum kematiannya merupakan satu pelajaran penting bahawa kenikmatan yang ingin dicapai itu bukanlah kenikmatan dunia semata-mata tetapi menanti di akhirat pula.
Firman Allah Taala dalam Surah Ali Imran ayat 169 yang bermaksud : “Dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”
Begitulah renungan terhadap kekejaman yang berlaku di bumi Palestin, juga di bumi Syria dan Yaman pada hari ini, menyaksikan bahawa para syuhada sejak dari awal dipertontonkan syurga kepada mereka terlebih dahulu. Oleh hal demikianlah, setiap daripada mereka yang mati di jalan Allah (syahid) akan merasakan kenikmatan yang tidak ternilai dalam kehidupan mereka.
Perjanjian Allah melalui ayat 28 dan 27 Surah Yasin kepada kaum Yasin yang tetap ingkar itu diperjelaskan sebagaimana firmannya yang bermaksud, “Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya. (Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.”
Justeru, kehidupan kita pada hari ini ditentukan oleh diri kita sendiri. Bagaimana kita mencorakkan perjalanan kehidupan dengan ingin berterus-terusan mentaati perintah Allah dengan berjuang di jalan-Nya atau mengingkarinya serta tidak melaksanakan kewajipan yang telah diamanahkan.
Peristiwa ini menggambarkan bahawa Allah jugalah yang memberi hidayah kepada hamba yang diinginkanNya  jika mereka benar-benar mahu mendapat keampunan dan bersungguh-sungguh dalam melakukan amalnya.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 27 Januari 2015

No comments:

Post a Comment