Tuesday 26 April 2016

Perkara Yang Membentuk Tabiat

Antara yang membentuk jalan hidup seseorang ialah ‘tabiat’. Setiap orang mempunyai tabiat masing-masing yang tersendiri. Tabiat menentukan kejayaan atau kegagalan kita dalam kehidupan. Tabiat pula terbahagi kepada dua jenis. Tabiat yang positif dan tabiat yang negatif.
Tabiat yang positif seperti menepati masa, jujur, amanah, rajin berusaha dan taat kepada perintah Allah dan Rasul sudah tentu menjadikan kita sebagai seorang yang positif dan hebat dalam kehidupan. Begitu pula sebaliknya dengan tabiat yang negatif. Islam datang untuk menbentuk tabiat-tabiat yang baik seperti yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW dalam akhlak baginda. Mengimbau sejarah, Tamadun Rom dan Parsi dikalahkan oleh Islam kerana pembentukan tabiat baik dan maju yang dibawa Islam ketika itu dalam setiap bidang.
Apabila sesuatu sikap yang sering diamalkan itu sudah menjadi tabiat seseorang, maka ia akan sebati dengan diri sehinggalah ia mungkin akan menjadi identiti diri kita sendiri. Jika baik, positiflah kita dan jika tabiat buruk yang banyak menguasai diri seseorang maka buruk dan negatiflah personaliti seseorang itu.
Namun, untuk mengubah sesuatu tabiat yang negatif memerlukan satu kekuatan dalaman yang sangat besar. Ia memerlukan istiqamah yang tinggi dan kecekalan hati. Oleh yang demikian adalah penting bagi ibu bapa untuk menanam sikap-sikap yang positif dalam diri anak-anak sejak awal lagi dan berusaha untuk memperbaiki tabiat yang ada dalam diri dari hari ke hari.

Mendepani cabaran kehidupan moden hari ini, jika dibandingkan dengan zaman kegemilangan Islam dahulu, Umat Islam hari ini telah dilalaikan dengan perkara-perkara yang lain selain dari sunnah-sunnah Nabi Muhammad SAW. Kelalaian dan kegagalan mengikuti sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan menjadi faktor kepada kelemahan umat Islam hari ini dari pelbagai sudut. Justeru dalam usaha meningkat prestasi dan potensi diri untuk berjaya di dunia dan akhirat sebaiknya adalah berusaha dengann berpandukan sunnah Rasulullah SAW.
Berbalik kepada usaha mengubah tabiat dalam kehidupan, Islam telah memberikan panduan buat umatnya. Allah SWT memberi peringatan kepada hambaNya menerusi firmanNya dalam Surah Al-Asr, ayat 1 hingga 3,“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.
Maka sebaiknya kita sentiasa menjaga masa dengan sebaik mungkin agar tidak dilalaikan dengan perkara yang tidak memberi manfaat di dunia dan akhirat serta terus berusaha memperbaiki diri dengan mencari ilmu yang baik sebanyak mungkin.
Berdasarkan saranan itu, Ustaz Muhamad bin Abdullah al-Amin menerusi Rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm bersiaran setiap Isnin jam 10.00 pagi telah memfokus kepada usaha memperbaiki tabiat diri dengan mengajak pendengar memahami dan mengamalkan Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Setiap sesuatu yang dilakukan selain zikir atau mengingati kepada Allah s.w.t ialah perkara yang melalaikan, kecuali empat perkara;
  1.  Seseorang yang melatih kudanya,.
  2. Seseorang yang berlatih memanah,
  3. Seseorang yang belajar berenang,dan
  4. Seseorang yang bermesra dgn isterinya. (Hadis at-Tobrani)
Fitrah manusia memang menyukai hiburan, dan hiburan itu baik selagi mana ia tidak menyalahi syariat dan seseorang itu mempunyai kawalan diri supaya tidak menjadi sesuatu yang melalaikan  dan menyebabkan ia meninggalkan suruhan yang wajib.  Ustaz Muhamad menerangkan dalam usaha mengubah atau meninggalkan tabiat buruk, seseorang itu perlu mencari dan diberikan alternatif lain yang berfaedah dan kerana itulah hadis ini amat baik untuk diikuti.
Tiga sukan disebutkan diatas adalah sunnah yang dipinggirkan umat Islam sejak sekian lama. Walaubagaimanapun, dewasa ini dengan kesedaran ilmu, ramai orang islam telah mula kembali terlibat dengan sukan kuda, memanah dan berenang. Amalan riadah atau bersukan menjadi sebahagian perkara yang perlu diberi perhatian bagi melahirkan masyarakat cerdas pemikiran dan kuat fizikal. Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya menjaga kesihatan. Ini penting kerana kekuatan tenaga dan fizikal akan dapat melahirkan rasa gerun dalam kalangan musuh Islam.
Selain itu Umat Islam tanpa mengira usia dan kedudukan wajar memanfaatkan masa terluang dengan melakukan riadah dan bersukan untuk mengekalkan kecergasan tubuh badan seterusnya dapat menunaikan amal ibadah difardukan dengan sempurna dan penuh khusyuk. Bahkan aktiviti rekreasi dan berbuat kebaikan kepada orang tersayang juga satu kemahiran hidup dalam  menghadapi sesuatu dugaan dan cabaran yang tidak diduga pada masa akan datang.
Sentiasalah berusaha mencuba setiap yang dianjurkan Islam dan sunnah Rasulullah SAW dalam menghadapi kehidupan yang positif dan seterusnya membawa kepada Jatidiri umat islam yang kuat. Mohonlah kepada Allah agar ditetapkan pendirian dan istiqamah dalam episod perubahan.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 Januari 2015

No comments:

Post a Comment